Now Reading
“Sedih & Kecewa” – Founder Hello Universe Dedah Tak Dapat Tonton Konsert Muse Kerana Diserang Anxiety

“Sedih & Kecewa” – Founder Hello Universe Dedah Tak Dapat Tonton Konsert Muse Kerana Diserang Anxiety

Salah seorang pengasas Hello Universe, Adam Ashraf, terpaksa berada di bilik rawatan dari mula hingga akhir konsert kerana diserang anxiety akibat kelewatan persembahan oleh Muse.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Konsert Muse: Will of the People telah berlangsung pada 29 Julai baru-baru ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Walaupun konsert terlewat sekitar satu jam, namun rata-rata para peminat Muse yang pergi ke konsert itu berpuas hati dengan persembahan hebat oleh mereka.

Penonton juga memuji sistem bunyi yang menjadikan muzik sedap dan jelas didengar. Siap ada prop patung gergasi bergerak di belakang!

Muse melakukan persembahan tanpa sebarang masalah dan malah sebelum ini telah mengeluarkan satu lagu daripada setlist yang dilihat kurang sesuai untuk dimainkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Muse Ikut Garis Panduan Malaysia, Keluarkan Satu Lagu Dari Setlist Kerana Tajuk Kurang Sesuai

Namun, dalam kegembiraan para peminat yang hadir, satu kisah yang menyentuh hati berlaku di sebalik tabir.

Adam Ashraf, salah seorang pengasas Hello Universe selaku penganjur konsert ini, berkongsi tentang pengalamannya mendapatkan Muse dan keadaannya di hari kejadian dalam satu hantaran Facebook.

Menurutnya, dia telah merancang untuk menganjurkan konsert Muse sejak sebelum Hello Universe ditubuhkan lagi. Dia berkata ini kerana abangnya amat meminati kumpulan Muse dan telah memperkenalkannya dengan lagu Histeria sewaktu kecil.


Hello Universe Bentuk Team Dalam Masa 5 Bulan

Adam telah ke London, United Kingdom bersama rakannya, Ryz untuk berjumpa dengan pihak pengurusan Muse. Dia kemudiannya menerima peluang untuk menganjurkan konsert tersebut.

Siapa pernah sangka, aku main selamba redah London dengan rakan aku, Ryz dan tiba-tiba macam tak percaya sebuah syarikat cap ayam macam aku ni boleh diberi peluang untuk anjur sesuatu yang tak terfikir dek akal.

Pengasas Hello Universe, Adam Ashraf.

Katanya, terdapat rasa risau untuk menganjurkan konsert Muse kerana hanya mempunyai pengalaman menguruskan konsert berskala kecil sebelum ini.

Pasukan Hello Universe kemudiannya dibentuk daripada awal dalam masa lima bulan tanpa bantuan sesiapa.

Walaupun terdapat banyak halangan dan rintangan, mereka memilih untuk bermula daripada awal kerana ingin membentuk pasukan sendiri dan sama-sama belajar untuk menghasilkan konsert yang gah.

Adam turut berkata dia ingin membawa kepuasan kepada penonton yang hadir menonton persembahan Muse.


Pihak Penganjur Tidak Boleh Maklum Tentang Kelewatan Konsert

Pada hari konsert, Muse sepatutnya memulakan set mereka pada jam 8.30 malam setelah persembahan pembukaan oleh kumpulan rock tempatan, Kyoto Protocol.

Namun, apabila persembahan Muse terlewat, Adam tanpa henti mula menerima beberapa panggilan yang bertanyakan tentang masalah itu.

Dia kemudiannya mendapat tahu bahawa sesuatu telah berlaku dan berusaha untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Katanya, pihak Hello Universe tidak dapat melakukan sebarang pengumuman tentang kelewatan persembahan kerana kawalan telah diserahkan kepada pihak pengurusan Muse setengah jam sebelum set mereka bermula.

Aku memang tak boleh nak umumkan atau bagitahu sebab memang 30 minit sebelum, semuanya harus diserahkan pada mereka dan kami dah tiada kuasa untuk berada di situ.

Pengasas Hello Universe, Adam Ashraf.

Diserang Anxiety Kerana Kelewatan Konsert

Adam mula berasa risau apabila persembahan oleh Muse masih belum bermula walaupun jam telah menunjukkan pukul 9.10 malam. Dia diserang kebimbangan atau ‘anxiety’ sehingga menyebabkan dia terpaksa ke bilik rawatan.

Pada jam 9.20 malam, rakannya memberitahu Muse telah memulakan persembahannya dan Adam segera berasa lega. Walaupun begitu, keadaan Adam menyebabkan dia terpaksa berada di bilik rawatan dari mula Muse bermain hingga akhir.

Ya, aku sedih, nangis, kecewa semua ada sebab aku tunggu saat nak tengok Muse depan mata aku tak kesampaian. Aku langsung tak dapat berjumpa Matt dan yang lain-lain walaupun aku sendiri anjurkan.

Pengasas Hello Universe, Adam Ashraf.

Dia tidak dapat berjumpa Matt Bellamy, penyanyi utama Muse dan ahli kumpulan lain walaupun dia sendiri yang menganjurkan konsert itu.

Adam merasakan usahanya selama lima bulan sia-sia kerana dia tidak dapat melihat hasilnya dan tidak bergambar pun bersama kumpulan itu.

Di samping itu, dia turut meminta maaf kepada semua hadirin kerana konsert tersebut lambat bermula dan berkata akan memperbaiki segala kekurangan pada kali ini.

Pada masa yang sama, dia juga berterima kasih kepada pasukan Hello Universe kerana menerima pujian dari segi sistem suara dan setup yang bagus.

Walaupun tidak dapat menyaksikan konsert itu, dia berasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah pelaksanaannya.

Dia berharap supaya diberi kesempatan untuk menyaksikan persembahan Muse pada masa hadapan.

Matt pun dah bagi bayangan akan kembali ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd