Now Reading
Bom 100kg WWII Di Bukit Timah, 4,000 Rakyat Singapura Bakal Terkesan Oleh Aktiviti Penghapusan

Bom 100kg WWII Di Bukit Timah, 4,000 Rakyat Singapura Bakal Terkesan Oleh Aktiviti Penghapusan

Bom seberat 100 kilogram itu dipercayai dilepaskan oleh Tentera Imperial Jepun ketika Pertempuran Bukit Timah pada Februari 1942.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu bom udara Perang Dunia Kedua (WWII) dengan berat 100 kilogram ditemui ketika kerja-kerja penggalian di satu tapak pembinaan di Upper Bukit Timah Road, Singapura.

Polis dimaklumkan mengenai penemuan tersebut pada jam 11.57 pagi Rabu (20 September) lalu.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Pelupusan Bahan Letupan (EOD) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mendapati bahawa bom berkenaan perlu dilupuskan di tempat penemuan kerana ia tidak selamat untuk dialihkan.

Penghapusan dijadualkan berlaku antara 8 pagi hingga 7 malam hari ini (26 September).

Pihak polis mengambil langkah mengepung kawasan sebesar 200 meter di sekeliling bom tersebut ketika tempoh penghapusan.

Sumber gambar: The Straits Times

Pemindahan Terbesar Letupan Relik WWII Di Singapura

Sejak hari Ahad (24 September), penduduk di sesetengah kawasan Bukit Panjang dan Upper Bukit Timah diminta untuk meninggalkan rumah mereka hari ini (26 September).

Seramai 4,000 orang penduduk dari lebih 1,000 rumah terkesan sekaligus menjadikan ia latihan pemindahan penduduk terbesar yang membabitkan letupan bom peninggalan era WWII di republik tersebut.

Pemilik Restoran Banana Leaf Karu, Subramaniyam Nallappan, berkata dia perlu menutup kedainya dan dianggarkan akan mengalami kerugian $8,000 (RM27,421.87).

Saya tiada pilihan selain menutup restoran, tetapi saya agak lega kerana keselamatan kami diutamakan. Kerana perkara ini, keluarga saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti sendiri.

Subramaniyam Nallappan, pemilik Restoran Banana Leaf Karu.

Jiran restoran Karu, Jal Yoga, dianggarkan akan mengalami kerugian sebanyak $11,000 (RM37,705.07) kerana perlu membatalkan 10 kelas dan memulangkan bayaran kepada 250 pelanggan.

Pengurus studio, Abir Singh berkata kesemua pekerja telah menghubungi setiap ahli untuk memaklumkan tentang pembatalan kelas tersebut.

“Kami berada betul-betul di hadapan tapak pembinaan tersebut, jadi saya berasa kurang selamat,” ujar Abir Singh.

Satu stesen minyak Shell berhampiran dilaporkan mengosongkan minyak dari tangki bawah tanahnya dan menutup stesen buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Setelah bom diletuskan, seramai 46 orang jurutera dari Penguasa Bangunan dan Binaan akan melakukan pemeriksaan terhadap insfrastruktur di kawasan berhampiran untuk memastikan keselamatan orang ramai.


Bom Dianggar Mengandungi 47kg Bahan Letupan

Relik WWII yang ditemui itu kemungkinan telah dilepaskan oleh pesawat Tentera Imperial Jepun semasa Pertempuran Bukit Timah pada Februari 1942, sebelum Singapura jatuh ke tangan penjajah itu.

Para peminat sejarah berkata bom tersebut mungkin mengandungi sebanyak 47 kilogram bahan letupan yang boleh memusnahkan satu blok rumah pangsa.

Menurut pakar sejarah perang, John Kwok, bom letupan tinggi boleh meletus ketika impak atau mempunyai fius masa yang akan meletupkan bom itu selepas beberapa seketika.

Dengan penggunaan fius masa, bom akan melakukan kerosakan lebih tinggi dan membunuh setiap orang yang berada di dalam suatu bangunan.

Fius ini kadang-kala boleh rosak dan menggagalkan letusan bom, menyebabkan ia menjadi peninggalan era perang.


6,000 Bom Telah Diturunkan Ketika Kempen Malaya

Kempen Malaya oleh pihak Jepun telah berlaku selama tiga bulan di Singapura ketika WWII. Dianggarkan sebanyak 6,000 biji bom udara telah dilepaskan oleh pihak Jepun ketika itu.

Dr Euan Graham, penganalisis di Australian Strategic Policy Institute, berkata nom udara yang berat itu akan termendap beberapa meter ke bawah tanah apabila dilepaskan dari aras tinggi. Perkara ini menyebabkan relik WWII itu tidak ditemui dan hanya dikesan ketika proses penggalian.

Menurut pihak polis, bom yang ditemui di Bukit Timah mungkin bukan relik letupan terakhir yang ditemui di republik itu.

Sumber: Berita Harian Sg | The Straits Times | The Straits Times


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd