Now Reading
Daiso Umum Penubuhan Pusat Pengedaran Global Strategik Di Pelabuhan Klang

Daiso Umum Penubuhan Pusat Pengedaran Global Strategik Di Pelabuhan Klang

Pusat Pengedaran Global (GDC) berfungsi sebagai hab pengedaran global Daiso bagi melancarkan logistik kemasukan produk syarikat tersebut dari negara luar seperti Jepun dan China.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (5 Oktober), kedai runcit terkemuka dari Jepun, Daiso Malaysia Group Sdn Bhd telah mengumumkan kolaborasi unggul dengan KAJIMA-SUNCON iaitu satu usaha sama oleh Kajima (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunway Construction Sdn Bhd.

Kerjasama ini dijalankan bagi membangunkan penubuhan sebuah Pusat Pengedaran Global (GDC) Baharu yang canggih di Pelabuhan Klang, Malaysia.


Daiso Malaysia Umum Penubuhan Pusat Pengedaran Global Di Pelabuhan Klang, Malaysia

Untuk pengetahuan semua, GDC tersebut bakal berfungsi sebagai hab pengedaran global Daiso bagi melancarkan logistik kemasukan produk syarikat tersebut dari negara luar seperti Jepun dan China serta pengedaran produk ke 22 negara di seluruh Asia dan Timur Tengah.

Bukan itu sahaja, inisiatif strategik ini akan meningkatkan ketersediaan produk Daiso di rantau-rantau tersebut.

Turut sama dengan majlis tandatangan kerjasama oleh Daiso ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin bin Shari, serta disaksikan oleh Presiden Daiso Industries Co. Ltd En. Seiji Yano, dan Pengerusi Daiso Malaysia Group Sdn Bhd Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman.

“Hari ini kami telah menanda satu perjalanan transformatif untuk Daiso Malaysia Group,” ulas Khairul Adib.

Tambah beliau menerusi ucapannya di majlis tersebut di Courtyard, Marriot Setia Alam, Daiso Malaysia berbesar hati untuk bekerjasama dengan KAJIMA-SUNCON untuk merealisasikan visi jangka panjang syarikat tersebut.


GDC Tampil Sebagai Pusat Bekalan Produk Daiso Di Malaysia

Melalui pusat yang baru ditubuhkan ini, Daiso menyasarkan pusat sehenti yang boleh meningkatkan kecekapan dalam keseluruhan rantaian bekalannya.

Dengan memusatkan bekalan produk di Malaysia, Daiso berhasrat untuk mengawal dan mengurus masa penyampaian secara cekap bagi membolehkan penghantaran produk ke pelanggan adalah dalam waktu yang ditetapkan.


GDC Bakal Mula Dibina Pada Mei 2024

Menerusi pelaburan besar sejumlah RM1 bilion, pembinaan GDC yang dinyatakan bakal dijadualkan bermula pada Mei 2024 dan dijangka siap pada Mei 2026.

Hab pengedaran ini akan menerapkan teknologi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) ke dalam operasi menyeluruh iaitu satu kerjasama dengan Murata Electronics (Malaysia) Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Daiso turut menyifatkan keputusan strategik ini sebagai dedikasi syarikat terhadap pembangunan logistik yang meliputi operasi yang cemerlang dan sistematik.


Kedudukan Strategik Pelabuhan Klang Antara Faktor Malaysia Dipilih Sebagai GDC Baru Daiso

Untuk info, Malaysia dipilih sebagai lokasi utama GDC baru kerana negara ini telah secara konsisten muncul sebagai hab terbaik untuk logistik masuk dan keluar.

Selain itu, kedudukan strategik Pelabuhan Klang menjadikan lokasi ini sebagai pintu masuk pilihan buat perdagangan serantau.

Tidak terhenti di situ sahaja, GDC ini juga akan menyumbang kepada peningkatan drastik dalam trafik kontena di pelabuhan tempatan dan seterusnya membawa kepada operasi pelabuhan yang dipertingkatkan melalui kecekapan dan kapasiti yang lebih tinggi.

Susulan itu, sektor ekonomi yang meningkat bakal melonjakkan permintaan terhadap tenaga kerja dan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti pekerja dok, pemandu trak, pengurus logistik, ataupun kakitangan pentadbiran.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, yang akan memacu pertumbuhan ekonomi serta peluang kerjaya yang berkualiti untuk rakyat Selangor,” jelas Amirudin.

Dalam majlis pelancaran tandatangan hari ini, Daiso Malaysia Group tidak ketinggalan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Invest Selangor Berhad dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) atas sokongan padu mereka sepanjang perjalanan transformatif ini.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd