Now Reading
KDN Serbu & Rampas Jam Tangan Pelangi Swatch, Kaitkan Dengan LGBT

KDN Serbu & Rampas Jam Tangan Pelangi Swatch, Kaitkan Dengan LGBT

KDN telah membuat serbuan ke atas butik Swatch di 11 buah pusat beli-belah dan merampas jam dari Pride Collection.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Isu LGBT mulai hangat semula apabila Coldplay mengumumkan kedatangan mereka ke Malaysia bagi konsert Music of the Spheres World Tour. Coldplay dikatakan menyokong kumpulan LGBT dan telah beberapa kali mengibarkan bendera LGBT di konsertnya.

Berikutan dengan itu, seorang pengguna Facebook dalam hantarannya yang berbaur sarkastik, meminta sesiapa yang menggunakan jam Swatch untuk membuangnya. Dia berkongsi gambar jam Swatch Pride Collection dengan reka bentuk berwarna-warni dan mempunyai jaluran pelangi.


Serbuan Dan Rampasan Dilakukan Ke Atas 11 Butik Swatch Seluruh Malaysia

Syarikat jam tangan Swatch sejak dahulu lagi memang dikenali dengan jam tangan rekaan moden dan berwarna-warni.

Hantaran tersebut telah menjadi viral sehingga Bahagian Penguatkuasa Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan menyerbu butik Swatch dan merampas jam tangan bagi koleksi berkenaan pada 13 dan 14 Mei lalu.

The Edge melaporkan 11 butik Swatch yang diserbu iaitu di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Di samping itu, amaran turut diterima oleh lima butik Swatch di KTCC Terengganu, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Di Swatch Mid Valley Megamall, sebanyak 22 utas jam tangan telah dirampas. Menurut borang penyitaan yang diterima, jam tersebut dirampas kerana melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984. Akta tersebut juga menjelaskan jenama yang menjual barangan yang dilihat atau dirasakan berbahaya kepada moral boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.


Kenyataan Rasmi CEO Swatch, Nick Hayek Jr

Nick Hayek Jr, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, berasa terkejut dan kecewa dengan tindakan serbuan dan rampasan ke atas beberapa butik Swatch. Hayek menegaskan sokongan jenama Swatch terhadap semangat inovasi dan kepelbagaian.

Swatch berbangga menjadi kanvas pada tangan pemakai jam jenama kami yang merangkumi pelbagai jenis manusia di serata dunia dan seniman yang bekerjasama dengan kami. Jenama ini diminati kerana percikan kreativiti dan rampaian warna yang menghiasi kualiti jam keluaran Switzerland. Kami amat sangsi bahawa koleksi jam yang menggunakan warna-warna pelangi dengan mesej kedamaian dan kasih sayang boleh membahayakan mana-mana orang.

CEO Swatch, Nick Hayek Jr

Menurutnya, Swatch mempromosikan mesej positif berkaitan kegembiraan dalam hidup. Sebagai maklum balas kepada KDN, Hayek bertanya jika mereka akan turut ‘merampas’ pelangi yang wujud secara semula jadi.

Kumpulan Swatch kini sedang membuat permohonan supaya jam yang dirampas boleh dikembalikan semula.


Kongsi cerita viral dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd