Now Reading
Ini Sejarah Jajahan Dinding Di Perak Yang Ramai Tidak Tahu

Ini Sejarah Jajahan Dinding Di Perak Yang Ramai Tidak Tahu

Jajahan itu telah ditukar nama menjadi Manjung pada tahun 1973 oleh Almarhum Sultan Perak Sultan Idris II.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila disebut daerah Manjung, penduduk Perak pasti mengetahuinya. Selain daripada mempunyai pantai yang cantik, ia juga mempunyai Pulau Pangkor yang merupakan pulau ketiga terbesar di negeri Perak.

Sewaktu jajahan British di Tanah Melayu, Perak merupakan sebahagian daripada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bersama-sama Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Namun begitu, terdapat sejarah berkenaan daerah Manjung yang mungkin tidak lagi diketahui ramai.

Anda tahu tak bahawa sebelum dinamakan Manjung, daerah itu dikenali sebagai jajahan Dinding?


Jajahan Dinding Ditadbir Pulau Pinang

Satu akaun TikTok yang sering menceritakan tentang sejarah tanah air (@sejara1) telah memuat naik satu video berkenaan negeri Dinding.

Menurutnya, ia merupakan tanah jajahan British dan salah satu daripada Negeri-Negeri Selat bersama Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Menurut Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Dinding ketika itu berada di bawah pentadbiran Pulau Pinang.

Menerusi video sama, negeri Dinding dikatakan telah ‘hilang’ daripada sejarah Malaysia.

Negeri tersebut juga dikatakan merupakan tempat persembunyian para lanun sebelum kedatangan British. Oleh yang demikian, Perak telah menyerahkan Dinding kepada British untuk mengatasi masalah ini.

Diwujudkan pada tahun 1874 melalui Perjanjian Pangkor, Dinding merangkumi Pulau Pangkor, Sitiawan dan Lumut.

Selat yang memisahkan Lumut dengan Pulau Pangkor masih dikenali sebagai Selat Dinding sehingga hari ini. (Sumber: Perak Sana Sini/ Facebook)

Lokasi Dinding Tidak Strategik

Dengan jajahannya ke atas negeri Dinding, British berharap agar ia dapat menjadi pelabuhan utama dan menjana pendapatan.

Walau bagaimanapun, terdapat dua masalah dihadapi negeri itu iaitu kekurangan penduduk dan lokasi yang tidak strategik seperti Pulau Pinang (dijadikan pangkalan tentera) serta pelabuhan Singapura dan Melaka.

Malah, Perak yang kemudiannya turut dikawal oleh British pada tahun 1875 menjadikan kewujudan negeri Dinding tidak lagi relevan.

British kemudiannya menyerahkan negeri yang ‘hilang’ itu kembali kepada Perak pada 16 Februari 1935 menerusi ‘The Dinding Agreement (Approval) Act 1934’. Perkara ini berlaku 11 tahun sebelum Negeri-Negeri Selat dibubarkan.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Sejarah Jajahan Dinding

Menurut laman web Orang Perak, daerah Dinding pada awalnya menempatkan sebuah kubu yang dibina oleh penjajah Belanda pada tahun 1670. Kubu tersebut digunakan sebagai gedung simpanan bijih timah yang diperolehi dari negeri Perak.

Berdasarkan hantaran Facebook oleh Perak Sana Sini, Nakhoda Muhammad Taib dari Sumatera telah membuka Pelabuhan Kuala Sepit pada tahun 1857 dengan kebenaran Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’azzam Shah (Sultan Perak Ke-23).

Kejayaannya menghapuskan lanun-lanun di Selat Dinding menyebabkan Kuala Sepit menjadi sebuah pelabuhan ‘entreport’ bagi pedagang Nusantara.

Namun begitu, kegemilangan pelabuhan ini telah hilang apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani, sekaligus menyebabkan Penghulu Besar Nakhoda Muhammad Nordin yang menggantikan Nakhoda Muhammad Taib kehilangan kuasa.

Perkara ini turut menyebabkan rakyat Kuala Sepit yang enggan menerima penjajahan British berhijrah keluar dari daerah itu. Kerana itulah tidak ramai penduduk berada di sana.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Sultan Idris II Tukar Nama Dinding Ke Manjung

Pada tahun 1973, Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33) telah menukar nama jajahan Dinding menjadi daerah Manjung yang kekal sehingga hari ini.

Manjung kini merangkumi lima mukim iaitu Beruas, Lekir, Lumut/ Pangkor, Pengkalan Baharu dan Sitiawan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd