Now Reading
Mahkamah Tinggi Izinkan Swatch Cabar Rampasan Jam Tangan Koleksi Pride Oleh KDN

Mahkamah Tinggi Izinkan Swatch Cabar Rampasan Jam Tangan Koleksi Pride Oleh KDN

The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. membuat permohonan atas alasan rampasan tidak sah kerana jam tangan bukan merupakan barang ‘penerbitan’ yang dilarang menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat rampasan ke atas jam tangan dari Koleksi Pride jenama Swatch pada 13 dan 14 Mei lalu melalui serbuan di 11 buah butik jam tangan Swatch.

Artikel Berkaitan: KDN Serbu & Rampas Jam Tangan Pelangi Swatch, Kaitkan Dengan LGBT

Sejumlah 172 jam tangan dari Koleksi Pride dirampas kerana dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Sehubungan dengan itu, KDN telah mengeluarkan satu perintah melalui warta kerajaan pada 10 Ogos bagi larangan penerbitan berkaitan LGBTQ pada sebarang koleksi seperti kotak, pembalut dan barangan.

Artikel Berkaitan: Individu Miliki Atau Jual Jam Tangan LGBTQ+ Jenama Swatch Boleh Dipenjara & Denda RM20,000

Hari ini (23 Ogos), syarikat pengimport dan penjual jam tangan The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. diizinkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melakukan tuntutan mahkamah ke atas KDN yang melakukan rampasan itu.

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian kerana Swatch berjaya dalam permohonannya bagi semakan kehakiman pada 24 Jun lalu.

Pemohon juga tidak menerima sebarang bantahan daripada Jabatan Peguam Negara bagi prosiding tersebut. Pengurusan kes dijadualkan pada 6 September kelak.

Pihak Swatch menamakan empat responden iaitu Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Pihak Swatch diwakili oleh peguam Nizam Bashir dan Kee Hui Yee, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Farah Shuhada Ramli mewakili pihak kerajaan.


Swatch Beri Alasan Jam Tangan Dirampas Bukan Satu ‘Penerbitan’

Permohonan dibuat atas alasan rampasan tidak sah kerana barangan tersebut bukan merupakan ‘penerbitan’ yang dilarang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Di dalam permohonannya, syarikat Swatch berkata istilah penerbitan berdasarkan akta itu merujuk kepada dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

Swatch juga membuat dakwaan bahawa rampasan dilakukan atas motif politik dan menyatakan jam tangan berkenaan tidak mempromosikan gejala seksual, tetapi hanya mengenai keamanan dan cinta.

Syarikat itu juga berkata Koleksi Pride merupakan koleksi jam tangan yang berwarna satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam.


Swatch Mohon Rampasan Dipulangkan Dalam Tempoh 5 Hari

Melalui permohonannya, Swatch memohon satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan KDN yang membabitkan 172 jam tangan bernilai RM64,795.

Swatch juga memohon perintah mahkamah supaya jam yang dirampas dikembalikan dalam tempoh masa lima hari dan supaya pampasan diberikan termasuk dalam bentuk ganti rugi teruk (aggravated) dan ganti rugi teladan (exemplary).

Pada Julai lalu, Swatch telah memfailkan pindaan ke atas dokumen tuntutan mahkamah bagi pengisytiharaan bahawa Seksyen 16(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 hanya memberi kuasa kepada pegawai KDN untuk menggeledah kedai dalam keadaan yang mendesak (exigent circumstances).

Syarikat itu turut memfailkan supaya tindakan dan keputusan KDN menggeledah kedai-kedai Swatch dan merampas jam tangan berkaitan dibatalkan.

Sumber: Malay Mail | Kosmo


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd