Kucing Dijangkiti Virus Parvo, Wanita Ini Kongsi 5 Langkah Merawat
Kucing yang disyaki dijangkiti Feline Parvo Virus (FPV) harus segera dibawa ke klinik haiwan dan diasingkan daripada kucing lain.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi pencinta kucing, Feline Parvo Virus (FPV) ialah antara virus yang paling digeruni kerana boleh menyebabkan kematian haiwan tersayang.
Malah, sifatnya yang cepat merebak menyebabkan ia senang dijangkiti oleh kucing yang tinggal sebumbung.
Virus ini amat merbahaya dan boleh menjangkiti kucing tidak kira umur, lebih-lebih lagi yang belum divaksin.
Seorang pengguna laman X (@sya1qahh) berkongsi pengalamannya merawat kucingnya yang dijangkiti virus berbahaya ini.
Dia berkata bahawa anak kucing yang dijangkiti FPV hanya memiliki 10% peluang untuk hidup dan 50% bagi kucing dewasa.
Antara simptom dialami oleh kucing yang dijangkiti FPV adalah:
- Muntah air atau buih
- Cirit-birit
- Tidak mahu makan atau minum
- Kelihatan murung dan lemah
- Mulut berair dan busuk
- Demam panas
- Suka duduk di tempat basah seperti bilik mandi
Menurut Cats Protection UK, FPV tidak mempunyai penawar. Namun begitu, segala simptom yang dialami kucing boleh dirawat dan kembali sihat jika dijaga dengan baik.
#1. Bawa Kucing Ke Vet
Pertama sekali, segera bawa kucing ke klinik haiwan atau vet sebaik sahaja perasan ia mempunyai simptom jangkitan FPV.
Setibanya di klinik haiwan, doktor akan melakukan pengesanan virus menggunakan kit ujian FPV.
Syiqahh berkata apabila kucingnya didapati positif FPV, doktor segera memberikan suntikan, antibiotik dan ubat-ubatan lain untuk merawat simptom.
Lebih sedih lagi apabila doktor siap pesan supaya tidak terlalu berharap yang kucingnya akan sembuh.
#2. Paksa Kucing Makan
Kucing yang dijangkiti FPV biasanya akan mempunyai selera makan yang berkurangan atau tidak ingin makan sama sekali. Oleh itu, penting untuk paksa makan atau ‘force feed’ kucing tersebut.
Sekiranya kucing tidak ingin makan, kita perlu suap makanan dan minuman menggunakan picagari. Ubat juga boleh diberi melalui kaedah ini.
Walaupun nampak kesian kucing dipaksa makan, tapi kita kena juga buat begitu supaya tenaganya dapat dikembalikan.
Di samping itu, kucing boleh cuba disuap pelbagai jenis makanan seperti campuran wetfood dan ayam rebus yang telah dikisar untuk kembalikan selera makannya.
#3. Cuci Kawasan Kucing Guna Clorox
Virus parvo ini boleh tahan lama dan hidup dalam pelbagai keadaan. Malah, menurut American Veterinary Medical Association, FPV boleh hidup sehingga satu tahun di persekitaran.
Ia tidak boleh dimatikan hanya dengan mencuci menggunakan sabun. Sebaliknya, wajib gunakan bahan peluntur seperti Clorox. Kawasan yang diduduki kucing dan bekas makanannya perlu sentiasa dicuci menggunakan bahan peluntur.
Syiqahh berkata nisbah yang biasa digunakannya untuk pencucian ini adalah 1:22 campuran Clorox dengan air. Dia menggunakan botol sembur untuk memudahkan pencucian.
PENTING: Pastikan kesan peluntur dicuci dengan bersih kerana ia amat berbahaya jika dijilat oleh kucing.
#4. Kuarantin Kucing Yang Dijangkiti
Perkara yang paling penting dan perlu dilakukan sejak awal simptom dikesan adalah mengasingkan kucing yang dijangkiti dengan kucing lain.
Hal ini adalah kerana virus parvo sangat senang merebak dan boleh menjangkiti kucing lain dengan pantas.
Bukan sahaja asingkan tempat bermain dan tempat tidur, tetapi juga bekas makanan dan bekas najis kucing.
Harus diingat bahawa virus ini tersebar melalui najis dan pergaulan. Oleh itu, kuarantin kucing secukupnya kerana virus ini hidup di dalam badan si comel.
Menurut WebMD, kucing yang dijangkiti boleh menyahkan virus itu melalui air besar sehingga enam minggu.
#5. Bagi Kucing Semangat
Walaupun nampak remeh, tetapi penting untuk kita berikan semangat kepada kucing yang sakit.
Seperti manusia, kucing juga memerlukan kata-kata semangat supaya ia berasa lebih kuat dan ingin kembali sihat.
Syiqahh mengingatkan juga bahawa sesetengah kucing dijangkiti FPV tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom. Jika perkara ini berlaku, kucing boleh mati mengejut kerana virus ini membiak berdasarkan ketahanan kucing itu.
Virus Parvo Aktif Ketika Musim Hujan
Sebagai info, FPV lebih senang merebak ketika musim hujan. Hal ini adalah kerana ketika hujan, munculnya lopak-lopak air yang menjadi tempat pembiakan virus.
Selain itu, air hujan yang bertakung boleh menyebabkan sedimen tanah bercampur dengan najis haiwan. Keadaan ini seterusnya akan membuatkan virus di dalam najis haiwan tersebar.
Sumber: X @sya1qahh
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.