Now Reading
Benarkah Ada Solat Yang Perlu Diqada Setelah Habis Haid?

Benarkah Ada Solat Yang Perlu Diqada Setelah Habis Haid?

Islam menetapkan bahawa seorang wanita hanya didatangi haid sehingga 15 hari, manakala darah yang keluar selebihnya merupakan istihadah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Secara umumnya, rata-rata para wanita pasti akan mengalami kedatangan haid setiap bulan dengan purata kitaran haid 28 hari.

Penting untuk wanita memantau kitaran haid serta tempoh kedatangan haid bagi mengenal pasti sebarang masalah dalaman.

Bagi wanita beragama Islam perkara ini juga penting agar ibadah wajib seperti solat tidak ditinggalkan dengan sengaja.


Tempoh Waktu Haid & Bersuci

Wanita perlu mengetahui sama ada dia mengeluarkan haid atau istihadah, iaitu darah penyakit wanita.

Menurut Islam, seorang wanita hanya boleh didatangi haid paling lama sebanyak 15 hari. Darah yang keluar melepasi tempoh tersebut merupakan istihadah.

Dalam tempoh istihadah, wanita Islam perlu menjalankan segala ibadah wajib seperti solat dan berpuasa di bulan Ramadan.

Di samping itu, mungkin ramai yang tidak tahu, terdapat tempoh minimum suci selama 15 hari antara haid.

Ini juga bermaksud darah yang keluar semula sebelum 15 hari bersuci merupakan darah istihadah dan bukannya haid. Ia menjadi haid jika darah keluar selepas hari ke-15 suci dari haid.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Qada’ Solat Selepas Suci Dari Haid

Dalam pada itu, wanita yang telah henti haidnya ataupun telah kedatangan haid sehingga 15 hari, perlu menyegerakan mandi wajib. Ini bertujuan agar dia tidak terlepas menjalani ibadah solat.

Akan tetapi, ini tidak bermakna seorang wanita hanya perlu menjalankan solat dalam waktu ketika dia selesai mandi wajib.

Sebaliknya, terdapat keadaan ketika mana dia perlu menggantikan solat bagi waktu-waktu sebelumnya juga.

Sumber: Pexels

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan perkara ini dan menerangkan kaedah qada’ solat bagi wanita yang baru henti haidnya iaitu Zawal al-Mani’ (hilangnya penghalang).

Berdasarkan kaedah ini, apabila haid didapati berhenti sebelum habis waktu solat dengan sekurang-kurangnya kadar takbiratulihram, solat tersebut wajib diganti setelah mandi wajib.

Tambahan pula, jika solat yang ditinggalkan adalah jenis yang boleh dijamak, wajib juga ganti solat sebelumnya seperti berikut:

  1. Jika haid tamat pada waktu Asar, wajib tunaikan solat Asar dan qada’ solat Zohor.
  2. Jika haid tamat pada waktu Isyak, wajib tunaikan solat Isyak dan qada’ solat Maghrib.

Ini adalah kerana sewaktu keuzuran, Asar dan Zohor serta Maghrib dan Isyak menjadi satu waktu solat.

Sumber: @bidadarihouse/ Instagram

Hanya Tunaikan Solat Dalam Waktu Sedar Telah Suci

Dalam masa yang sama, jika seorang wanita tidak pasti bilakah waktu dia mula suci, maka ia akan mengikut waktu dia menyedari perkara berkenaan.

Sebagai contoh, jika dia melihat dirinya telah suci pada waktu Subuh, tetapi hanya menyedarinya ketika itu, dia hanya perlu solat Subuh.

Ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh:

الأصل إضافة الحادث إلى أقرب أوقاته

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir”.

Namun begitu, jika dia telah menyedari perkara tersebut sejak waktu Isyak lagi, dia perlu qada’ kembali solat Isyak dan Maghrib.

Sumber: Pejabat Daerah dan Tanah Petaling

Cara Kenal Pasti Haid Benar-Benar Kering

Bagi sesetengah wanita, agak sukar untuk mengenal pasti jika haid mereka telah benar-benar kering ataupun tidak. Ini kerana mereka mungkin masih mengeluarkan kotoran berwarna coklat atau kekuningan di hujung haid.

Terdapat dua tanda suci dari haid iaitu kering daripada darah dan keluar cecair putih jernih. Jika ada salah satu daripada tanda ini, ia bermakna seorang wanita telah suci dari haid dan wajib segera mandi wajib.

Untuk mengenal pasti jika haid telah benar-benar kering, seorang wanita boleh memeriksa dengan memasukkan kapas ke dalam faraj. Wanita masih belum suci jika masih ada kesan darah pada kapas.

Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayat oleh Aisyah RA:

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: Dahulu para wanita datang menemui Aisyah RA dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid”.

Sebaliknya, jika tiada kesan darah haid pada kapas, wanita tersebut berada dalam keadaan naqo’ iaitu bersih daripada haid.

Haid juga boleh disemak menggunakan ‘cotton bud’. (Sumber: Unsplash)

Haid Berhenti Sekejap Kemudian Sambung Semula?

Bagi kebanyakan wanita, dia telah benar-benar suci dan diwajibkan mandi apabila berada dalam keadaan naqo’.

Namun begitu, terdapat juga wanita yang mengalami keadaan ketika mana haidnya terhenti sekejap tetapi sambung semula selepas sehari, iaitu adat muwa’adah al-dam.

Terdapat dua pendapat ulama iaitu sama ada boleh mengambil hukum suci atau haid.

Jika mengambil hukum haid, wanita berkenaan tidak perlu mandi wajib kerana masih didatangi haid mengikut kebiasaannya.

Akan tetapi, jika seorang wanita yang sedang naqo’ mengambil hukum haid, tetapi haid tidak datang semula, dia perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan sebelum mandi wajib.

Sumber: Unsplash

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd