Now Reading
“Saya Pergi Dengan Hati Yang Hancur” – Motaz Azaiza Tinggalkan Bumi Gaza

“Saya Pergi Dengan Hati Yang Hancur” – Motaz Azaiza Tinggalkan Bumi Gaza

Motaz Azaiza mengumumkan beliau akan meninggalkan Gaza atas sebab-sebab tertentu dan berangkat ke Qatar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, penindasan kejam di Gaza telah menyebabkan ribuan nyawa pejuang Palestin sudah terkorban.

Keadaan menjadi lebih hiba apabila ramai dalam kalangan pihak berkepentingan seperti rakan-rakan media turut terkorban sewaktu bertugas di medan perang.

Baca Artikel Berkaitan: Hospital Terakhir Di Gaza Musnah Diserang Oleh IDF


Motaz Azaiza Umum Keluar Dari Gaza

Baru-baru ini, wartawan dan jurugambar terkenal, Motaz Azaiza menerusi hantaran di laman X (@azaizamotaz9) mengumumkan beliau telah keluar dari Gaza, Palestin dan berangkat ke Qatar.

Dalam video klip berdurasi 1.25 saat itu, Azaiza berkata beliau mengambil keputusan berkenaan atas pelbagai sebab tertentu. Namun begitu, beliau tidak menjelaskan faktor tersebut dengan terperinci.

Ini adalah kali terakhir anda melihat saya mengenakan ves yang berat ini dan Insya-Allah saya akan kembali. Saya minta maaf. Saya akan kembali semula dan membantu serta membangunkan semula Gaza.

Motaz Azaiza.

Dalam video sama, Motaz berkata beliau akan merindui rakan seperjuangan lain yang sentiasa bersamanya sejak bermula peperangan di Gaza pada Oktober tahun lalu. Mereka juga dilihat berpelukan buat kali terakhir sebelum berpisah.


Motaz Azaiza Tinggalkan Gaza Dengan Berat Hati

Menerusi ciapan di laman X hari ini (24 Januari), Azaiza yang sudah tiba di Qatar berkata beliau meninggalkan Gaza dengan berat hati.

“Saya meninggalkan Gaza dengan hati yang hancur dan mata dipenuhi dengan air mata. Tiada pilihan lain selepas 108 hari pembunuhan beramai-ramai berterusan terhadap kami,” katanya.

Tambah Azaiza, sudah tiba masa buat beliau untuk berpindah ke lokasi lain untuk melakukan lebih banyak kerja. Beliau juga berharap dia bakal menjadi asbab kepada penghentian peperangan yang sedang berlaku dan dapat membina semula bumi Gaza.


Netizen Berterima Kasih Atas Jasa Azaiza Di Gaza Selama Ini

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata pengguna laman X mengucapkan terima kasih atas kesungguhan dan keberanian Motaz yang berjuang di bumi Gaza.

“Terima kasih atas semua yang telah dilakukan. Apa yang telah Azaiza lakukan dalam 100 hari lalu, tidak boleh dilakukan orang lain sepanjang hayat mereka. Anda adalah suara penting untuk menunjukkan kepada dunia tentang kekejaman Israel di Gaza,” kata seorang wanita.

Sementara itu, ada juga yang meluahkan rasa lega apabila Azaiza berjaya keluar daripada sana dalam keadaan yang selamat.

“Saya sangat lega Azaiza diberikan peluang untuk keluar daripada sana (Gaza). Insya-Allah anda akan kembali ke Palestin yang sudah bebas,” ujar seorang warganet.

Malah, ada juga yang berkata pengorbanan Azaiza selama ini telah memberikan kesedaran kepada mereka yang kurang mengetahui tentang situasi sebenar yang berlaku di antara Zionis Israel dan pejuang Palestin.

“Semoga Allah SWT berkati kamu selepas membantu meningkatkan kesedaran dan menentang genosid. Sekarang kamu berhak untuk mendapatkan rehat,” jelas seorang lelaki.

Sumber: X

Motaz Azaiza Dinobatkan Man of the Year

Memetik Astro Awani, Azaiza telah dinobatkan sebagai ‘Man of the Year’ oleh majalah terkenal GQ Asia Barat sebelum ini. Beliau diiktiraf atas keberaniannya merakam kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza.

Sumber: Instagram (@motaz_azaiza)

Keberanian itu telah mendapat perhatian orang ramai di seluruh dunia dan menyebabkan beliau meraih sejumlah 18.2 juta pengikut di Instagram dan satu juta pengikut di laman X.

Sebelum ini, salah satu gambar Azaiza bertajuk Seeing Her Through My Camera, adalah antara 10 foto terbaik Time pada 2023. Ia menunjukkan seorang gadis muda terperangkap di bawah runtuhan di kem pelarian Al Nusairat ekoran serangan udara Israel.


15 Ahli Keluarga Motaz Azaiza Terkorban

Beliau juga secara rutin mendokumentasikan pembunuhan rakan-rakan medianya. Awal bulan ini, beliau menyiarkan gambar dirinya dengan dua rakannya di laman Instagram dengan kapsyen, “Saya kehilangan dua lagi rakan sekerja dan rakan saya dalam serangan udara Israel.”

Menurut Al Jazeera, 15 ahli keluarga Azaiza telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Azaiza juga sempat merakam keadaan semasa selepas rumah keluarganya di kem pelarian Dier el-Balah dibedil tentera rejim Israel.


Jumlah Nyawa Rakyat Palestin Yang Syahid

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, Angka kematian rakyat Palestin dalam serangan Israel ke atas Gaza telah melebihi 25,000.

Pada Isnin lalu (22 Januari), tentera Israel dilaporkan melaksanakan serangan besar-besaran menggunakan kereta kebal di Khan Younis iaitu bandar utama selatan Gaza. Serangan itu menyasarkan dua pintu masuk hospital di kawasan tersebut.

Susulan kekejaman tersebut, penduduk kini terputus akses kepada rawatan kecemasan dan menjejaskan lokasi perlindungan ratusan ribu individu yang sudah kehilangan tempat tinggal.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Mayat Bayi Pramatang Mereput Dijumpai Lepas Hospital Di Gaza Dikosongkan

Baca Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat Bekal 15,000 Bom & 57,000 Meriam


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd