Now Reading
Fenomena ‘Laut Terbelah’ Di Pulau Pangkor, Pengunjung Boleh Berjalan Kaki Ke Pulau Giam

Fenomena ‘Laut Terbelah’ Di Pulau Pangkor, Pengunjung Boleh Berjalan Kaki Ke Pulau Giam

Menurut Penolong Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Nur Aniessa Abd Aziz, fenomena ‘laut terbelah’ di Pulau Pangkor hanya berlaku sekali setahun iaitu menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terdapat pelbagai fenomena alam semula jadi di Malaysia yang menjadi pengetahuan umum seperti gerhana bulan dan matahari, pelangi, awan garis badai dan hujan air batu.

Mungkin kurang diketahui orang ramai, fenomena ‘laut terbelah’ turut terjadi di beberapa tempat dalam negara.

Seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Tina (@puantina) telah berkongsi pengalamannya menyaksikan dan merasai sendiri fenomena ‘laut terbelah’ di Pulau Pangkor.

Menurutnya, fenomena unik ini hanya terjadi di kawasan tersebut sekali dalam masa setahun, iaitu pada 11-13 Februari bagi tahun ini.

Sumber gambar: @puantina/ TikTok

Pulau Giam 400 Meter Dari Teluk Nipah

Untuk tidak terlepas peluang menyaksikan fenomena unik itu, dia telah siap sedia menunggu di kawasan pantai Teluk Nipah yang terletak berhadapan Pulau Giam seawal jam 9 pagi. Menerusi videonya, dapat dilihat orang ramai sedang menunggu air surut sebelum melintas ke Pulau Giam.

Apabila siren dibunyikan, ia menandakan bahawa air telah surut dan selamat bagi pengunjung untuk merentasi beting pasir ke Pulau Giam yang terletak kira-kira 400 meter dari pantai Teluk Nipah.

Tina memberi cadangan supaya orang ramai yang ingin ke kawasan berkenaan memakai kasut pantai untuk elak daripada terpijak batu karang atau lain-lain benda tajam.

Dia juga berkata terdapat pelbagai hidupan laut sepanjang perjalanan di atas beting pasir dan di Pulau Giam seperti timun laut, gamat emas, batu karang, siput dan kerang.

Gamat emas antara hidupan laut yang ditemui. (Sumber gambar: @puantina/ TikTok).

Ada Tempoh Masa 40 Minit Untuk Merentasi Beting Pasir

Dia turut memperkenalkan seorang wanita yang bertugas bagi memastikan keselamatan orang ramai dengan memastikan laluan beting pasir tersebut tidak tersasar.

Wanita berkenaan memberi pesanan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dan utamakan keselamatan walaupun berasa seronok ketika di sana.

Di samping itu, kawasan berkenaan turut dipantau oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bercakap dengan seorang anggota, dia diberitahu bahawa sekitar 40 minit adalah tempoh masa yang paling selamat untuk melintasi beting pasir tersebut iaitu sebelum air mula pasang.

Apabila air mula pasang, mereka akan membuat satu pengumuman yang meminta pengunjung supaya pulang ke darat.

Sumber gambar: @puantina/ TikTok.

Boleh Cari Siput Di Pulau Giam

Menurut Tina, paras air maksimum di sepanjang laluan itu adalah lebih tinggi sedikit daripada lututnya. Katanya juga, terdapat banyak batu tajam apabila menghampiri Pulau Giam.

Masa nak dekat sampai tu, ada banyak batu-batu tajam juga tau. Jadi waktu ini memang kena hati-hati sangatlah.

Tina.

Dia memaklumkan terdapat individu yang membawa bakul untuk mencari siput di dalam pasir di pulau berkenaan.

Dalam masa yang sama, dia mengingatkan orang ramai supaya tidak mengubah, memegang atau mengangkat batu-batu karang yang terdapat di sana bagi tujuan menjaga habitatnya.

Dia yang telah terjumpa sampah berupa cawan plastik turut meminta orang ramai supaya menjaga kebersihan.

Selain daripada berjalan di atas beting pasir, pengunjung juga boleh memilih untuk menaiki kayak yang boleh disewa di pantai Teluk Nipah.

Sumber gambar: @puantina/ TikTok.

Fenomena Berlaku Menjelang Tahun Baru Cina

Menurut Penolong Pegawai Tadbir (Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai) Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Nur Aniessa Abd Aziz, fenomena ‘laut terbelah’ hanya berlaku sekali setahun apabila air laut di kawasan berkenaan surut habis.

Katanya lagi, fenomena itu kebiasannya berlaku menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Ia berlaku selama tiga hari berturut-turut dan bermula sekitar jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Nur Aniessa menjelaskan bahawa pihaknya berkerjasama dengan JBPM dan polis bagi menjamin keselamatan pengunjung sewaktu berada di lokasi berkenaan.

“Ini antara tarikan utama pengunjung ke Pulau Pangkor kerana mereka boleh merasai sendiri serta merakam pengalaman berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam bersama keluarga,” katanya kepada Berita Harian.

Fenomena yang sama turut dilaporkan berlaku di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi sebelum itu dan meraih lebih 3,000 pengunjung ke kawasan tersebut.

@puantina FENOMENA LAUT TERBELAH, Teluk nipah ke pulau giam sepanjang 400m Setahun sekali boleh menyaksikan dan mengambil peluang merentasi laut terbelah di sini. 11-13 feb 2024 sahaja waktu paling surut dan selamat. Jangan risua banyak jabatan yang turut serta menjaga keselamatan pengunjung sepanjang air surut berlaku. #fenomenaairsurut #fenomenaairsurutpangkor #pulaupangkor #pulaugiam #teluknipah #travelpangkor #travelperaklah #puantina ♬ original sound – puantinass

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd