Now Reading
Hari Pertama “Kepung Demi Palestin” – DBKL Arah Khemah Dirobohkan

Hari Pertama “Kepung Demi Palestin” – DBKL Arah Khemah Dirobohkan

Para peserta piket “Kepung Demi Palestin” telah memasang lima buah khemah sejak tengah malam tadi sebelum dipaksa roboh oleh DBKL sekitar jam 3.50 pagi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Piket “Kepung Demi Palestin” selama enam hari di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) telah bermula sejak jam 10 malam semalam (26 Disember).

Baca Artikel Berkaitan: “Kepung Demi Palestin” – Piket 6 Hari Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat

Menurut Malaysia Gazette, lebih 100 orang peserta mengambil bahagian setakat hari pertama piket tersebut berlangsung.

Aksi solidariti tersebut telah bermula di Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur sebelum peserta berarak ke Kedutaan AS.

Menurut Harian Metro yang memetik sumber, setibanya di kawasan jalan masuk ke Kedutaan AS, peserta telah mendirikan kira-kira lima khemah sejak tengah malam tadi.


DBKL Arah Khemah Diturunkan

Seorang pengguna laman X (@kmla2rif) telah memaklumkan berkenaan situasi di sana malam tadi.

Difahamkan para peserta pada mulanya merancang untuk melakukan protes di dalam kawasan kedutaan tersebut, namun dihalang oleh pihak polis.

Dalam masa yang sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan supaya khemah diturunkan sebelum jam 3 pagi.

Sekitar jam 3.50 pagi, pihak DBKL menurunkan khemah-khemah di sana secara paksa.

https://twitter.com/kmla2rif/status/1739737460094197773

Scoop pula memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid sebagai berkata, larangan pemasangan sebarang struktur, termasuk khemah, bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan semua pihak, terutamanya di kawasan kedutaan asing.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden yang membahayakan ketenteraman awam, terutamanya keselamatan suruhanjaya tinggi dan kedutaan asing di kawasan ini,” kata Datuk Allaudeen.


Peserta Tidak Berganjak Dari Kawasan Piket

Walaupun dikatakan pihak DBKL telah mengarahkan dan memaksa khemah diturunkan, namun didapati beberapa khemah masih kekal dipasang hari ini.

https://twitter.com/kmla2rif/status/1739893336847302963

Berdasarkan laporan oleh Harian Metro, peserta piket bergilir-gilir menunggu di dalam khemah untuk mengelakkan ia daripada dirobohkan.

Kamal Aarif Kamaruddin, seorang pelajar universiti awam berkata, dia dan rakan tidak akan berganjak dari khemahnya sepanjang perhimpunan tersebut meskipun menghadapi tentangan daripada pihak berkuasa.

Tambahnya lagi, ia dilakukan bagi menunjukkan solidariti ke atas Palestin yang tidak henti menghadapi serangan daripada tentera Israel.

“Saya bersama rakan sudah berada di khemah ini sejak malam tadi. Saya akan menunggu di sini untuk pertahankan tapak khemah ini daripada dirobohkan pihak berkuasa,” kata Kamal Aarif.

Menurutnya, piket tersebut bertujuan untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan AS dan Malaysia supaya mengambil tindakan tegas terhadap situasi yang berlaku di Palestin.

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua berkata khemah yang didirikan akan terus dipertahankan sebagai tanda bantahan.

Para peserta telah menerima nasihat daripada polis dan pihak DBKL supaya tidak mendirikan sebarang struktur di kawasan tersebut kerana dikatakan ia akan menjadi gangguan.


‘Malam Puisi Buat Palestin’ Pada Malam Kedua Piket

Difahamkan malam kedua “Kepung Demi Palestin” akan diteruskan dengan bacaan puisi dan sajak. Orang ramai dijemput hadir sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd