Now Reading
[Video] Arwah Saloma Dedah Allahyarham P Ramlee Dapat Ilham Lirik Lagu & Skrip Saat Di Bilik Mandi

[Video] Arwah Saloma Dedah Allahyarham P Ramlee Dapat Ilham Lirik Lagu & Skrip Saat Di Bilik Mandi

Menurut Allahyarhamah Saloma, suaminya boleh berada di dalam bilik mandi berjam lamanya sementara mendapatkan ilham untuk menulis lagu atau skrip filem.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Negara kita dikurniakan dengan pelbagai warisan seni dan budaya yang tidak luput ditelan zaman melalui usaha-usaha yang ditonjolkan tokoh seni tanah air.

Salah satu daripada tokoh seni negara ialah Allahyarham P. Ramlee, atau nama sebenarnya Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, yang tidak lekang daripada menjadi buah mulut sehingga kini.

P. Ramlee yang dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Aidilfitri 22 Mac 1929 telah bergelumang dalam industri seni negara selama 25 tahun, antaranya sebagai pengarah, pelakon, penyanyi, pemuzik dan penggubal lirik.

Antara filem arwah seniman negara yang menjadi ‘box-office’ adalah Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Anakku Sazali dan Madu Tiga.

Rumah kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang telah dijadikan muzium. (Sumber gambar: Arkib Negara).

Saloma Isteri Terakhir P. Ramlee

P. Ramlee pernah berkahwin sebanyak tiga kali, dengan isteri terakhirnya Allahyarhamah Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail, atau lebih dikenali sebagai Saloma.

Berkahwin pada 21 November 1961, hubungan mereka kekal hingga ke nafas terakhir P. Ramlee pada tahun 1973.

Satu video temu bual arwah Saloma yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok (@sweett0901) telah tular. Saloma dilihat sedang ditemu bual mengenai arwah P. Ramlee.

Pada awal temu bual, dia memberitahu bahawa arwah seniman itu pasti mahukan ikan kering untuk makan bersama-sama dengan nasi. Jika tiada ikan kering, beliau sanggup tidak makan dan Saloma pasti akan segera menggorengkan ikan tersebut untuknya.


P. Ramlee Dapat Ilham Berkarya Di Bilik Mandi

Menurut Allahyarhamah Saloma, P. Ramlee mencipta lagu tidak kira masa sama ada siang mahupun malam. Yang lebih menarik lagi, P. Ramlee mendapat ilham mencipta lagu dan menulis skrip di bilik mandi.

Saloma berkata suaminya itu boleh berada di dalam bilik mandi berjam lamanya sehingga menimbulkan kerisauan, terutamanya sewaktu awal perkahwinan.

Apabila pengkarya itu sedang mendapatkan ilham, Saloma tidak mengganggunya dan akan menggunakan bilik mandi lain.

Dia berkata bilik mandi berkenaan seolah-olah khas untuk arwah suaminya, dan turut dibersihkan dan dikekalkan dalam keadaan cantik oleh arwah sendiri.


Saloma Lakukan Hobi Sementara Tunggu P. Ramlee Cipta Lagu

Seperti semua sedia maklum, arwah P. Ramlee juga merupakan seorang penggubal muzik. Saloma menceritakan bahawa apabila hendak mencipta lagu, suaminya akan duduk di sebuah piano miliknya.

Sewaktu tempoh penghasilan lagu, tiada sebarang peralatan elektronik seperti radio dan televisyen yang boleh dipasang agar tidak mengganggu arwah bekerja.

Sementara menunggu suaminya selesai mencipta lagu, Saloma kebiasannya akan menjahit atau melukis.

Saloma berkata masing-masing mempunyai hobi yang tersendiri untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang ketegangan dalam keluarga.

Foto perkahwinan P. Ramlee dan Saloma. (Sumber gambar: Wikipedia).

Tambahnya, jika P. Ramlee mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan lagu, selama itu jugalah mereka tidak akan bercakap sesama sendiri, kecuali untuk perkara penting.

Saloma berkata dia telah benar-benar memahami cara suaminya dan menganggap P. Ramlee sebagai seorang yang ganjil.

Berbeza dengan Saloma yang suka membaca buku, P. Ramlee sebaliknya gemar membaca surat khabar.

Katanya lagi, apabila diajak melihat drama televisyen, P. Ramlee akan pergi bermain piano. Saloma pula terpaksa duduk betul-betul di hadapan televisyen dan memperlahankan suaranya agar tidak mengganggu suaminya bermain piano.


Saloma Biduanita Pertama Negara

Menerusi video temu ramah terbabit, dapat dilihat betapa sayangnya Allahyarhamah Saloma terhadap arwah suaminya P. Ramlee.

Dia yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon telah dikurniakan gelaran Biduanita Pertama Negara pada 1978. Saloma turut menjadi wanita warganegara pertama yang ditawar kontrak menyanyi di luar negara, yakni di Perth, Australia.

Hasil nyanyiannya bagi filem-filem yang diterbitkan sekitar tahun 50-an, Saloma mula menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Saloma telah meninggal dunia pada 25 April 1983 akibat penyakit kuning, 10 tahun setelah pemergian suami tercinta. Dia dikuburkan bersebelahan pusara Allahyarham P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd