Now Reading
“Kepung Demi Palestin” – Piket 6 Hari Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat

“Kepung Demi Palestin” – Piket 6 Hari Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat

Aksi solidariti tersebut dirancang berlangsung dari 10 malam 26 Disember hingga 31 Disember di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setelah lebih 80 hari serangan oleh tentera Israel ke atas Palestin, gencatan senjata masih gagal dijalankan. Menurut sumber, jumlah terkini rakyat Palestin yang mati syahid dan hilang di Semenanjung Gaza adalah seramai 27,674 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, mereka yang terbunuh adalah melibatkan 8,500 kanak-kanak, 6,300 wanita, 311 kakitangan perubatan, 40 anggota pertahanan awam dan 103 orang wartawan.

Baca Artikel Berkaitan: Mangsa Syahid & Hilang Di Gaza Cecah 26,700 Individu Akibat Serangan Berterusan Oleh IDF

Dalam usaha untuk menuntut gencatan senjata, satu gabungan merangkumi sejumlah 48 badan bukan kerajaan (NGO), gerakan mahasiswa serta organisasi politik akan melancarkan aksi solidariti “Kepung Demi Palestin” pada jam 10 malam ini. Ia dirancang akan berjalan sehingga 31 Disember di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat.


Kepung Demi Palestin

“Kepung Demi Palestin” dilakukan sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza. Tujuan utama ia dijalankan adalah bagi meletakkan tekanan ke atas kuasa besar sekutu Israel supaya menyeru agar tindak balas melampau terhadap serangan oleh Hamas dihentikan.

Ketika ditemu ramah pihak Malay Mail, Chua Tian Chang, jurucakap gabungan tersebut berkata Amerika Syarikat merupakan salah satu penyokong terbesar dan pelaku utama dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh Israel.

Kuasa veto itu telah mensabotaj usaha untuk mencapai keamanan di Palestin dengan menghalang Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata.

Chua berkata pengepungan tersebut dijalankan untuk menarik perhatian orang ramai dan mengingatkan mereka tentang krisis kemanusiaan yang sedang berlaku.

Dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), aksi solidariti tersebut disokong oleh pelbagai organisasi seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), BDS Movement Malaysia, Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), serta beberapa kumpulan mahasiswa.

Ia turut mendapat sokongan pelbagai parti politik iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Pemuda PAS, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda AMANAH, Pemuda Sosialis (PS), Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA BERSATU) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).


“Kepung Demi Palestin” Kemukakan 4 Tuntutan

Menurut Chua, gabungan tersebut menuntut empat perkara berkenaan situasi di Palestin iaitu:

  1. Pengakhiran pembunuhan rakyat Palestin dengan sewenang-wenangnya.
  2. Gencatan senjata yang kekal dan tidak bersyarat dengan segera.
  3. Memenuhi keperluan segera penduduk Gaza bagi mendapatkan bantuan dan perlindungan.
  4. Pengiktirafan hak rakyat Palestin bagi mendapatkan negara yang berdaulat.

Piket “Kepung Demi Palestin” telah dimaklumkan kepada pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Chua juga memberi jaminan bahawa aksi solidariti tersebut tidak akan mengganggu orang ramai dan lalu lintas kenderaan di sekitar Kedutaan AS.

“Kami akan melakukan pengepungan di kawasan sekitar bangunan kedutaan. Tiada perarakan atau cubaan memasuki kedutaan akan dilakukan. Ia tidak akan mengganggu lalu lintas kenderaan dan orang ramai,” kata Chua.

Tuntutan bagi gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan turut dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Melalui “Kepung Demi Palestin”, peserta akan bersama-sama menuntut bagi mencapai perkara ini.


Orang Ramai Dijemput Sertai Piket “Kepung Demi Palestin”

“Kepung Demi Palestin” dibuka kepada orang awam dan akan bermula dengan perhimpunan serta ucapan dan forum di Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur pada 10 malam ini.

Walaupun ia dijalankan sehingga 31 Disember, namun mereka yang ingin menyertai piket tidak semestinya perlu berada di sana selama enam hari berturut-turut. Orang ramai boleh hadir pada bila-bila masa sepanjang aksi solidariti berlangsung.

Chua mengingatkan supaya mereka yang menyertai pengepungan itu membawa kelengkapan seperti khemah, beg tidur, payung, sepanduk, serta bendera Malaysia dan Palestin bersama. Gabungan itu turut terbuka untuk menerima sumbangan makanan dan minuman bagi peserta.

Sepanjang piket berlangsung, acara solidariti akan dijalankan setiap malam, serta bendera dan simbol perjuangan rakyat Palestin akan dipamerkan. Satu ceramah mega dirancang untuk dijalankan pada hari terakhir sebagai acara penutup.

Chua berkata aksi piket merupakan sesuatu yang baharu buat rakyat Malaysia, namun ia telah banyak dijalankan di negara-negara lain.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menjalankan piket untuk memberi tekanan kepada AS,” tambah Chua.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd