Now Reading
Kempen ‘Crowdfunding’ Guna Akaun Bank Peribadi Adalah Satu Kesalahan, Ini Sebabnya

Kempen ‘Crowdfunding’ Guna Akaun Bank Peribadi Adalah Satu Kesalahan, Ini Sebabnya

Menurut BNM, kesalahan pengambilan deposit secara haram boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Jika anda seorang pengguna media sosial yang tegar, sudah pasti anda biasa melihat orang awam meminta ‘derma’ secara dalam talian untuk sesuatu isu yang dihadapi.

Baru-baru ini, ruangan Twitter Malaysia kecoh apabila seorang pengguna memohon sumbangan bagi ahli keluarganya yang mengalami kemalangan serius sehingga memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Pengguna Twitter tersebut berkongsi nombor akaun bank peribadi miliknya dan telah berjaya mengutip dana sehingga RM55 ribu sebelum mengunci akaun Twitter.

Orang ramai kemudian mula mengecam tindakannya dan menuduh individu tersebut sebagai seorang ‘scammer’.

Namun begitu, seorang pengguna Twitter (@cheajibsayang) telah bertemu dengannya dan mengesahkan bahawa dana yang dikumpul digunakan untuk tujuan yang betul.


Pengamal Undang-Undang Kongsi Kesalahan Kutipan Dana Guna Akaun Bank Peribadi

Namun di sebalik apa yang berlaku, timbul persoalan adakah kempen ‘crowdfunding’ yang dilakukan olehnya atau mana-mana orang awam sah di sisi undang-undang.

Menurut seorang pengguna Twitter @nuuraimuni yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang, aktiviti ‘crowdfund’ atau pendanaan awam melalui akaun bank peribadi adalah satu kesalahan undang-undang di bawah kuasa Bank Negara.

Bank Negara mengkategorikan kutipan dana menggunaan akaun bank peribadi sebagai ‘illegal deposit taking’ atau ‘pengambilan deposit secara haram’.

Aimuni berkata aktiviti kutipan dana tanpa bukti dan kelulusan yang sah boleh mendatangkan mudarat. Seperti dalam kes di atas, laporan polis telah dibuat ke atas individu yang membuat kutipan dana kerana tidak membuktikan pengendalian dana yang betul.

Memandangkan kutipan dana melibatkan dana awam, orang ramai akan mempersoalkan penggunaan dana tersebut. Kutipan dana yang dibuat secara terbuka di media sosial akan menyebabkan individu terbabit berisiko dikenakan tindakan undang-undang, terutamanya apabila laporan telah dibuat ke atasnya.


Boleh Kutip Dana Tapi Guna Saluran Yang Betul

Aimuni mencadangkan supaya kutipan dana dilakukan melalui saluran yang betul, seperti melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan kebajikan seperti ARBA Foundation dan MyKasih Foundation.

Jelasnya jika isu kutipan dana melalui akaun bank peribadi tidak diketengahkan, perkara yang salah iaitu ‘pengambilan deposit secara haram’ secara tidak langsung akan dinormalisasikan.

Aimuni menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk menghalang bantuan disampaikan kepada sesiapa, namun ia harus dilakukan melalui saluran yang betul. Dia turut merujuk kepada kes NGO milik Ebit Lew yang mendapat kritikan kerana laporan audit pertubuhan itu tidak dibentangkan.


Pengambilan Deposit Secara Haram

Menurut Bank Negara, ‘pengambilan deposit secara haram’ adalah tindakan menerima atau mengambil deposit dalam bentuk wang atau logam berharga, yang menjanjikan pulangan atau nilai wang, tanpa lesen sah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.

Seksyen 137 FSA 2013 menggariskan bahawa deposit wang tidak boleh dikutip walaupun untuk tujuan pinjaman, wang pendahuluan, pelaburan, simpanan, jualan atau pembelian semula atau lain-lain.

Individu yang didapati bersalah mengambil deposit secara haram boleh dikenakan penjara untuk tempoh tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Namun begitu, pengecualian diberikan untuk beberapa tujuan iaitu pembayaran deposit di bawah kontrak jualan seperti bayaran tempahan kereta, deposit jaminan seperti dalam sewaan rumah, serta bayaran kepada kerajaan, badan berkanun dan pengeluar wang elektronik yang sah.


Perlu Permit Untuk Kutip Dana Secara Langsung

Selain daripada kutipan dalam talian, kutipan awam secara langsung tanpa permit sah juga salah berdasarkan Akta Pungutan Derma Rumah Ke Rumah dan Jalan 1947.

Bagi kesalahan ini pula, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd