Now Reading
[Video] ‘Cat Beach Sanctuary’ Tempatkan Lebih 250 Kucing Di Tepi Pantai

[Video] ‘Cat Beach Sanctuary’ Tempatkan Lebih 250 Kucing Di Tepi Pantai

Sebelum penubuhan Cat Beach Sanctuary, nelayan tempatan telah mula memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan yang tinggal di persisiran pantai tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi penggemar kucing, pasti tahu tentang kewujudan beberapa tempat khas yang menempatkan si bulus dan menjadi tempat wajib dilawati!

Sebagai contoh, di Jepun terdapat beberapa pulau kecil seperti Aoshima, Tashirojima dan Okishima yang mempunyai populasi kucing yang lebih banyak berbanding penduduk di sana dan digelar ‘cat island’.

Perkara ini dianggap terjadi apabila kucing dahulunya dibawa menaiki kapal untuk mengelakkan serangan tikus, tetapi memilih untuk menetap di pulau-pulau tersebut. Malah, kepercayaan masyarakat setempat bahawa memberi makanan kepada kucing liar akan menambah kekayaan menyebabkan populasi mereka semakin banyak.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Malaysia juga mempunyai sebuah tempat perlindungan yang hampir serupa seperti ‘cat island’! Digelar sebagai ‘Cat Beach Sanctuary’, ia terletak di kawasan pesisiran pantai sebuah perkampungan nelayan di Teluk Bahang, Pulau Pinang.


Nelayan Beri Makan Kucing Jalanan

Idea penubuhan tempat perlindungan kucing itu wujud apabila pengasas Penang Animal Welfare Society, Barbara Janssen, memperkenalkan rakannya Teviot Fairservis kepada seorang nelayan, Nana Wanchik.

Menerusi laman web Cat Beach Penang, Nana telah memberi makan kepada kucing-kucing di kawasan itu sejak 10 tahun sebelum penubuhan Cat Beach Sanctuary pada Julai 2014.

Dalam masa yang sama, ‘Zero Strays Policy’ yang berkuatkuasa mulai bulan sama mendesak kepentingan untuk mewujudkan sebuah tempat perlindungan kucing jalanan untuk mengelakkan mereka daripada dibunuh.

Nana Wanchik dan Teviot Fairservis. (Sumber: Cat Beach Penang)

Terdapat Lebih 250 Kucing Di Cat Beach

Setelah penubuhannya, sebuah rumah kayu lama di tepi pantai telah diubah suai bagi menempatkan kucing-kucing liar.

Cat Beach Sanctuary kini menempatkan sekitar 250 hingga 300 ekor kucing yang diselamatkan.

Walaupun terdapat beberapa ekor kucing bebas berkeliaran di sana, kebanyakan kucing yang diletakkan di dalam sangkar telah tercedera atau sakit dan memerlukan penjagaan rapi.

Sumber: @malaysiafoodandtravel/ TikTok

Ingin Bantu Cat Beach Sanctuary?

Cat Beach Sanctuary tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan dan beroperasi melalui sumbangan orang ramai. Terdapat tiga cara anda boleh membantu tempat perlindungan kucing tersebut.

#1. Bawa Balik Kucing

Seperti kebanyakan ‘cat shelter’ lain, kucing-kucing di Cat Beach Sanctuary ini turut boleh diambil atau ‘adopt’. Tiada sebarang pembayaran yang dikenakan bagi mengambil kucing di sana, namun terdapat beberapa langkah yang perlu diambil.

Individu yang berminat perlu mengisi borang untuk mengambil kucing. Mereka juga harus menyediakan sangkar dan membawa kucing menaiki kereta.

Kucing yang diambil perlu segera dibawa berjumpa dengan doktor haiwan untuk menilai tahap kesihatan, mendapatkan suntikan vaksin dan dineuter jika telah capai umur yang sesuai.

Terdapat juga kucing yang dibuang di kawasan ‘cat beach’ berkenaan. Sumber: @catbeachsanctuary/ Instagram

#2. Beri Sumbangan

Selain itu, anda boleh menderma kepada Cat Beach Sanctuary untuk membantu segala kos penjagaan kucing. Menurut Amir, seorang ahli di tempat perlindungan tersebut, mereka hanya menerima sekitar RM20 sehari dan kadang-kala tidak menerima sebarang bantuan.

Bukan sahaja sumbangan dalam bentuk wang ringgit, mereka juga terbuka untuk menerima sumbangan makanan, bahan pencuci, ubat-ubatan dan mainan kucing, serta lain-lain.

Info lanjut mengenai sumbangan boleh didapati di laman web Cat Beach Penang.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

#3. Bertugas Sebagai Sukarelawan

Untuk makluman, tempat perlindungan tersebut bergantung sepenuhnya kepada sukarelawan. Antara aktiviti yang memerlukan bantuan orang ramai adalah pembersihan dan penjagaan kucing.

Di samping itu, sukarelawan juga boleh membantu dalam program jangkauan, penubahsuaian dan lain-lain acara yang berkaitan.

Sukarelawan turut boleh menetap di pantai berkenaan dan tinggal bersama kucing-kucing di sana!

Sejak penubuhannya, Cat Beach Sanctuary telah menerima ramai sukarelawan dari seluruh pelusuk dunia termasuk United Kingdom, Ukraine dan Brazil. (Sumber: Cat Beach Penang)

Sebuah ‘Cat Cafe’ Dalam Perancangan

Menerusi laman web Cat Beach Penang, terdapat beberapa projek yang dirancang termasuk penerbitan dan program pendidikan, latihan amali untuk pelajar veterinar dan projek seni yang memaparkan kucing.

Malah, mereka sedang dalam usaha untuk menubuhkan sebuah ‘Cat Cafe’ dan projek kedai amal bagi menampung kucing-kucing di sana.

https://www.tiktok.com/@malaysiafoodandtravel/video/7337947217795271938

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd