Maybank Jadi Bank Ke-3 Umum Pengecualian Caj QR Duitnow Selepas CIMB & Public Bank
Menurut Maybank pihaknya tiada rancangan untuk mengenakan fi transaksi ke atas vendor yang menggunakan kemudahan itu buat masa ini.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malayan Banking Berhad (Maybank) semalam, 28 September mengumumkan akan melanjutkan pengecualian caj ke atas vendor yang menerima pembayaran menggunakan platform kod QR Duitnow.
Maybank dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka berkata, pihaknya tiada rancangan untuk mengenakan fi transaksi ke atas vendor yang menggunakan kemudahan itu buat masa ini.
“Kami ingin memaklumkan bahawa Maybank tidak melaksanakan sebarang fi berhubung Duitnow QR, sehingga diberitahu kelak.
“Yang pasti, semua peniaga boleh terus menggunakan pembayaran QR Duitnow tanpa caj, sama seperti yang diamalkan sekarang. Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal kepada peniaga,” kata Maybank.
Pengumuman ini dilakukan selepas Public Bank melakukan perkara sama pada awal paginya.
Menurut Public Bank, pihaknya akan terus melanjutkan pengecualian kadar diskaun pedagang (MDR) sehingga “diberitahu kelak”. CIMB pula berkata, ia akan mengecualikan caj berkenaan sehingga akhir tahun ini.
Kenyataan-kenyataan ini dikeluarkan selepas pengendali QR Duit Now, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan aplikasi itu akan mula mengenakan caj kepada penggunanya bermula 1 November ini.
Namun menurut PayNet, merchant discount rate (MDR) atau caj kadar diskaun pedagang itu yang dikenakan kepada vendor atau ‘peniaga’ bukanlah satu perkara yang baharu.
Sebaliknya ia diketepikan (waiver) dan diberi pengecualian bagi sewaktu mekanisme pembayaran berkenaan diperkenalkan pada 2019 bagi menggalakkan orang ramai menggunakannya.
Baca artikel berkaitan: Pengendali Platform QR DuitNow Sahkan Ada Caj Buat Vendor Bermula 1 November
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram