Now Reading
Ingin Lanjutkan Pengajian Peringkat PhD? Ini Kelebihan Sambung Belajar Di Norway

Ingin Lanjutkan Pengajian Peringkat PhD? Ini Kelebihan Sambung Belajar Di Norway

Menurut Fadzil Tahir yang menetap di Trondheim, Norway, antara kelebihan sambung belajar di sana adalah ditawarkan gaji lebih RM240,000 setahun serta berpeluang melawat negara-negara Eropah dan seluruh dunia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sesetengah individu memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat post-graduate seperti PhD dan post-doctoral.

Namun begitu, mungkin terdapat cabaran tertentu yang menjadi halangan untuk mencapai cita-cita ini. Antaranya adalah yuran yang tinggi serta kekangan masa kerana harus bekerja demi menampung kehidupan seharian.

Mungkin ada yang berjaya mendapatkan biasiswa atau bantuan pendidikan demi menyambung pelajaran, namun kebiasaannya elaun yang diberikan tidak mencukupi apatah lagi bagi mereka yang perlu menanggung keluarga.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Fadzil Tahir telah membuat satu perkongsian mengenai menyambung pelajaran di Norway. Bukan sahaja untuk peringkat PhD, malah terdapat juga peluang untuk peringkat post-doctoral, sebagai penyelidik atau Profesor Madya.

Menurutnya, terdapat berpuluh-puluh kekosongan dalam bidang sains dan kejuruteraan yang ditawarkan bagi bulan Februari dan Mac tahun ini. Sekiranya terdapat kekosongan pekerjaan, pihak universiti akan membuat makluman tentangnya.

Sumber gambar: Unsplash

Kelebihan Sambung Belajar Di Norway

Nak cuba tapi risau tak mampu tamatkan pengajian anda? Fadzil yang merupakan seorang felo penyelidik PhD di negara sama telah berkongsi tentang kelebihan menjalani PhD di Norway. Semoga dapat jadi pembakar semangat untuk anda!

#1 Ditawarkan Gaji

Berbeza dengan kebanyakan tempat di dalam negara, pelajar PhD di Norway ditawarkan gaji sekitar NOK532,200 (RM243,943) sebelum ditolak cukai pendapatan. Perkara ini bermakna mereka yang ingin menyambung pelajaran di sana tidak perlu mencari biasiswa atau membuat pinjaman pendidikan.

Malah, gaji yang ditawarkan ini akan meningkat sebanyak 3% setiap tahun bagi menampung kadar kenaikan inflasi. Fadzil memaklumkan gaji ditawarkan bagi pelajar post-doctoral, penyelidik dan Profesor Madya adalah lebih tinggi.

#2 ‘Graduate on Time’

Bagi pelajar sarjana atau PhD, pasti biasa dengar istilah ‘Graduate on Time’ atau GoT. GoT ini bermakna apabila pelajar dapat menyelesaikan pendidikannya dalam tempoh minimum yang ditetapkan.

Fadzil berkata kebarangkalian untuk GoT di Norway adalah sangat tinggi, yakni dalam masa tiga tahun atau empat tahun jika perlu mengajar selama setahun. Pelajar harus tamat pengajian sebelum habis tempoh kontrak memandangkan ia tidak boleh disambung.

Jika perlu juga disambung kontrak itu, pelajar tidak akan dibayar gaji lagi. Oleh itu, Fadzil menekankan bahawa penyelia PhD akan membantu supaya pelajar dapat capai GoT.

‘Graduate-on-Time’ adalah impian semua pelajar. (Sumber gambar: Unsplash)

#3 Peluang Sertai Acara Pendidikan Antarabangsa Di EU & Seluruh Dunia

Dalam masa yang sama, pelajar PhD di Norway berpeluang untuk menyertai persidangan, seminar atau ‘summer school’ di negara-negara Eropah atau lain-lain di seluruh negara.

Kesemua perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak universiti. Pelajar siap dapat elaun tambahan lagi untuk perbelanjaan makan dan minum!

#4 Peluang Pekerjaan Tinggi

Selepas tamat pengajian, sesetengah individu memilih untuk meneruskan kehidupan di luar negara dan mencari pekerjaan di sana. Bagi mereka yang ke Norway, jangan risau kerana peluang pekerjaan adalah tinggi dan gaji yang ditawarkan lumayan.

Dalam masa yang sama, Fadzil berkata individu yang ingin pulang ke tanah air segera setelah tamat pengajian boleh melakukan perkara tersebut. Ini kerana tiada sebarang ikatan atau ‘bonding’ yang mengikat pelajar dengan universiti atau kerajaan Norway walaupun diberi gaji sepanjang pengajian.

#5 Cuti Tahunan Bergaji

Seperti rata-rata syarikat, pelajar PhD juga diberikan cuti tahunan bergaji, atau lebih dikenali sebagai AL. Boleh la pergi bercuti ke negara-negara berhampiran atau pulang ke Malaysia setiap tahun.

Menurut Fadzil, dengan gaji yang mencukupi, tidak mustahil untuk mereka yang masih bujang untuk pulang ke Malaysia sebulan sekali.

Jika anda tertanya tentang kos harian untuk mereka yang berkeluarga, rujuk video Fadzil Tahir di bawah.

#6 Gaji Cukup Untuk Tampung Keluarga

Bagi mereka yang berkeluarga dan ingin membawa mereka bersama menetap di sana, insya-Allah gaji yang diterima cukup untuk menampung mereka.

Tambah Fadzil, pelajar PhD tidak dibenarkan melakukan kerja sampingan untuk mencari duit poket tambahan kerana mereka terikat 100% dengan pihak universiti.

Fadzil juga memberitahu bahawa sekolah tempatan di sana percuma, manakala yuran bagi sekolah antarabangsa pula tidak begitu mahal. Kos perubatan pula adalah percuma, termasuk gigi.

Bagi wanita yang melahirkan anak, mereka akan diberikan cuti bergaji selama setahun! Tetapi jika mereka tidak bekerja sekalipun, suaminya akan mendapat cuti dua bulan bergaji, di tambah pula dengan imbuhan sebanyak NOK90,000 (RM45,000).

Sumber gambar: Unsplash

#7 Work-Life Balance

Di samping itu, Fadzil berkata negara itu amat mempraktikkan work-life balance. Jadi individu berkeluarga boleh meluangkan masa bersama anak-anak tanpa menjejaskan proses pengajian mereka.


Cabaran Tinggal Di Norway

Walau bagaimanapun, setiap yang manis pasti ada pahitnya. Walaupun dengan pelbagai kelebihan yang diberikan kepada pelajar PhD di Norway, terdapat juga cabaran bagi mereka yang menetap di sana.

#1 Berjauhan Dengan Keluarga

Sudah tentu jika anda menyambung belajar di mana-mana negara luar, pasti akan berjauhan dengan keluarga.

Seperti yang dimaklumkan Fadzil, pelajar bujang mampu untuk pulang ke Malaysia setiap bulan. Tetapi bagi yang berkeluarga, mungkin kena tunggu cuti musim panas untuk berada sebulan di tanah air.

Namun, bagi mereka yang yakin dan rasa mampu, tak salah juga untuk bawa keluarga tinggal bersama-sama di Norway.

#2 Waktu Solat & Puasa Yang Berubah Setiap Hari

Kepada yang beragama Islam, Fadzil memaklumkan tentang cabaran untuk menjaga waktu solat dan puasa kerana menurutnya, waktu berubah setiap hari.

Tapi sebenarnya, tak susah pun untuk jaga solat kerana tidak ada halangan untuk pergi solat pada bila-bila waktu.

Fadzil juga berkata penduduk di sana tidak mendiskriminasi, sangat bertoleransi dan baik antara satu sama lain.

#3 Pilihan Makanan Malaysia Terhad

Kalau duduk di luar negara, terutamanya negara yang tidak banyak penduduk dari Malaysia seperti Norway, sudah tentu pilihan makanan terhad dan sukar untuk dapatkan makanan cita rasa tanah air di sana.

Akan tetapi, Fadzil berkata mereka yang teringin untuk mendapatkan makanan seperti nasi lemak dan roti canai boleh ke London kerana terdapat banyak restoran Malaysia di sana. Tiket kapal terbang pun tak mahal katanya.

Selain itu, anda boleh juga mengasah bakat memasak dan hasilkan hidangan tempatan sendiri. Senang je nak buat nasi lemak sebenarnya!

Sumber gambar: Unsplash

#4 Kekangan Bahasa

Apabila hendak ke luar negara, apatah lagi menetap di sana, lebih elok sekiranya kita mengetahui serba-sedikit bahasa tempatannya. Jika di Norway, tidak perlu risau kerana penduduk di sana rata-rata boleh berbahasa Inggeris dengan sangat baik.

Fadzil memaklumkan bahawa pengajian PhD bagi bidang sains dan kejuruteraan dilakukan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun pengajian tidak teknikal dan sains sosial biasanya adalah dalam bahasa Norway.

#5 Cuaca Yang Ekstrem

Norway merupakan negara empat musim seperti kebanyakan negara di Eropah. Namun begitu, ada kalanya penduduk perlu berdepan dengan cuaca yang ekstrem memandangkan kedudukan negara itu yang terletak jauh di utara.

Menurut Fadzil, suhu sewaktu musim salji adalah amat sejuk dan waktu siangnya yang pendek menyebabkan cuaca gelap sepanjang hari.

Pada musim panas pula, cuaca langsung tidak terasa panas dan boleh jadi tidak ada waktu malam kerana matahari kelihatan sepanjang masa.

Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Tapi inilah yang menarik kan? Bila lagi nak menimba pengalaman hidup di negara orang sambil alami sendiri kejadian alam yang Allah SWT telah tetapkan.

Salah satu keajaiban yang terdapat di Norway adalah aurora borealis. Mana tahu kalau ada rezeki dapat saksikannya sewaktu menetap di sana! (Sumber gambar: Unsplash)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd