Now Reading
Tular Lelaki Lemas Ditarik Ombak, Ini Cara Kenal Pasti ‘Rip Current’

Tular Lelaki Lemas Ditarik Ombak, Ini Cara Kenal Pasti ‘Rip Current’

Menurut National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), 80% jumlah usaha menyelamat di tepi pantai adalah disebabkan oleh arus karau.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kejadian lemas ketika melakukan aktiviti air merupakan insiden yang amat menyedihkan kerana perkara itu boleh berlaku secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi apabila ia terjadi sewaktu keluarga sedang seronok menikmati percutian mereka.

Insiden sedemikian telah menimpa satu keluarga, apabila Allahyarham Zulkarnain Mohamed Zubir dihanyutkan arus secara tiba-tiba ketika sedang beriadah di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu.

Mangsa lemas kira-kira jam 11.20 pagi pada 18 Februari lalu dan meninggalkan seorang balu serta dua anak berusia sembilan dan 11 tahun.

Jasadnya ditemui sejauh 16 kilometer dari tempat kejadian dan berhampiran perairan Pulau Kapas.

Tidak dinafikan pantai memang tempat yang menenangkan, namun ia juga boleh menjadi mimpi ngeri. (Sumber gambar: Unsplash)

Orang Ramai Perlu Cakna Fenomena Arus Karau

Susulan itu, seorang pengguna Facebook, Sabri Mamat, berkongsi tentang fenomena arus karau atau ‘rip current’.

Menurutnya, perkara ini sebenarnya telah didedahkan oleh Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir, Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum ini.

Namun katanya, mungkin masyarakat kurang beri perhatian berkenaan arus karau ini.


Terdapat Ruang Yang Diapit Ombak

Dia menerangkan bahawa arus karau boleh dikenal pasti apabila terdapat ruang yang diapit ombak di kedua-dua belah kiri dan kanan.

Apabila keadaan ini diperhatikan, anda sama sekali tidak boleh mandi di kawasan tersebut. Mandi di kawasan arus karau boleh menyebabkan anda ditarik arus deras secara tiba-tiba, sekaligus menimbulkan rasa panik.

Ruang kanan dan kiri diapit ombak menandakan kewujudan arus karau. (Sumber gambar: Sabri Mamat/ Facebook)

Ditarik Sekitar 9 Meter Ke Tengah Laut

Menurut National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), 80% daripada jumlah usaha menyelamat di tepi pantai adalah disebabkan oleh arus karau.

Merupakan arus yang kuat dan deras, ia boleh bergerak selaju lapan kaki dalam masa sesaat.

Fenomena arus karau boleh menyebabkan mangsa ditarik sekurang-kurangnya 30 kaki (sekitar 9 meter) ke tengah lautan.

Sumber gambar: Unsplash

Jangan Berenang Lawan Arus, Cuba Kekal Terapung

Jika berada dalam situasi ini, jangan cuba berenang ke arah pantai kerana sudah pasti anda tidak akan terdaya melawan arus yang kuat.

Perkara ini akan menyebabkan anda berasa penat, seterusnya mendedahkan anda kepada risiko lemas apabila tidak mampu lagi mengapungkan diri.

Sebaliknya, biarkan sahaja arus menarik anda sambil cuba untuk kekal terapung. NOAA menjelaskan bahawa arus jenis ini tidak akan menarik mangsa ke bawah permukaan laut, tetapi menarik mangsa jauh dari pantai.

Dalam masa yang sama, anda boleh cuba untuk berenang ke tepi arus supaya dapat keluar daripada jalur arus yang deras itu. Jerit untuk meminta pertolongan daripada orang ramai.

PERHATIAN: Orang ramai diingatkan supaya tidak berenang ke dalam arus untuk menyelamatkan mangsa.

Sebaliknya, hanya baling pelampung dan minta bantuan pihak berwajib. Menurut NOAA, petugas keselamatan pantai akan turut menggunakan peranti terapung untuk menyelamatkan mangsa.

Sumber: National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)

Pantai Batu Burok Bukan Tempat Mandi

Menurut penduduk tempatan, Pantai Batu Burok sebenarnya bukan tempat mandi memandangkan ia sejenis pantai terbuka dan terdedah kepada Laut Cina Selatan.

Kami rakyat Terengganu memang tidak mandi di pantai terbuka. Terutamanya di Pantai Batu Burok, memang tuan-tuan tidak akan jumpa orang Terengganu mandi beramai-ramai di sana.

Penduduk Kuala Terengganu, Sabri Mamat.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa lokasi tumpuan pelancong yang membenarkan aktiviti mandi pantai seperti Pantai Kekabu Marang.

Di kawasan tersebut, Pihak Pejabat Daerah (PPD) telah menyediakan seorang petugas keselamatan lengkap dengan segala kemudahan jika berlakunya kes lemas.

Pantai Batu Burok merupakan tempat riadah keluarga dengan pelbagai aktiviti. Namun berenang sama sekali tidak digalakkan penduduk tempatan. (Sumber gambar: Heiji Hattori/ Google Review)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd