Now Reading
Netizen Laporkan Cubaan Lelaki Jual Ubat HIV Di Media Sosial

Netizen Laporkan Cubaan Lelaki Jual Ubat HIV Di Media Sosial

Ubat-ubatan itu cuba dijual oleh lelaki berkenaan pada harga RM300 sebotol sedangkan ia diterima secara percuma daripada Hospital Sultanah Bahiyah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan menjadi antara pilihan perubatan yang sering didapatkan oleh rakyat Malaysia. Dengan caj serendah RM1, pesakit boleh mendapatkan khidmat perundingan, rawatan dan ubat-ubatan yang diperlukan.

Namun begitu, tidak kurang ramai juga individu mengambil mudah fasiliti ini sedangkan ia mendapat subsidi tinggi dari kerajaan. Malah, ada pula yang mengambil kesempatan dengan cubaan menjual ubat-ubatan yang diterima secara percuma.

Baru-baru ini, seorang lelaki cuba untuk menjual ubat-ubatan jenis Efavirenz dan Tenof EM melalui satu akaun X. Sebagai info, kedua-dua jenis ubat ini digunakan bagi mengawal jangkitan HIV atau ‘human immunodeficiency virus’.

Menurutnya, terdapat lima set ubat-ubatan yang masih belum dibuka, manakala satu set telah digunakan sedikit.

Individu berkenaan turut berkata bahawa dia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesan sampingan buruk yang berlaku akibat pengambilan ubat-ubatan berkenaan.

Sumber: X

Netizen Laporkan Pada SISPAA & Pihak Hospital Sultanah Bahiyah

Merujuk kepada gambar tersebut, kami mendapati bahawa ubat-ubatan itu didapatkan oleh lelaki berkenaan dari Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.

Di samping itu, seorang individu telah bertanyakan harga ubat-ubatan tersebut dan mendapati ia dijual dengan harga RM300 sebotol, walhal ia diberi secara percuma oleh pihak hospital.

Individu tersebut telah melakukan aduan terhadap Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Selain itu, seorang individu lain pula telah melaporkan perkara berkenaan kepada pihak Hospital Sultanah Bahiyah dan Klinik Kesihatan Kuala Kedah. Berdasarkan kepada hantaran di akaun X miliknya, perkara itu kini sedang dalam siasatan.


Penjualan Ubat Tanpa Kebenaran Adalah Kesalahan Undang-Undang

Untuk makluman, harga ubat-ubatan HIV sebenarnya adalah sangat mahal. Oleh itu, pemberian secara percuma oleh institusi perubatan awam bermakna ia disubsidi secara penuh oleh kerajaan.

Menurut data dari Penang Institute pada tahun 2017, rawatan pertama (first-line) Terapi Antiretroviral (ART) yang merangkumi pelbagai ubat-ubatan memakan kos antara RM115.20 hingga RM450 sebulan.

Rawatan kedua (second-line) pula boleh mencecah sehingga RM780 setiap bulan.

Tindakan memiliki ubat-ubatan untuk dijual tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan berdasarkan Seksyen 13 Akta Racun 1952.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd