Now Reading
Wanita Persoalkan Mukadimah Rukun Negara Terima Kecaman Orang Ramai

Wanita Persoalkan Mukadimah Rukun Negara Terima Kecaman Orang Ramai

Seorang pengguna Facebook mempersoalkan perkataan ‘liberal’ di dalam mukadimah Rukun Negara yang dianggap bermasalah bagi sesetengah individu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang pengguna Facebook (SK Ida MN) telah dikritik ramai apabila dia mengemukakan pandangannya berkenaan Rukun Negara.

Dalam hantarannya di Facebook, dia mempersoalkan jika Rukun Negara telah diubah. Dia juga turut bertanya jika kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan yang majoriti rakyat Malaysia inginkan.

Dia berkongsi dua gambar ikrar Rukun Negara dalam cubaannya untuk membezakan antara kedua-duanya. Salah satu daripada gambar tersebut termasuk mukadimah di bahagian awal Rukun Negara.

Dia seolah-olah berkata Rukun Negara telah diubah dan menyindir penggunaan perkataan ‘liberal’ di dalam mukadimah Rukun Negara.

Pengguna Facebook itu turut mempersoalkan mengapa tiada sesiapa yang membangkitkan isu ini, tertumanya pihak yang dikatakan pembela bangsa Melayu iaitu UMNO.

Hantaran itu telah tular dan menerima kecaman netizen.

Orang ramai mengulas bahawa ikrar Rukun Negara penuh sememangnya begitu dan tidak pernah diubah sejak ia diperkenalkan pada tahun 1970.

Kebanyakan individu berkata mukadimah Rukun Negara sebelum bahagian lima prinsip itu turut dicetak dalam buku latihan sekolah selama ini.


Wanita Minta Maaf & Tiada Niat Memfitnah Sesiapa

Beberapa jam kemudian, dia membuat satu lagi hantaran untuk meminta maaf kekhilafannya sebelum ini.

Insiden tersebut telah menyebabkan dirinya menerima kecaman dari orang ramai, malah netizen turut merendah-rendahkan latar belakang pendidikannya. Oleh disebabkan itu, dia tampil meminta maaf dan menjelaskan tiada niat untuk memfitnah sesiapa.

Dia juga berkata hantarannya tidak memaksudkan bahawa Rukun Negara diubah, tetapi dia mempersoalkan mengapa mukadimahnya kini disertakan sekali dalam ikrar.


Rukun Negara Tidak Diubah, Ia Cuma Akan Dibaca Bersama Mukadimahnya

Minggu lalu, Bernama melaporkan bahawa Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengumumkan bahawa ikrar Rukun Negara kini akan diselaraskan pada semua peringkat pendidikan dan program rasmi kerajaan seluruh negara. Ia dilakukan sebagai usaha untuk menanamkan rasa setia dan cinta pada negara.

Usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai agen penyatupaduan rakyat dan membangkitkan sifat patriotisme dalam kalangan mereka.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Katanya, ikrar itu kini akan dibaca bersama-sama dengan mukadimahnya, berbeza dengan apa yang dipraktikkan selama ini dengan hanya membaca lima prinsip utama.

Pembacaan ikrar Rukun Negara secara penuh telah dipersetujui Kabinet pada 25 Julai lalu.

Menurutnya, mukadimah itu mengandungi aspirasi Rukun Negara, manakala lima prinsip merupakan ringkasan kepadanya.

Sebelum ini memang ada bacaan lafaz Rukun Negara namun hanya pada lima prinsip sahaja, namun apa yang kita mahu adalah mukadimah yang mengandungi cita-cita Rukun Negara kerana lima prinsip itu hanya rumusan tapi yang menyentuh hati ada pada cita-cita berkenaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Apakah Yang Terkandung Dalam Mukadimah Rukun Negara?

Mukadimah Rukun Negara bertindak sebagai matlamat utama ikrar tersebut. Lima matlamat utamanya adalah:

  • Mempertingkatkan perpaduan rakyat
  • Memelihara semangat demokrasi
  • Menubuhkan masyarakat adil yang mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama dalam kaedah yang adil dan saksama
  • Menjamin cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai
  • Membina masyarakat yang progresif dan berteknologi tinggi

Dalam memenuhi cita-cita di atas, Rukun Negara menggariskan lima prinsip utama yakni Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Diingatkan bahawa Rukun Negara diwujudkan setelah insiden berdarah 13 Mei 1969 ketika Malaysia mengalami perpecahan kaum yang meragut nyawa ramai rakyat.

Ia diperkenalkan pada tahun 1970 dan diketuai oleh Tun Abdul Razak dengan tujuan untuk mewujudkan harmoni dan perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Rukun Negara dilengkapi dengan mukadimah, tetapi kita selama ini hanya membacakan lima prinsipnya tanpa memahami cita-cita yang mendahuluinya.

Mukadimah Rukun Negara menekankan rasa perpaduan dan keadilan yang perlu diangkat dalam memastikan rakyat Malaysia hidup dalam suasana yang harmoni.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd