Lambaian Kasih Agong & Raja Permaisuri, Acara Akhir Sebelum Pasangan Diraja Pulang Ke Pahang Esok
Acara lambaian kasih atau ‘state drive’ akan bermula pada jam 10 pagi dari Dataran Parlimen ke Bulatan Dato’ Onn esok.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setelah lima tahun memegang tampuk kepimpinan negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menamatkan pemerintahannya esok (30 Januari 2024).
Demi memperingati Agong bersama-sama Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, acara lambaian kasih atau ‘state drive’ akan berlangsung esok.
Bermula dari Dataran Parlimen pada jam 10 pagi, acara itu akan berlangsung hingga ke Bulatan Dato’ Onn. Ia dicadangkan berlangsung sebelum Seri Paduka Baginda berdua berlepas ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jalan Parlimen hingga Bulatan Dato’ Onn Ditutup Dari 6 Pagi
Sehubungan dengan itu, sepanjang Jalan Parlimen sehingga ke Bulatan Dato’ Onn akan ditutup sepenuhnya seawal jam 6 pagi, maklum Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini (29 Januari).
Penutupan jalan tersebut bertujuan bagi memberi ruang pergerakan masuk pasukan pelambai, yang merangkumi 3,650 kakitangan kerajaan dari pelbagai kementerian.
Bas-bas yang membawa pasukan tersebut akan menurunkan pasukan pelambai di sepanjang Jalan Parlimen sehingga, ke arah Bulatan Dato’ Onn dan diparkirkan di sekitar Padang Merbok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Istiadat Keberangkatan Balik Agong & Raja Permaisuri
Orang ramai turut dijemput hadir menyertai lambaian kasih dan bersama-sama meraikan Agong dan Raja Permaisuri. Allaudeen berkata kenderaan persendirian boleh diletakkan di kawasan sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukif Aman dan parkir di bawah Dataran Merdeka.
Sebelum acara lambaian kasih berlangsung, Agong dan Raja Permaisuri dijangka akan menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik. Istiadat tersebut bermula di Istana Negara sebelum ke Dataran Parlimen sebagai simbol tamatnya tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 negara.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan menempatkan kira-kira 91 orang pegawai bagi mengawal lalulintas, maklum Allaudeen.
Agong Menitiskan Air Mata Ketika Majlis Jamuan Negara
Pada 27 Januari lalu, satu Majlis Jamuan Negara telah diadakan sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ketika menyampaikan titah, Agong Al-Sultan Abdullah tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata. Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi menerima kehadirannya bersama Raja Permaisuri Agong.
Saya akan berangkat pulang ke Pahang dengan satu perasaan yang sedih dan gembira dan bersyukur kerana amanah ini telah saya laksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati saya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Di samping itu, Baginda menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia kekal bersatu padu dan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Agong dan Raja Permaisuri baharu.
Ucapan Agong Pada Raja Permaisuri Menyentuh Hati
Dalam titah yang sama, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa bertuah kerana telah berjaya menawan hati Raja Permaisurinya 38 tahun yang lalu. Baginda turut bersyukur dan berbangga kerana Tunku Azizah berjaya menambat hati rakyat Malaysia sepanjang lima tahun pemerintahannya.
Menyamakan Tunku Azizah seperti Siti Khadijah yang menyokong perjuangan Rasulullah SAW sepanjang hidupnya, Agong menitahkan bahawa Raja Permaisuri tidak lekang memberi perangsang dan semangat kepadanya untuk terus memikul amanah sebagai ketua negara.
Sejumlah 20 Laluan Sekitar Lembah Klang Akan Ditutup Esok
Sehubungan dengan acara lambaian kasih Agong dan Raja Permaisuri, terdapat tujuh laluan yang akan ditutup secara penuh bermula 9 pagi esok (30 Januari) iaitu:
- Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama)
- Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen
- Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen
- Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato’ Onn
- Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato’ Onn
- Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato’ Onn
- Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato’ Onn
Dalam masa yang sama, terdapat 13 laluan lain yang akan ditutup secara berperingkat bermula dari 9 pagi seperti berikut:
- Lebuhraya Sultan Iskandar ke Jalan Damansara
- Jalan Travers ke Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara)
- Jalan Sultan Hishamuddin ke Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin)
- Jalan Tun Sambathan ke Jalan Damansara
- Jalan Syed Putra ke Jalan Istana
- Jalan Dewan Bahasa ke Jalan Istana
- Jalan Sungai Besi ke Lebuhraya KL-Seremban
- Lingkaran Tengah/Jalan Connaught dari Lebuhraya Syed Putra
- NPE dari Pantai Dalam
- Maju Expressway (KL-Putrajaya) dari Plaza Tol Salak Selatan
- Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Sungai Besi
- Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Lebuhraya KL-Seremban
- Sukom Interchange ke arah Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
1. Seven routes in Kuala Lumpur will be fully closed, while 13 routes will be closed in stages this Tuesday (Jan 30).
— BFM News (@NewsBFM) January 28, 2024
This is in conjunction with the sending off ceremony for the 16th Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. https://t.co/NVCRbgFkYf pic.twitter.com/OMSdh4K67q
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Semoga Kami Berdua Sentiasa Dalam Ingatan” – Ucapan Agong & Pemaisuri Buat Ramai Sebak
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Tak Sabar Tunggu Penampilan Khas Agong & Permaisuri Baca Berita Di Buletin TV3 Malam Ini
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.