Now Reading
Ibu Bapa Cari Anak Di Bangkok, Rupanya Anak Meninggal Dunia Akibat Sindiket Penipuan Kerja

Ibu Bapa Cari Anak Di Bangkok, Rupanya Anak Meninggal Dunia Akibat Sindiket Penipuan Kerja

Mangsa turut menghubungi keluarganya pada 31 Mac dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak, serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Satu kisah menyayat hati telah dilaporkan berlaku baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri warganegara Malaysia dikatakan sanggup ke Bangkok, Thailand untuk mencari anak lelakinya yang ‘hilang’ sejak Februari lalu.

Walau bagaimanapun, pasangan suami isteri Goi Chee Kong, 50 dan isterinya yang berasal dari Ipoh, Perak menerima berita sedih dan membuatkan hati mereka luluh apabila anak sulungnya Zhan Feng, 23, telah meninggal dunia pada 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot, berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Zhan Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan telah diseludup ke Myawaddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket berkenaan.

Diberitahu Anak Sakit, Rupanya Sudah Meninggal Dunia

Ibu bapa mangsa dikatakan telah berlepas ke Bangkok pada 30 Ogos lalu, dan dijadualkan untuk ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu dengan mangsa.

“Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada 2 pagi (11 Mei). Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” jelas Goi Chee Kong, kepada Bernama.

Identiti Palsu Digunakan Untuk Daftar Masuk Hospital

Mereka turut menjelaskan bahawa identiti palsu juga telah digunakan untuk memasukkan anak mereka ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Oleh itu, pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan ahli keluarga mangsa untuk memaklumkan tentang keadaan kesihatan dan rawatan selanjutnya.

“Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” jelasnya lagi.

Bil Hospital Tertunggak RM40,000

Lebih menyedihkan apabila Chee Kong dan isteri yang berharap dapat membawa pulang abu anak mereka bagaimanapun terkesan dengan tunggakan bil hospital yang mencecah kira-kira RM40,000.

Jumlah berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mereka boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA dan proses pembakaran mayat.

Mengulas lanjut, keluarga mangsa dikatakan menerima bantuan dari Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Sing yang menjalankan kempen mengumpul dana yang dilancarkan pada Jumaat lalu di laman Facebook miliknya.

Dana yang berjaya dikumpul adalah sejumlah RM50,000.

Jumlah wang terkumpul akan digunakan untuk membayar bil hospital dan yuran pembakaran mayat serta membawa pulang abunya ke Ipoh, Perak.

Menurutnya, urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian serta kebenaran untuk menggali kubur.

Kami berharap dapat bawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami harap semuanya akan berjalan lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Sing

Mangsa Ke Bangkok Untuk Bercuti & Jumpa Rakan Baru Di Media Sosial

Untuk pengetahuan umum, Zhan Feng telah berlepas ke Bangkok atas tujuan bercuti pada 19 Januari lalu dan ingin bertemu rakan yang dikenalinya menerusi media sosial.

Mangsa yang sepatutnya pulang ke Malaysia pada 5 Mei untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya bagaimanapun gagal tiba dan menyebabkan bapanya membuat laporan orang hilang pada 7 Februari.

Mangsa turut menghubungi keluarganya pada 31 Mac dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak, serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

“Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian, sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” jelas Chee Kong.

Chee Kong percaya bahawa anaknya telah menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan menasihati agar pencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan dengan upah yang lumayan dari luar negara.

“Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya lagi.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd