Now Reading
Rasa Sakit Seakan Senggugut Tapi Belum Datang Haid? Mungkin Proses Ovulasi Sedang Berlaku

Rasa Sakit Seakan Senggugut Tapi Belum Datang Haid? Mungkin Proses Ovulasi Sedang Berlaku

Antara simptom sakit ovulasi adalah sakit mencucuk di bahagian bawah perut, sakit kepala, mual dan sakit belakang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sesetengah wanita mengalami sakit senggugut sewaktu tempoh haid. Ada yang merasakan sakit yang teruk, tetapi ada juga hanya berasa kurang selesa.

Selain daripada senggugut, terdapat juga individu yang mengalami sindrom pramenstruasi (PMS) yang berlaku beberapa hari sebelum kedatangan haid.

Namun begitu, tahukah anda bahawa wanita juga boleh mengalami kesakitan sewaktu berovulasi?


Ovulasi Melepaskan Telur Matang Ke Dalam Tiub Falopio

Ovulasi merupakan salah satu tempoh di dalam kitaran haid wanita dan kebiasaannya terjadi pada hari ke-14. Ia adalah tempoh ketika mana ovari melepaskan satu telur dikenali sebagai ovum yang akan bergerak ke tiub Falopio.

Proses ovulasi terjadi apabila otak menghasilkan hormon pembebasan gonadotropin (GnRH) yang bertanggungjawab dalam menghasilkan hormon perangsang folikel (FSH) dan hormon peluteinan (LH).

Antara hari keenam dan ke-14 kitaran haid, FSH membantu dalam memulakan proses pematangan folikel yang mengandungi ovum sedang berkembang. Folikel ini akan menjadi telur yang matang sewaktu hari 10 ke 14 kitaran.

Rajah menunjukkan kitaran haid wanita secara purata (Sumber gambar: Women’s Health Network).

40% Wanita Alami Sakit Ketika Berovulasi

Sekitar hari ke-14 kitaran haid, paras LH akan meningkat secara mendadak, seterusnya memberi isyarat supaya ovari melepaskan telur yang telah matang itu.

Menurut Better Health Channel, sekitar 40% wanita mengalami sakit sewaktu berovulasi.

Secara umumnya, keadaan ini tidak membahayakan, tetapi sakit ovulasi yang teruk mungkin memberi indikasi bagi masalah kesihatan lain. Sakit ovulasi boleh berlaku selama beberapa minit sehingga 48 jam.

Ujian ovulasi dapat mengenal pasti apabila perkara tersebut telah berlaku. (Sumber gambar: Healthline).

Sakit Ovulasi Mungkin Seperti Senggugut

Seorang pakar obstetrik ginekologi Dr Ose Etiobhio, berkata sakit ovulasi boleh sama seperti senggugut.

Juga dikenali sebagai ‘mittelschmerz‘, antara simptomnya adalah sakit mencucuk dan kejang di bahagian bawah perut, demam, sakit kepala, sakit belakang dan mual.

Wanita yang mengalami keadaan ini akan merasa sakit hampir setiap bulan. Kebiasaannya, wanita akan merasa sakit di kawasan berdekatan ovari yang akan melepaskan ovum pada bulan itu.

Sumber gambar: Pexels.

Paras LH Tinggi Mungkin Sebabkan Sakit Ovulasi

Sakit ovulasi didapati berlaku pada waktu yang sama apabila paras LH berada di puncak, iaitu ketika folikel sedang membesar tetapi masih belum pecah menjadi telur.

Berdasarkan kepada National Library of Medicine (NLM), sakit ovulasi mungkin disebabkan oleh paras LH yang tinggi meningkatkan pengecutan otot licin perifolikular ovari.

Sakit ovulasi boleh diuruskan melalui pelbagai cara seperti berikut:

  • Tuam di bahagian perut menggunakan pek haba.
  • Mengambil ubat-ubatan tahan sakit atau senggugut.
  • Mengambil pil perancang atau lain-lain perancang hormon yang menghentikan ovulasi bagi mereka yang tidak merancang untuk hamil.
Sumber gambar: Unsplash.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd