Now Reading
[Video] Tular Murid Perempuan Diserang Anjing Bertuan Di Pulau Pinang

[Video] Tular Murid Perempuan Diserang Anjing Bertuan Di Pulau Pinang

Individu yang dipercayai pemilik anjing berkenaan dilihat gagal menghalang haiwan agresif itu daripada terus menyerang kanak-kanak perempuan terbabit.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak semalam (30 Januari), tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua murid perempuan diserang seekor anjing bertuan di sebuah kawasan taman perumahan di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun X @mynewshub, kelihatan kanak-kanak itu sedang berjalan kaki di hadapan deretan rumah teres dipercayai ingin menuju ke sekolah.

Anjing bertuan keluar dari rumah terus serang murid sekolah

Bagaimanapun, secara tiba-tiba seekor anjing menerpa keluar daripada sebuah rumah dan terus menyerang salah seorang mangsa.

Dalam video terbabit, kelihatan kanak-kanak itu terjatuh akibat ditarik oleh anjing berkenaan sebelum seorang individu dipercayai pemiliknya datang cuba menghalang haiwan terbabit.

Individu dipercayai pemilik anjing gagal halang haiwan agresif terbabit

Namun, individu berkenaan dilihat gagal menghalang tindakan anjingnya yang terus-menerus cuba menyerang kanak-kanak perempuan itu.

Seorang jiran lelaki cuba membantu menghalau anjing berkenaan dengan menggunakan sebatang kayu sebelum keadaan dilihat kembali terkawal.

Dua video CCTV berdurasi 2 minit dan 1 minit itu turut mendapat perhatian pengguna laman X selepas dikongsikan oleh portal mynewshub. Rata-rata dilihat mengecam pemilik anjing tersebut kerana gagal mengawal tindakan agresif haiwan belaannya itu.

MBSP sedang kesan anjing bertuan agresif berkenaan

Sementara itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengesahkan pihaknya sedang mengesan anjing berkenaan.

Menurut MBSP, pihaknya telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan di rumah pemilik haiwan itu di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat pada hari yang sama kejadian berlaku iaitu Selasa (30 Januari) selepas menerima laporan.

Pemilik anjing pindah haiwan terbabit ke pusat perlindungan di Butterworth

Bagaimanapun hasil siasatan mendapati anjing terbabit telah dipindahkan oleh pemilik ke pusat perlindungan haiwan di Butterworth.

“MBSP akan melaksanakan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar anjing tersebut.

“Tindakan mengeluarkan kompaun (kerana) menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik akan diambil,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini (31 Januari).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd