Kementerian Sumber Manusia Bakal Pertimbang Cuti Haid Untuk Pekerja Wanita
GLC dan firma swasta bebas untuk menambah cuti haid kepada pekerja wanita di dalam polisi syarikat masing-masing.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Kementerian Sumber Manusia telah menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta di Malaysia untuk melaksanakan dasar cuti haid mengikut keputusan sendiri tanpa perlu menunggu kerajaan menggubalnya.
GLC dan firma swasta bebas untuk menambah cuti haid kepada pekerja wanita di dalam polisi syarikat masing-masing dan boleh membincangkan isu itu dengan kesatuan pekerja serta pihak lain.
Untuk membolehkan cuti haid dimasukkan ke dalam undang-undang, ianya memerlukan banyak masa dan kajian mendalam kerana inisiatif yang sedang diperdebatkan ini boleh menandakan kemajuan sesebuah negara tetapi tanpa disedari akan mengehadkan kerjaya wanita.
Kebaikan kepada wanita
Sudah tentu, inisiatif ini lebih memberi kelebihan kepada para wanita dan menjadikan persekitaran kerja cenderung kepada keperluan wanita.
Kebanyakan wanita di Malaysia mengalami kesakitan haid dipanggil sebagai ‘dysmenorrhea’ sehingga mengakibatkan keperitan melampau, pening dan kesukaran lain yang menjejaskan prestasi kerja.
Kebanyakan wanita hanya diajar untuk mengabaikan kesakitan itu atau mengubatinya sendiri dengan ubat tahan sakit serta memaksa diri terus bekerja dalam suasana yang menyakitkan.

Dengan melaksanakan cuti haid, ianya akan meningkatkan hak wanita dan dilihat sebagai satu langkah progresif oleh pihak kerajaan.
Tinjauan yang dijalankan oleh NST mendapati 87% daripada 1,177 individu mahu menerima pakai polisi cuti haid di Malaysia.
Keburukan jika cuti diberikan
Walau bagaimanapun, sisi gelap jika inisiatif cuti haid dilaksanakan adalah wanita berkemungkinan kurang diambil oleh pihak majikan sebagai pekerja dan sedikit sebanyak ianya akan menjejaskan kerjaya seseorang wanita.
Di negara di mana haid dan kesihatan wanita masih menjadi satu stigma, kebajikan khusus untuk kaum hawa ini hanya akan menimbulkan lebih banyak diskriminasi buat mereka di tempat kerja.

Sehingga kini, ada juga yang agak malu untuk mendedahkan bahawa diri mereka sedang dalam haid. Malah di negara yang telah melaksanakan polisi cuti haid seperti Jepun, Indonesia, dan Taiwan juga tidak ramai wanita menggunakan cuti tersebut kerana malu atau takut.
Hal ini akan menyebabkan kerajaan mengambil sedikit masa untuk komited terhadap polisi cuti haid yang sebenar.
Walau bagaimanapun, syarikat lain di luar sana dialu-alukan untuk membuat perbincangan dengan pekerja wanita mereka untuk membentuk dasar yang sesuai bagi keperluan mereka.
BACA JUGA: Sepanyol Tawar Cuti 3 Hari Buat Pekerja Wanita Yang Alami Masalah Ketika Datang Haid
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.