Now Reading
Keluarkan Kenyataan Berbaur Fitnah, Vincent Tan & Berjaya Land Tuntut Sanusi Bayar RM200 Juta

Keluarkan Kenyataan Berbaur Fitnah, Vincent Tan & Berjaya Land Tuntut Sanusi Bayar RM200 Juta

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah berkenaan projek Gerbang Maritim Selangor sehingga mencemarkan imej dan reputasi Berjaya Land.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) mendakwa Menteri Besar sementara Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat kenyataan berunsur fitnah berkenaan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), lapor Berita Harian.

Ketika ‘Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ pada 2 Ogos, Sanusi dikatakan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land melalui ucapannya yang berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti berkaitan projek SMG.

Sehubungan dengan itu, Vincent Tan menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.


Berjaya Land Kemukakan Surat Dengan 5 Tuntutan

Menurut satu kenyataan oleh Berjaya Land, wakil Vincent Tan dan pihaknya melalui firma guaman telah mengutus satu surat tuntutan kepada Sanusi pada 5 Ogos. Surat tersebut menyenaraikan lima tuntutan.

Tuntutan pertama adalah supaya menarik balik semua kenyataan fitnah olehnya yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land.

Kedua, pihaknya meminta Sanusi supaya melakukan permohonan maaf secara terbuka untuk disiarkan dengan serta-merta di platform yang ditentukan.

Ketiga, membuat jaminan secara bertulis bahawa penerbitan serta ucapan mengenai kenyataan fitnah tersebut tidak lagi diulang.

Keempat, menyediakan jaminan bertulis bahawa sebarang penerbitan, ucapan, penulisan, perkongsian, pengedaran semula, penyiaran semula atau perkongsian semula berkenaan ucapan itu akan dihentikan dan tidak dilanjutkan.

Kelima, bersetuju untuk membayar pampasan sejumlah RM200 juta kepada pihaknya.

Jika Sanusi gagal mematuhi tuntutan terbabit menjelang 8 Ogos 2023 (esok), tindakan undang-undang akan diambil.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun .

Kenyataan Sanusi Cemar Integriti, Reputasi & Imej

Vincent Tan dan Berjaya Land turut membuat beberapa laporan polis terhadap individu lain seperti Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan berunsur fitnah terhadap projek SMG.

Mereka boleh didakwa melakukan kesalahan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Vincent Tan berkata kenyataan individu terbabit yang berunsur fitnah mencemarkan integriti, reputasi dan imejnya serta Berjaya Land, di samping menimbulkan keraguan terhadap projek itu.

Tuduhan dilemparkan menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah. Kami ingin menyampaikan mesej jelas bahawa sesiapa yang membuat sebarang kenyataan berbaur palsu dan mencemarkan imej tidak akan dipandang endah serta kami ingin pihak terbabit bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd