Koc Wanita Diperkenalkan Di MRT Laluan Kajang, Dalam Fasa Pemasangan Pelekat & Pengujian
Koc wanita di perkhidmatan MRT Laluan Kajang kini dalam fasa pemasangan pelekat dan pengujian yang dijangka akan selesai pada 17 September.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi mereka yang biasa menaiki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pasti tahu bahawa ia ada menyediakan koc khas bagi wanita. Ia boleh dikenal pasti melalui pelekat berwarna merah jambu yang diletakkan pada bahagian pintu dan tingkap.
Berbeza dengan KTMB, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan lain-lain mod pengangkutan awam masih belum mempunyai gerabak khas buat wanita.
Semalam (6 September), koc wanita MRT Laluan Kajang telah mula beroperasi. Menurut Ask Rapid KL menerusi Laman X (Twitter), pemasangan pelekat dan pengujian operasi koc ini akan dijalankan secara berperingkat di MRT Laluan Kajang serta dijangka siap pada 17 September.
Daripada video yang dikongsi oleh seorang pengguna TikTok (@nabilamustama), dapat dilihat bahawa koc wanita MRT terletak pada gerabak tengah.
Bahagian khas itu boleh dikenal pasti melalui pelekat berwarna merah jambu yang diletakkan pada pintu penghadang dan banner di stesen.
@nabilamustama Finally, mrt dah sediakan koc utk wanita 🫶🏻#kocwanita #mrtkajang ♬ Hidup Ini Mahal – Andre Mastijan
Para Wanita Gembira Dengan Koc Wanita
Merujuk ke ruangan komen hantaran TikTok, rata-rata para wanita menghargai usaha tersebut dan berasa akan lebih selamat daripada gangguan. Terdapat juga yang memohon supaya koc wanita disediakan di semua perkhidmatan Rapid KL.
Seorang individu lelaki memuji tindakan itu kerana mendakwa banyak kes gangguan seksual telah berlaku tetapi tidak diketahui umum. Malah, seorang netizen turut memohon koc wanita diperkenalkan buat perkhidmatan LRT juga memandangkan pernah berlaku kejadian gangguan seksual di LRT Maluri.
Dia juga mencadangkan supaya seorang petugas keselamatan wanita bersedia di koc wanita supaya boleh mengambil tindakan terhadap individu lelaki yang menggunakan gerabak itu.
Kementerian Pengangkutan Rancang Koc Wanita Sejak Julai
Koc wanita bagi MRT Laluan Kajang ini telah dirancang sejak Julai oleh Kementerian Pengangkutan bagi keselesaan dan keselamatan penumpang wanita.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata fasa percubaan diperkenalkan untuk mendapatkan maklum balas daripada pengguna.
Beliau berkata terdapat pelbagai cabaran dalam menyediakan koc wanita bagi MRT memandangkan ia bersifat transit yang lebih laju berbanding KTMB serta jumlah gerabak yang kurang.
KTMB ada enam koc tetapi MRT dan LRT ada empat koc saja jadi kalau dedikasikan satu koc untuk wanita maka dari segi operasi agak mencabar dan transit pergerakan penumpangnya agak cepat dan sukar kita kawal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Di samping itu, pengenalan koc wanita bagi perkhidmatan LRT turut dalam rancangan pihak terbabit.
Koc Wanita KTMB Telah Wujud Lebih 10 Tahun Lepas
Koc wanita bagi perkhidmatan KTMB telah diwujudkan sejak tahun 2010. Golongan lelaki dilarang sama sekali menggunakannya, namun kanak-kanak lelaki kurang 12 tahun yang membuat perjalanan bersama ibunya diizinkan menaiki gerabak ini.
Pihak KTMB memperkenalkan koc khas ini memandangkan statistik menunjukkan 60% pengguna mereka adalah golongan wanita.
Ia bertujuan untuk memberi jaminan keselamatan kepada penumpang wanita yang terdedah kepada risiko gangguan seksual dan jenayah.
Sumber: Twitter @askrapidkl | mStar | Berita Harian
Pelanggan yang dihormati, kerja-kerja pemasangan pelekat & pengujian operasi koc wanita di MRT Laluan Kajang sedang dijalankan secara berperingkat.
— Ask Rapid KL (@askrapidkl) September 5, 2023
Sila rujuk poster untuk maklumat lanjut. #RapidKL @MRTMalaysia pic.twitter.com/6xRuW8SA9r
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.