Now Reading
Wanita Buat Laporan Polis, Kereta Baharu Rosak Tak Sampai Satu Jam Selepas Diambil Dari Showroom

Wanita Buat Laporan Polis, Kereta Baharu Rosak Tak Sampai Satu Jam Selepas Diambil Dari Showroom

Wanita tersebut diberitahu kereta terhenti kerana terdapat skru longgar, namun tidak diberikan sebarang jaminan hitam putih bahawa masalah itu tidak akan berulang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apa perasaan korang kalau baru sahaja beli suatu barang dan guna tak sampai setengah jam, tapi dah ada masalah? Inilah yang terjadi kepada seorang wanita. Bukan setakat jam tangan atau telefon bimbit, tapi rosak kereta! Berlaku di tengah jalan pula itu. Nasib baik tak ada kecederaan yang terjadi kepadanya waktu kereta tiba-tiba terhenti.

Seorang pengguna Twitter (@panggiladjela) berkongsi pengalamannya mengambil kereta baharu di satu showroom di Kajang pada 12 tengah hari, 29 Julai (Sabtu). Dia turut ditemani abang dan kakak-kakaknya ke sana.

Ketika sampai di sana, dia melakukan pemeriksaan pra-penghantaran atau pre-delivery inspection (PDI) untuk memastikan fungsi kereta berfungsi dengan baik.

Dia juga turut melakukan pandu uji di kawasan berhampiran. Setelah selesai pandu uji, dia kembali ke kedai kereta itu untuk menandatangani perjanjian. Kereta ditinggalkan dalam keadaan enjin berjalan buat seketika.

Apabila dia kembali ke kereta dan ingin ke tempat lain, enjin kenderaan itu tiba-tiba terhenti. Dia menghubungi abangnya supaya berpatah balik. Selepas abangnya kembali, dia segera memanggil juruteknik dan jurujual, namun punca kereta terhenti tidak dapat dikenal pasti.

Kemudian, kereta dibawa masuk semula ke pusat servis dan siap dibaiki dalam tempoh setengah jam. Menurut juruteknik, ia hanya melibatkan masalah kecil dan dia dibenarkan membawa kereta tersebut.


Kereta Terhenti Kali Kedua Di Tengah Jalan

Namun begitu, dalam 15 minit kemudian ketika dia dalam perjalanan ke tempat lain, keretanya tiba-tiba terhenti sekali lagi, kali ini di tengah jalan. Abangnya mengesyaki bahawa ia melibatkan masalah pam minyak.

Dia menelefon pihak pusat servis untuk meminta bantuan tundaan kereta, namun diberitahu keretanya tiada dalam senarai yang berhak untuk mendapatkan bantuan. Kemudian, dia menghubungi pihak insurans dan turut diberitahu keretanya tidak tersenarai di dalam sistem.

Kebetulan ketika itu dia menghampiri kedai rakan kepada abangnya. Jadi, mereka membantu menolak keretanya ke tempat yang selamat.

Pihak pusat servis telah menghubunginya semula dan memberitahu mereka boleh memberikan perkhidmatan tundaan tetapi atas tanggungan sendiri. Ad enggan dan meminta pihak terbabit untuk membantunya kerana dia merasakan keadaan itu bukan disebabkan olehnya.

Mereka menunggu di satu kedai berhampiran selama hampir dua jam sebelum membuat keputusan untuk cuba hidupkan kembali kereta. Setelah ia dapat dihidupkan semula, abangnya memandu kereta tersebut kembali ke pusat servis dan berjumpa dengan pengurus.

Ad mendakwa bahawa pengurus berkenaan memberikan servis yang tidak profesional dan bercakap seolah-olah abangnya tidak mempunyai ilmu mengenai kereta.

Pengurus berkenaan turut menyalahkan satu cawangan lain dan mengatakan PDI telah dijalankan di sana sebelum ini. Namun Ad berkata dia tidak menyalahkan PDI, sebaliknya mempersoalkan tentang bantuan yang enggan diberikan.

Dia turut mempersoalkan mengapa kereta tidak diperiksa secara menyeluruh apabila pertama kali terhenti di sana.


Pengurus Didakwa Cabar Buat Laporan Polis

Pengurus servis berkenaan dikatakan telah mencabar Ad untuk membuat laporan polis. Dia meninggalkan keretanya di pusat servis terbabit dan segera ke balai polis untuk membuat laporan.

Sekitar jam 6.50 petang, mereka telah tiba di rumah apabila menerima panggilan daripada servis tundaan. Walhal, isu tersebut telah selesai dan kereta telah pun ditinggalkan di pusat servis

Pada jam 10.46 malam, dia menerima panggilan daripada pihak pusat servis yang didakwa sebagai pengurus berkenaan. Pengurus tersebut bertanya sama ada dia melakukan laporan polis kerana tidak berpuas hati diberi kereta yang rosak.

Apabila Ad menyatakan ya, dia disuruh untuk menghantar laporan kes ke pihak Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM).

Ad juga tidak berpuas hati kerana keretanya tiada di dalam sistem pihak insurans sedangkan ia telah diisukan pada 27 Julai, dua hari sebelum tarikh mengambil kereta.


Hubungi Hotline, Hantar Laporan Polis Ke Bank & Aduan Ke HQ

Ad berkongsi beberapa perkara yang dilakukan pada hari bekerja sejurus selepas kejadian tersebut.

Pada hari Isnin (31 Julai), dia melakukan aduan melalui Hotline dan diberitahu mereka akan menyemak situasi berkenaan dengan pusat servis di Kajang itu.

Dalam dua jam selepas itu, dia menerima panggilan daripada pihak pusat servis yang menyatakan masalah kereta disebabkan kerana ada skru yang longgar. Dia diberitahu kereta telah selesai dibaiki tetapi perlu diuji satu hingga dua jam lagi untuk kepastian.

Dia juga turut diberitahu pihak pusat servis akan berurusan dengan pemilik kereta dan bukan pihak ketiga, yang merujuk kepada abangnya.

Keesokannya pada 1 Ogos (Selasa), dia kembali ke cawangan itu bersama ibu bapanya. Dalam masa yang sama, abangnya telah menghantar laporan polis ke pihak bank supaya bayaran kereta tidak diserahkan lagi kepada pihak berkenaan.

Setibanya di cawangan itu, pengurus berkenaan menerangkan bahawa dia telah memandu kereta sejauh 30km serta membiarkan enjin berjalan selama dua jam dan mendapati enjin tidak terhenti.

Apabila ditanya tentang masalah yang menyebabkan kereta terhenti, dia tetap berkata ia kerana terdapat skru longgar. Ayahnya meminta lebih penjelasan kerana dia tidak yakin untuk membiarkan Ad membawa kereta itu dan meminta jaminan hitam putih, namun tidak diberikan.

Pada 2 Ogos (Rabu), dia ke HQ dan bertemu dengan pihak pusat servis. Dia menceritakan berkenaan masalah itu dari mula hingga akhir. Pihak pusat servis turut mencatat nama dan nombor telefon pengurus di cawangan Kajang.

Ad berharap supaya pihak HQ mengambil tindakan ke atas pengurus berkenaan atas servisnya yang tidak profesional.


Failkan Laporan Ke Pihak Tribunal

Ketika perjumpaan dengan pihak pusat servis HQ, dia memaklumkan bahawa dia akan membuat laporan kepada pihak TTPM dan diberitahu ia merupakan haknya sebagai pembeli.

Setelah perjumpaan selesai, dia terus ke Putrajaya untuk failkan kes terbabit kepada pihak TTPM. Dia menceritakan masalah kepada pegawai kaunter dan diminta untuk mengisi borang serta menyediakan dokumen yang diperlukan.

Setakat ini, Ad sedang dalam proses menyiapkan dokumen berkenaan untuk dihantar kembali. Kes hanya akan difailkan apabila pihak TTPM menerima borang yang lengkap.

Dia juga berkata sanggup melakukan apa sahaja demi haknya, termasuk hadir ke Mahkamah Tribunal.

Melalui perkongsian ini, kami harap supaya orang ramai menerima tips yang perlu dilakukan sekiranya kenderaan baru dibeli rosak, tetapi pihak pusat servis enggan memberi perkhidmatan yang sepatutnya. Kami ringkaskan di bawah:

  1. Hubungi pihak insurans untuk mendapatkan perkhidmatan tundaan jika kereta tidak dapat dihidupkan.
  2. Minta jaminan hitam putih setelah kereta siap dibaiki.
  3. Lakukan laporan polis jika dinafikan perkhidmatan.
  4. Hantar laporan polis ke pihak bank supaya bayaran kereta disekat.
  5. Lakukan aduan melalui Hotline atau secara terus ke pihak HQ.
  6. Failkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa Perlu Buat Jika Kereta ‘Mati’ Di Tengah Jalan? Take Note!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd