Now Reading
[Video] Kucing Boleh Kena Sawan Jika Pakai Ubat Kutu Botol Hijau – Klinik Veterinar

[Video] Kucing Boleh Kena Sawan Jika Pakai Ubat Kutu Botol Hijau – Klinik Veterinar

Menurut Furmily Animal Medical Centre, ubat kutu berkenaan tidak mempunyai sebarang kelulusan dan membahayakan nyawa kucing jika digunakan dalam dos berlebihan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pencinta kucing pasti inginkan yang terbaik bagi anak-anak bulus agar kesihatan dan kesejahteraan mereka terjamin.

Selain daripada pemilihan makanan yang elok dan mendapatkan suntikan vaksin berkala, kucing juga perlu mendapatkan perlindungan daripada haiwan parasit seperti kutu, hama dan cacing.

Kesemua perkhidmatan ini boleh didapatkan di klinik haiwan. Namun begitu, terdapat sesetengah individu yang memilih alternatif lain yang lebih mudah dan murah seperti mendapatkan produk berkaitan kesihatan kucing secara dalam talian.

Perkara ini tidaklah menjadi satu kesalahan, tetapi anda perlu memastikan supaya produk yang digunakan adalah asli (original) dan bersesuaian dengan kucing.

Salah satu produk anti kutu kucing yang banyak dijual dalam talian adalah ubat berbotol hijau yang boleh didapati pada harga sekitar RM1 sahaja.

Kalau nak dibandingkan dengan ubat kutu berjenama, memang murah sangat. Tetapi adakah perkara ini berbaloi dengan risiko yang harus ditanggung oleh si comel kesayangan anda?

Sumber gambar: Unsplash.

Kucing Kena Sawan Akibat Ubat Kutu

Baru-baru ini tular satu video di akaun TikTok Furmily Animal Medical Centre (@furmilyvet) yang menunjukkan seekor kucing terketar-ketar kerana mengalami sawan.

Menurutnya, ia terjadi akibat menggunakan ubat kutu yang tidak bersesuaian. Klinik haiwan tersebut turut menggesa pemilik supaya segera membawa kucing ke klinik sekiranya haiwan tersebut terkena sawan.

Katanya, rawatan yang diberikan dengan segera akan dapat menyelamatkan nyawa kucing anda.

Di akhir video, dipaparkan gambar satu jenis ubat kutu haiwan berbotol hijau yang dikatakan telah menyebabkan kucing tersebut mengalami sawan.

Furmily Animal Medical Centre turut mengingatkan agar orang ramai agar berhati-hati membeli ubat kutu terutamanya secara dalam talian.

Cara terbaik adalah dengan mendapatkan konsultasi daripada pihak veterinar sekiranya tidak pasti dengan sesuatu produk sekaligus dapat mengelakkan perkara buruk berlaku terhadap haiwan peliharaan.


Ubat Kutu Botol Hijau Tiada Kelulusan

Veterinar berkenaan pada ruangan komen turut menerangkan bahawa ubat kutu berbotol hijau tersebut tiada kelulusan dan boleh terlebih dos sehingga membahayakan nyawa kucing kesayangan.

“Itulah sebab kita tak sarankan beli ubat kutu yang tiada kelulusan, boleh terlebih dos dan membahayakan nyawa kucing,” kata klinik haiwan itu.

Seorang pengguna TikTok turut menjelaskan bahawa kucingnya mengalami nasib yang sama apabila menggunakan ubat kutu terbabit. Namun, ia sempat diselamatkan selepas dikejarkan ke klinik.

Dalam pada itu, beberapa netizen berkongsikan bahawa mereka pernah meletakkan ubat kutu yang sama pada kucing dan berkata tidak akan menggunakannya lagi.

Klinik haiwan tersebut turut mencadangkan ubat kutu jenama Nexgard yang dikatakan sebagai paling bagus bagi kucing. Walaupun ia dijual pada harga yang agak mahal sedikit, namun ia boleh menghapuskan pelbagai parasit pada kucing termasuk kutu, cacing dan hama telinga.

https://www.tiktok.com/@furmilyvet/video/7332008191271669000

Cara Hapuskan Kutu Pada Kucing

Untuk hapuskan kutu yang ada pada kucing anda sepenuhnya, tidak cukup jika sekadar meletakkan ubat kutu. Berikut merupakan beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan kucing anda benar-benar bebas kutu.

#1. Periksa Badan Kucing Dengan Terperinci

Badan kucing perlu diperiksa untuk memastikan di kawasan mana kutu berkumpul. Kebiasaannya, kutu akan berkumpul di bahagian bawah leher dan bawah perut.

Gunakan sikat kutu supaya kutu mudah dikeluarkan daripada celahan bulu tanpa menyebabkan kesakitan ke atas kucing.

Kutu yang diambil ini boleh diletakkan di dalam bekas berisi air sabun atau ditekan menggunakan kuku untuk dimatikan.

#2. Bersihkan Tempat Tidur Kucing

Jangan lupa juga untuk bersihkan tempat tidur kucing kerana sudah pasti ada telur-telur kutu yang terjatuh di kawasan tersebut. Jika kucing tidur di atas kain, basuhkan kain tersebut dengan air sabun.

Kalau kucing dah bebas kutu tapi tidur di tempat yang ada telurnya, mesti dia akan dijangkiti balik!

#3. Bersihkan Kawasan Rumah

Kawasan rumah lain juga perlu dibersihkan kerana telur kutu kemungkinan telah gugur di merata-rata tempat.

Vakum seluruh rumah, terutamanya di kawasan berkarpet, dan bersihkan vakum segera supaya ia tidak menjadi sarang kutu.

Lebih elok jika anda vakum juga sofa dan tilam menggunakan vakum khas untuk memastikan rumah anda benar-benar bebas kutu.

Kutu akan gugur apabila kucing menggaru badannya. (Sumber gambar: Unsplash).

#4. Gunakan Syampu Kutu Pada Kucing

Selain daripada meletakkan ubat kutu, kucing juga boleh dimandikan secara berkala menggunakan syampu khas.

Akan tetapi, elakkan daripada memandikan kucing jika baru sahaja meletak ubat kutu kerana kesannya akan hilang. Lebih elok jika tunggu satu minggu selepas itu.

Dalam masa yang sama, ingat bahawa bukan semua kucing boleh dimandikan dalam keadaan yang selamat. Ini adalah kerana kucing yang tidak sukakan air mungkin akan cuba mencakar dan menggigit anda.

Sumber gambar: Unsplash

#5. Bawa Kucing Ke Veterinar

Jika masalah kutu pada kucing masih belum selesai walaupun setelah melakukan pelbagai kaedah, bawa kucing anda berjumpa doktor haiwan.

Terdapat beberapa kaedah rawatan yang mungkin akan dicadangkan seperti menggunakan ubat pil, krim ataupun suntikan.

Pastikan anda membawa si bulus berjumpa veterinar yang sah untuk mengelakkan sebarang masalah lain pada masa akan datang.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd