Now Reading
Aeril Zafrel & Wawa Zainal Bayar Zakat Perniagaan RM1.15 Juta

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Bayar Zakat Perniagaan RM1.15 Juta

Aeril Zafrel berharap agar bayaran zakat sejumlah RM1.15 juta itu mampu membantu golongan yang memerlukan di luar sana.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, pengeluaran zakat merupakan salah satu rukun Islam wajib dilaksanakan untuk mereka yang memenuhi syarat.

Amalan zakat ini mempunyai faedahnya tersendiri iaitu dapat mendorong sikap pemurah seseorang individu di samping membuang sifat kedekut dalam diri.

Seperti sebelum ini, penyanyi terkemuka Datuk Seri Siti Nurhaliza atau lebih mesra dipanggil sebagai TokTi telah dinobatkan sebagai pembayar zakat tertinggi bagi kategori penyanyi tempatan dan tidak pernah culas membayarnya sejak tahun 2019.

Baca Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Pembayar Zakat Tertinggi Sebagai Penyanyi, Tak Culas Sejak 2019


Aeril Zafrel & Wawa Zainal Bayar Zakat Perniagaan Sebanyak RM1.15 Juta

Semalam (20 Disember), pasangan pelakon tanah air serta ahli perniagaan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal telah memuat naik satu perkongsian di laman Instagram menunjukkan mereka sedang membayar zakat perniagaan.

Untuk info, jumlah zakat yang dibayar oleh mereka kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah sebanyak RM1.15 juta. Menurut Aeril, 33, jumlah pembayaran itu merupakan hasil perniagaan sepanjang tahun ini (2023).

“Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.

“Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua,” katanya.

Sumber: Instagram (@aeril_zafrel)

Aeril Harap Jumlah Zakat Dapat Bantu Golongan Memerlukan

Tambah usahawan tersebut, dia berharap bayaran zakat yang dilaburkan itu mampu membantu golongan memerlukan di luar sana.

“Dalam rezeki kita, insya-Allah ada rezeki orang lain juga. Semoga ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya, LZS adalah agensi terbaik dalam menguruskan perkara ini.

“Semoga usaha ini menjadi langkah awal dan pendorong buat orang lain juga. Percayalah, tidak miskin orang yang bersedekah di jalan Allah SWT,” katanya.

Pada tahun lalu, Aeril Zafrel meraih penghargaan daripada pihak LZS kerana telah melunaskan bayaran zakat yang tinggi sebanyak RM50,000.

Memetik sumber Kosmo, kedua-dua pasangan selebriti itu mempunyai beberapa buah perniagaan sedia ada termasuklah Wawa Cosmetics dan syarikat produksi Respected Citizen Sdn Bhd.


Reaksi Netizen Lihat Aeril & Wawa Bayar Zakat Yang Tinggi

Menjengah kepada komen warganet di laman X, terdapat juga individu yang mempertikaikan tindakan pasangan tersebut untuk membuat konten tentang pembayaran zakat dilakukan.

“Syed Mokhtar bayar zakat pun tak menunjuk atau buat konten sign check. Alahai retis Malaysia ni,” ujar seorang individu.

Namun begitu, ramai juga yang telah menyuarakan pandangan mereka tentang isu berkenaan. Menurut sesetengah pihak, perkara baik itu sepatutnya dihebahkan kepada orang ramai agar dijadikan kesedaran kepada mereka yang tidak melangsaikan tanggungjawab membayar zakat.

“Bayar zakat, bayaran cukai, derma darah dan organ, semua ini perlu dikongsikan kerana ramai culas. Tiada awareness dan rasa tak penting. Influencer buat benda baik patut digembar-gemburkan supaya jadi ikutan!” kata seorang wanita.

Sementara itu, ramai juga netizen yang telah mendoakan agar perniagaan dijalankan oleh pasangan tersebut semakin berkembang selepas ini.

“Semoga wang zakat disalurkan kepada yang sepatutnya dan perniagaan pasangan ini semakin subur,” jelas seorang lelaki.

Sumber: X

Hukum Bayar Zakat Perniagaan

Menurut Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, seseorang usahawan diwajibkan membayar zakat perniagaan sekiranya menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Berikut adalah syarat syarikat perniagaan wajib mengeluarkan zakat:

  • Perniagaan yang dimiliki oleh individu beragama Islam.
  • Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang merdeka.
  • Sempurna milik.
  • Cukup nisab. 
  • Cukup haul (setahun qamariah 354.3 hari).

Kewajipan mengeluarkan zakat perniagaan ini adalah berdasarkan kepada nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Menurut firman Allah SWT:

“يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ”

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

[Surah al-Baqarah: 267]

Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Bayar Zakat Bila Keluarkan Duit KWSP? Ini Penjelasannya

Baca Artikel Berkaitan: Ini 6 Jenis Platform Untuk Bayar Zakat Fitrah Secara Online


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd