Now Reading
Pameran Khas P.Ramlee & Saloma Di Fahrenheit88, Bukit Bintang, KL. Nostalgik!

Pameran Khas P.Ramlee & Saloma Di Fahrenheit88, Bukit Bintang, KL. Nostalgik!

Kerana kekuatan ‘aura bintang’ kedua-dua tokoh inilah pihak Fahrenheit88 dan Arkib Negara Malaysia bersepakat untuk mengangkat mereka berdua dalam menyemarakkan sambutan Syawal pada tahun ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Pusat Beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur menganjurkan pameran khas  P.Ramlee dan Saloma di tingkat 2 pusat beli-belah tersebut mulai 14 April 2022 hingga 16 Mei 2022.

Pameran khas ini diadakan bersempena dengan kempen “Raya Melodies” anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini yang  memilih Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma sebagai tema dekorasi pusat beli-belah itu.

Arkib Negara Malaysia telah dipilih oleh Fahrenheit88 sebagai rakan strategik kerjasama memandangkan Arkib Negara adalah jabatan kerajaan yang  bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan koleksi artifak milik Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma di Pustaka Peringatan P.Ramlee, Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P.Ramlee, Pulau Pinang.

Pameran khas ini mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung dan Biduanita Negara serta barangan peribadi mereka yang jarang dipamerkan kepada umum.


Bio Tan Sri P.Ramlee.

Nama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sememangnya sinonim dengan perkembangan dan pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air. P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929.

Minat beliau yang mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak beliau masih muda lagi.

Kerjayanya sebagai anak seni bermula ketika P.Ramlee ditawarkan berlakon di dalam sebuah filem bertajuk Chinta pada tahun 1948. Kesungguhan dan keupayaan beliau mempelajari pelbagai aspek pembikinan filem menyebabkan beliau diberi peluang mengarah filem Penarek Becha pada tahun 1955.

Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik dan beliau dipilih sebagai “Pengarah Terbaik” pada tahun 1956. Sepanjang hayatnya, P.Ramlee telah berlakon hampir 66 buah filem, mengarahkan 37 buah filem dan mencipta banyak lagu.

Hampir 250 buah lagu yang dicipta oleh beliau telah menjadi popular.


Anugerah.

P.Ramlee pernah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan di peringkat  antarabangsa.

Antaranya, beliau telah terpilih sebagai “Pelakon Lelaki Terbaik” untuk filem Anakku Sazali di Pesta Filem Asia, Tokyo pada tahun 1957 dan memenangi  filem “Komedi Terbaik” di Pesta Filem Asia ke 6 pada tahun 1959 bagi filem Pendekar Bujang Lapok.

Demikian juga filem Nujum Pak Belalang dan filem Madu Tiga telah  memenangi anugerah “Filem Komedi Terbaik” pada tahun 1958.

Dalam Pesta Filem seluruh Asia pada tahun 1963, beliau telah menerima satu anugerah luar biasa, “The Most Versatile Talent” melalui filem Ibu Mertuaku.


Pasangan Hidup, Saloma.

Manakala pasangan hidup P.Ramlee iaitu Salmah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma adalah seorang anak seni sejati yang telah mengabadikan dirinya semata-mata hanya untuk seni sepanjang hayatnya.

Beliau dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1935.

Saloma mula mengasah bakatnya dalam  bidang seni suara apabila mendapat peluang untuk membuat persembahan bersama Kumpulan “The Singapore Boy” di New World Cabaret dan nyanyian pertama beliau adalah “Seven Lovely Days”.

Pada tahun 1950-an, Saloma hanya dikenali melalui lagu-lagu dendangannya serta watak sampingan dalam filem-filem Melayu sehinggalah beliau melakonkan watak utama dalam filem Azimat (1958) dan filem Kaki Kuda (1958) dan terus melangkah ke dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa filem popular seperti Seniman Bujang Lapok (1961), Ragam P.Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968).

P.Ramlee dan Saloma telah melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober 1961 dalam satu majlis yang amat sederhana. Keserasian yang ditonjolkan oleh pasangan ini sering mendapat pujian dan digelarkan sebagai pasangan merpati dua sejoli.

Sikap Saloma yang mencintai P.Ramlee seadanya sebagai seorang yang biasa  menyebabkan beliau kekal menjadi suri hidup sehati sejiwanya sehingga ke akhir hayat mereka berdua.

Sebagai seorang seniman Agung serba boleh, P.Ramlee mengetengahkan unsur-unsur kebudayaan melayu dan kesepakatan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dalam setiap karya filem yang dihasilkan.

Karya yang ditonjolkan olehnya bukan sahaja relevan sepanjang zaman  tetapi juga sarat dengan nilai dan kritikan sosial yang tajam. Malah beliau berjaya mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu tanpa mengira bangsa, kaum dan budaya.

Karya-karya beliau mampu untuk melahirkan masyarakat harmoni dan mempunyai nilai budaya yang tinggi.

Kerana kekuatan ‘aura bintang’ kedua-dua tokoh inilah pihak Fahrenheit88 dan Arkib Negara Malaysia bersepakat untuk mengangkat mereka berdua dalam menyemarakkan sambutan Syawal pada tahun ini dengan tema “Raya Melodies” memandangkan negara kita telah beralih ke fasa endemik.

Sudah dua tahun pusat beli-belah sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti perayaan yang besar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pemilihan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma diharapkan dapat mengembalikan kemeriahan sambutan perayaan di negara ini.

Jangan lupa untuk singgah ke Fahrenheit88, Bukit Bintang sehingga 16 Mei ini!


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd