Now Reading
Rangka Manusia 14,000 Tahun Ditemui Di Kelantan, Lebih Tua Daripada Perak Man

Rangka Manusia 14,000 Tahun Ditemui Di Kelantan, Lebih Tua Daripada Perak Man

Rangka manusia lengkap yang ditemui di Lembah Nenggiri, Kelantan dianggarkan berusia 14,000 tahun sejak zaman pra-Neolitik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Pasti anda pernah mendengar tentang Perak Man, iaitu rangka manusia tertua yang dijumpai di Malaysia. Ditemui pengkaji pada tahun 1991 di Lenggong, Perak, Perak Man dianggarkan berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun.

Rekod Perak Man sebagai rangka tertua kini diatasi oleh sebuah penemuan baru di Lembah Nenggiri, Kelantan.

Ketika kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuat penemuan rangka manusia tersebut bersama beberapa artifak lain.

Diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli iaitu Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, kerja cari gali artifak di 14 buah gua dilakukan sebelum Lembah Nenggiri ditenggelami air dari Empangan Nenggiri yang bakal beroperasi pada tahun 2027.


Kerja Cari Gali Temui Rangka Manusia Lengkap Serta Ribuan Artifak & Ekofak

Rangka manusia itu ditemukan menghadap ke arah barat daya dalam kedudukan melipat sepenuhnya yang menyerupai kedudukan janin di dalam kandungan.

Artifak lain yang ditemui di sekelilingnya didapati berfungsi sebagai alat bekalan kubur. Penyelidik menemukan mineral hematit dipegang tapak tangan kanan rangka. Tapak kirinya pula diletakkan di atas lutut kaki kanan.

Rangka juga ditemui dikebumikan bersama beberapa alat-alat batu kebiasaannya digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah seperti batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza.

Sepanjang tempoh itu, kami menemui ribuan artifak dan ekofak yang terdapat di sekitar Lembah Nenggiri seperti serpihan tembikar tanah, alat batu, peralatan batu seperti alat penetak, alat pengetuk dan alat repeh yang digunakan untuk meraut serta sisa makanan seperti cangkerang siput dan tulang binatang.

Ketua Penyelidik, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli

Berdasarkan artifak dan ekofak yang ditemui, Dr Zuliskandar menganggarkan masyarakat di sana telah wujud sejak zaman pra-Neolitik kira-kira 14,000 tahun lalu dan berlanjutan hingga ke zaman kebudayaan Neolitik, kebudayaan logam dan pasca prasejarah.


Tidak Sangka Akan Jumpa Rangka Manusia Di Gua Keledung Kecil

Penemuan yang dilakukan di Gua Keledung Kecil sebenarnya terjadi tanpa dirancang. Menurut Dr Zuliskandar, kumpulan penyelidik tidak memberi tumpuan kepada gua itu kerana lebih kecil berbanding gua lain di sekitar kawasan tersebut.

Perkara ini adalah kerana kebiasannya tapak perkuburan zaman prasejarah ditemui di gua bersaiz lebih besar. Namun begitu, mereka tidak menemukan sebarang lapisan budaya pra-Neolitik di Gua Keledung Besar.

Sebenarnya, kami hanya tertumpu di Gua Keledung Besar kerana amat jarang gua kecil (Gua Keledung Kecil) dijadikan tapak perkuburan prasejarah. Biarpun begitu, sebelum itu saya memang selalu juga pergi ke Gua Keledung Kecil kerana menyedari bahawa gua ini sebenarnya bersambung dengan Gua Keledung Besar dan kawasannya lebih tinggi.

Ketua Penyelidik, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli

Disebabkan itu, Dr Zuliskandar merasa penting untuk melakukan kerja cari gali di Gua Keledung Kecil untuk mengkaji kronologi zaman prasejarah. Beliau yakin terdapatnya kebudayaan pra-Neolitik di kawasan tersebut yang perlu dicari.

Kerja cari gali tersebut pada mulanya hanya menemui tengkorak manusia di kedalaman lebih dua meter sebelum menemui rangka manusia lengkap. Ia akan menjalani pemuliharaan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara.


Alat Pengimejan Moden Untuk Tentukan Status Kesihatan Rangka

Selain daripada penyelidik arkeologi dari bidang sains sosial, penemuan tersebut turut melibatkan kerjasama dengan pakar perubatan dan pergigian dari bidang sains kesihatan.

Penyelidik di Fakulti Perubatan UKM menggunakan alat pengimejan moden untuk menentukan status kesihatan rangka manusia. Ini adalah pertama kali sebuah analisa tulang prasejarah menggunakan alat radas pengimejan moden dilakukan di Malaysia.

Pakar Farmakologi dari Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan UKM, Profesor Dr Ima Nirwana Soelaiman berkata terdapat dua cara untuk mengimbas rangka tersebut iaitu pengukuran ketumpatan tulang atau imbasan struktur dalaman yang memakan masa sehingga empat bulan.

Data yang diperolehi berkenaan proses pengukuran ketumpatan tulang menggunakan alat radas Dual-Energy X-ray Absorptiometeri dibandingkan dengan rangka manusia moden melalui kaedah sama. Struktur dalaman tulang pula diukur menggunakan alat radas Micro-Computed Tomogram dan hasil imbasan dibina semula menjadi imej 3-dimensi serta pengukuran secara kuantitatif dengan penggunaan perisian khusus.

Pakar Farmakologi, Profesor Dr Ima Nirwana Soelaiman

Kedua-dua kaedah itu tidak merangkumi kaedah memotong atau menghancurkan tulang, sebaliknya akan memelihara keutuhan rangka tersebut. Dr Ima berkata rangka manusia lengkap yang sukar dijumpai itu adalah sangat berharga dan mengandungi pelbagai maklumat yang boleh dikaji oleh penyelidik lain di masa hadapan.

Selain itu, kajian forensik pergigian juga akan dilakukan untuk menentukan anggaran umur rangka. Pakar odontologi forensik, Fakulti Pergigian UKM Dr Atika Ashar, berkata tulang rahang bawah rangka akan dikeluarkan untuk mengenal pasti jantina rangka tersebut. Kaedah yang diguna pakai dalam kajian itu adalah kaedah morfomik, radiologi dan biokimia.

Hasil kajian ini akan memperkayakan pengetahuan dan pemahaman masyarakat mengenai gaya hidup serta taraf kesihatan manusia prasejarah biar pun agak terhad.

Pakar Farmakologi, Profesor Dr Ima Nirwana Soelaiman

Selain Manusia Prasejarah, Malaysia Pernah Didiami Dinosaur Suatu Ketika Dahulu

Selain daripada pelbagai penemuan rangka manusia, tahukah anda bahawa para penyelidik turut menemui fosil dinosaur di negara ini?

Pada Ogos 2013, kumpulan ahli paleontologi dari Universiti Malaya (UM) dan dua universiti di Jepun telah menemui fosil gigi dinosaur di Pahang. Gigi tersebut dimiliki oleh dinosaur Spinosaurid, sejenis dinosaur karnivor separa-akuatik.

Pada November 2014, kumpulan penyelidik yang sama sekali lagi menemui fosil gigi milik sejenis dinosaur Ornithischian. Juga ditemui di Pahang, fosil tersebut digali dari dalam pembentukan batu sedimen yang terbentuk sejak zaman Batu Kapur.

Selain itu, penyelidik dari beberapa buah universiti di Malaysia telah menemui fosil dinosaur dalam bentuk tapak kaki, tulang dan gigi di Gunung Gagau yang terletak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Kesemua fosil tersebut datang daripada tiga kumpulan dinosaur IguanodontidSauropod, dan Theropod.

Penemuan terkini berlaku pada tahun 2020 di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Mereka menemui tujuh kesan tapak kaki bersaiz besar didakwa milik sejenis dinosaur Sauropod, antara spesies dinosaur terbesar pernah wujud.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd