Now Reading
Gara-gara Pakaian Tak Ikut SOP, Wanita Guna Pelapik Kerusi Untuk Masuk Dalam Balai Polis Di Perak

Gara-gara Pakaian Tak Ikut SOP, Wanita Guna Pelapik Kerusi Untuk Masuk Dalam Balai Polis Di Perak

Anggota polis tidak dapat menahan ketawa kerana terhibur melihat kreativiti wanita tersebut menggunakan kain pelapik kerusi kereta untuk mematuhi etika pemakaian.

guna pelapik kerusi kereta untuk masuk balai polis

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, urusan rasmi yang memerlukan anda memasuki kawasan seperti pejabat kerajaan, sekolah, balai polis dan sebagainya dihendaki untuk mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan.

Walaupun perkara ini dianggap umum, tetapi ada juga segelintir individu yang masih tidak tahu mengenai peraturan tersebut.

Ini kerana pernah terjadi kes di mana individu tidak dibenarkan untuk memasuki pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memakai seluar pendek dan terpaksa memakai kain pelikat sebelum dibenarkan masuk ke premis terbabit.

Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Sarung Kain Pelikat Gara-gara Tak Boleh Masuk JPJ Berseluar Pendek

Artikel Berkaitan: “Tak Lepas Masuk Exam Kelas Memandu” – Lelaki Melayu Dipuji Bagi Pinjam Baju Berkolar Kepada Pelajar Cina


Wanita Tak ‘Lepas’ Masuk Balai Polis Kerana Pakai Kain Atas Paras Lutut

Baru-baru ini, satu lagi kejadian hampir sama berlaku apabila seorang wanita menceritakan kisahnya menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya (Jeanne JY).

Wanita yang dikenali sebagai Jeanne dikatakan tidak dibenarkan untuk memasuki sebuah balai polis di Perak selepas dia dipercayai memakai kain yang agak pendek iaitu pada paras atas lutut.

Ketika anggota polis yang bertugas memberitahu bahawa pemakaiannya tidak mengikut etika, Jeanne mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya dan menukar pakaian.

Anggota polis beritahu yang skirt saya tidak panjang dan kena lebih daripada lutut. Jadi saya pun cakap untuk beri masa lima minit untuk tukar pakaian.

Pengguna Facebook, Jeanne JY.

Namun ketika sampai di kereta, wanita berkenaan mendapat idea untuk menggunakan pelapik kerusi di dalam keretanya dan melilitkannya di sekeliling pinggang sebelum diikat bersama jaket.

guna pelapik kerusi kereta untuk masuk balai polis
Sumber: Facebook Jeanne JY

Anggota Polis Terhibur Lihat Pakaian Wanita Itu Dengan Kain Pelapik Kerusi

Jeanne kemudiannya kembali semula ke balai polis dan membuatkan anggota polis yang melihatnya tidak dapat menahan ketawa kerana terhibur melihat kreativiti wanita tersebut.

Oleh kerana kain Jeanne itu tidak lagi berada di atas lutut, anggota polis berkenaan juga memberikan isyarat ‘thumbs up’ dan membenarkan dia memasuki balai polis.

Saya patah balik ke balai polis dengan melilitkan kain pelapik pada pinggang. Saya beritahu anggota polis yang saya sudah cuba yang terbaik untuk mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan. Mereka pun tergelak tengok saya sehingga tidak boleh bercakap.

Pengguna Facebook, Jeanne JY.

Netizen Puji Lihat Kreativiti Wanita Itu ‘Ubah Suai’ Kain Pelapik Untuk Selesaikan Masalah

Ruangan komen hantaran yang dimuat naik oleh wanita itu mendapat perhatian ramai dan rata-ratanya terhibur melihat cara dia mengubah suai kain pelapik kerusi di dalam kereta untuk memanjangkan kain pendeknya.

Malah, ada juga netizen yang memberi cadangan supaya setiap pemandu menyimpan kain atau seluar panjang di dalam kereta jika diperlukan.


Etika Pemakaian Di Bangunan Kerajaan

Secara amnya, pelawat atau pekerja yang ingin memasuki bangunan-bangunan kerajaan perlu mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan bagi menyelesaikan urusan rasmi.

Antara etika pemakaian yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Tidak dibenarkan memakai baju kemeja tanpa kolar.
  • Tidak dibenarkan memakai baju tidak berlengan.
  • Tidak dibenarkan memakai pakaian terdedah.
  • Tidak dibenarkan memakai skirt di atas paras lutut.
  • Tidak dibenarkan memakai seluar pendek atau legging.
  • Tidak dibenarkan memakai selipar.

Ingat ya, pastikan anda mengenakan pemakaian mengikut etika yang ditetapkan apabila mahu berurusan dengan pejabat kerajaan. Kalau tidak, memang kena balik rumah semula lah jawabnya.

Sumber: Facebook Jeanne JY | Dewan Selangor


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd