Now Reading
Aksi Pantas Anggota TDM Selamatkan Mangsa Jatuh Dari Jambatan Pulau Pinang Raih Pujian

Aksi Pantas Anggota TDM Selamatkan Mangsa Jatuh Dari Jambatan Pulau Pinang Raih Pujian

Koperal Mazlan Abdul Rahman berkata Allah SWT telah menggerakkan hatinya untuk terjun menyelamatkan mangsa sebaik melihat mereka terapung pada permukaan laut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 15 Januari lalu, rakyat Malaysia dihebohkan dengan berita dua orang mangsa yang bertengkar sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.

Kedua-dua mangsa lelaki dan perempuan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertindak terjun ke dalam laut.

Baca Artikel Berkaitan: Pasangan Kekasih Bertengkar Sebelum Jatuh Dari Jambatan Pulau Pinang

Tindakan yang spontan itu kemudiannya telah mencuri perhatian orang ramai khususnya di media sosial.


Anggota Tentera Lihat Mangsa Terapung Di Permukaan Air

Tindakan anggota TDM, Koperal Mazlan Abdul Rahman yang mempertaruhkan nyawanya bagi menyelamatkan orang awam itu sememangnya layak menerima pujian.

Mazlan yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) berkata aksinya yang spontan dilakukan sejurus melihat kedua-dua mangsa terapung di permukaan air.

Berbicara mengenai insiden, Mazlan menjelaskan bahawa dia baru sahaja menyelesaikan tugas di Kem Sungai Ara dan sedang menuju pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah dengan menaiki sebuah motosikal.

Semasa dalam perjalanan, dia melihat orang ramai sedang berkumpul di bahu jalan sekitar pertengahan Jambatan Pulau Pinang. Pada awalnya, dia menyangka berlakunya satu kemalangan sebelum menyedari kelibat mangsa di permukaan air.


Allah SWT Gerakkan Hati Untuk Selamatkan Mangsa

Menurut Mazlan, hatinya terdetik untuk menyelamatkan mangsa sebaik sahaja melihat mereka terapung di perairan tersebut.

“Mungkin Allah SWT gerakkan hati saya untuk terjun bagi menyelamatkan mangsa lelaki yang terapung serta dalam keadaan stabil, walaupun cedera di kepala. Keadaan memang gelap selain arus laut kuat dan banyak obor-obor.

“Kemudian, saya selamatkan mangsa wanita yang terkapai-kapai minta pertolongan sebelum menarik mereka bagi berpaut pada tembok berhampiran tiang jambatan,” ujar Mazlan.

Jelasnya, dia bersama mangsa hanya berpaut di tembok berhampiran tiang jambatan sahaja kerana ia terlalu tinggi untuk melepasinya. Selepas 20 minit berlalu, bantuan bot nelayan pula tiba dan menyelamatkan mereka semua.

Sumber: Berita Harian

Tentera TDM Kena Sengat Obor-obor

Dalam pada itu, Mazlan turut mendedahkan bahawa dia mengalami kecederaan di kaki serta sakit di bahagian belakang badan akibat disengat obor-obor yang banyak dalam laut.

Selepas diselamatkan bot nelayan, Mazlan kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang pada jam 5 pagi semalam (16 Januari).

“Sewaktu kecil, saya pernah menyelamatkan abang daripada lemas dan kini ketika berkhidmat di TDM, saya adalah seorang jurulatih jasmani dan sukan.

“Saya pernah mengikuti kursus menyelamat serta menangani situasi seumpamanya dengan latihan di tempat setinggi 10 meter dan mungkin kerana itu saya ada keberanian bagi mempraktikkan kaedah berkenaan ketika kejadian,” kata Mazlan, lapor Harian Metro.


Tindakan Berani Anggota Tentera Dipuji Orang Ramai

Keberanian Mazlan sekaligus mendapat perhatian oleh pihak berkepentingan termasulah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

https://twitter.com/khalednordin/status/1747240369518219390?

Menerusi perkongsian di laman Facebook Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pula, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi juga telah mengucapkan tahniah kepada Koperal Mazlan Abdul Rahman di atas keberanian dan jasanya menyelamatkan mangsa di Jambatan Pulau Pinang itu.

Sumber: Facebook

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut menzahirkan ucapan tahniah mereka dan memuji anggota TDM tersebut.

“Alhamdulillah, terbaik Koperal Mazlan. Sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain. Pingat dan pangkat yang selayaknya untuk kamu Wira TDM,” kata seorang wanita.

Sumber: Facebook

Semoga kisah ini dapat menjadi contoh bukan sahaja kepada anggota tentera yang lain malah kepada orang awam untuk menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Baca Artikel Berkaitan: Pasangan Kekasih Bertengkar Sebelum Jatuh Dari Jambatan Pulau Pinang

Baca Artikel Berkaitan: Kes Lelaki & Wanita Jatuh Dari Jambatan Pulau Pinang: Pegawai Kanan Polis Disiasat Cubaan Bunuh


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd