Now Reading
Puteri Shazwani Pegawai Wanita TLDM Pertama Pakar Dalam Peluru & Letupan

Puteri Shazwani Pegawai Wanita TLDM Pertama Pakar Dalam Peluru & Letupan

Pada tahun 2021, Puteri menjadi wanita pertama yang memiliki kelayakan sebagai Ammunition Technician (AT) dan Explosive Ordnance Disposal (EOD).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Pasukan tentera seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sering kali didominasi oleh kaum lelaki. Namun, terdapat juga sebilangan kecil para wanita hebat yang turut menceburkan diri dalam bidang ketenteraan.

Salah seorang pegawai tentera wanita yang wajar dikenali ramai adalah Leftenan Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman. Berkhidmat di dalam TLDM, Puteri menjadi wanita pertama yang memiliki kelayakan sebagai Ammunition Technician (AT) dan Explosive Ordnance Disposal (EOD) pada tahun 2021.

Sumber gambar: Instagram @puterishazwani.

Dengan kedua-dua kelayakan ini, Puteri mempunyai kemahiran untuk melakukan pemeriksaan fizikal dan uji bukti kefungsian terhadap peluru dan bahan letupan yang telah tamat jangka hayat serta pemusnahannya.

Dr. Zulkifli Hussain, seorang kaunselor di Majlis Amanah rakyat (MARA), telah berkongsi temu bual yang dilakukan bersama Puteri. Apabila ditanya jika gelaran sebagai seorang Leftenan Muda TLDM mendatangkan sebarang cabaran, Puteri berkata bidang yang didominasi lelaki itu memaksa dia untuk cepat menyesuaikan diri serta bersedia untuk berdepan dengan sebarang situasi.

Puteri juga berkata, walaupun wanita terbatas dari segi kekuatan fizikal, namun tiada had yang mengekang wanita dari segi kekuatan mental dan ilmu pengetahuannya.

Peranan wanita juga penting dalam ketenteraan. Saya tak nafikan golongan wanita ada limitasi daya kekuatan fizikal berbanding dengan lelaki. Namun wanita tiada limitasi dari aspek kekuatan mental, Ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan personaliti. Jadi golongan wanita pun boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki sekiranya mereka ada kelebihan itu.

Puteri Shazwani.
Sumber gambar: Instagram @puterishazwani

Puteri memilih bidang ketenteraan kerana dia sukakan cabaran dan ingin mencuba perkara baru dalam menguji kemampuan diri sendiri. Menurut Puteri, bidang ketenteraan membuka banyak peluang kepadanya untuk terlibat dengan cabaran, di samping mengasah bakat tertentu.


Anak Kelahiran Kuala Lumpur Yang Membesar Di Ipoh

Mari kenali serba sedikit mengenai Puteri. Dia yang dilahirkan di Kuala Lumpur, telah membesar di Ipoh, Perak dan mendapatkan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh (sehingga Tingkatan 3) dan Maktab Rendah Sains MARA Parit (Tingkatan 4 dan Tingkatan 5).

Puteri kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (2014-2019) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan. Pada masa yang sama, dia turut diserap masuk ke UPNM sebagai Pegawai Kadet Laut.

Pada tahun 2019 selepas tamat pengajian di UPNM, Puteri ditauliahkan dan dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM. Dia kemudiannya berkhidmat di Markas Tentera Laut, Bahagian Materiel pada tahun 2021.

Sebelum menjadi pakar dalam bidang peluru dan letupan, Puteri telah menghadiri Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama 8 Bulan di Kem Mempaga, Bentong. Dia kini bertugas sebagai Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1.


Pernah Memenangi Pertandingan Ratu Cantik & Sertai Pelbagai Acara

Ketika sedang melanjutkan pelajaran di UPNM, Puteri telah menyertai pertandingan World Miss University Malaysia pada tahun 2018 dan memenangi tempat kedua. Malah, dia turut memenangi Anugerah Video Terbaik.

Sumber gambar: Instagram @puterishazwani.

Selain itu, dia juga pernah menghadiri International Leadership Conference di United States Military Academy pada tahun 2018. Pada tahun 2019, Puteri Shazwani telah menjadi perenang Rentas Selat Dinding sejauh 10km.

Dia juga pernah menyertai pertandingan sukan seperti duathlon (larian 5km, berbasikal 40 km dan larian 10 km) serta triathlon (berenang 1.5 km, berbasikal 40 km dan larian 10 km).

TLDM merupakan unit tentera laut bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab dalam pengawasan maritim dan operasi pertahanan.

Kawasan operasi TLDM mempunyai keluasan sebanyak 603,210 kilometer persegi yang merangkumi perairan negara dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Di samping itu, TLDM turut mengawal Laluan Perhubungan Laut (SLOC) seperti Selat Melaka dan Selat Singapura.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd