Dawai Kokot Pada Bungkusan Makanan Undang Bahaya!
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu mampu tercedera sekiranya tertelan dawai kokot pada bungkusan makanan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Buat mereka yang berniaga, sudah pasti jenis pembungkusan makanan memainkan peranan penting dalam bisnes anda. Antara bungkusan paling biasa digunakan oleh golongan tersebut adalah kotak polisterin.
Namun begitu, ada juga di kalangan mereka yang menggunakan bungkusan berasaskan plastik, kertas atau daun pisang. Hidangan tersebut pula selalunya akan menggunakan dawai kokot (ubat stapler) atau paku.
Kesan Telan Dawai Kokot
Kalau anda perasan, dawai kokot biasanya digunakan untuk bungkus kuih kegemaran anda seperti pulut panggang atau kuih pelita. Namun seseorang itu berisiko untuk tertelan dawai kokot tersebut sekiranya mereka tidak sedar tentang kewujudannya.
Antara kesan buruk tertelan dawai kokot adalah:
- Pendarahan gusi dan cedera di saluran makanan.
- Dawai kokot yang terbuka mampu mencederakan kawasan tekak.
- Dawai kokot tersekat dalam tekak akan menyebabkan jangkitan daripada nanah.
- Batuk berterusan sehingga berdarah.
Buat mereka yang berdepan dengan situasi tertelan dawai kokot atau paku, anda perlu segera mendapatkan rawatan kecemasan di hospital atau klinik berdekatan.
Hukuman Jika Peniaga Guna Dawai Kokot Atau Paku Untuk Bungkus Makanan
Sebagai rekod, para peniaga tidak dibenarkan untuk menggunakan paku atau sebarang peralatan tajam dalam membungkus makanan. Penggunaan barangan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Perkara itu boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Hal ini kerana dawai kokot dan paku dikategorikan sebagai ‘food hazard’ dan tidak sesuai digunakan sebagai kaedah pembungkusan makanan. Sebaliknya orang ramai disarankan menggunakan getah biasa.
Dalam pada itu, hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya bahan berbahaya itu dijumpai dalam makanan.
Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, individu yang menyedia atau menjual sebarang makanan mengandungi bahan memudaratkan kesihatan juga dikategorikan sebagai satu kesalahan.
Untuk hukumannya, tertuduh boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Tanggungjawab Anda Sebagai Peniaga
Sebagai seorang peniaga, anda harus memastikan makanan yang disediakan selamat dan sesuai untuk khalayak ramai.
Selain itu, peniaga juga perlu menggunakan alternatif pembungkusan lain yang lebih mesra pengguna bagi mengelakkan perkara buruk daripada berlaku.
Buat Aduan Kepada Pihak Berkuasa
Pelanggan atau orang awam yang menyedari terdapatnya dawai kokot atau bahan bahaya pada bungkusan makanan, anda harus membuat laporan kepada pihak berkuasa menerusi:
- Hubungi Jabatan Kesihatan Negeri.
- Hubungi Pejabat Kesihatan Daerah.
- Laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
- Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM (BKKM).
Kes Pelanggan Telan Dawai Kokot & Paku
Terdahulu beberapa insiden dilaporkan berlaku di mana seorang wanita dilaporkan hampir mengalami kecederaan selepas terjumpa beberapa biji dawai kokot berada dalam hidangan nasi kerabunya.
Jelasnya, makanan tersebut telah dipesan melalui satu aplikasi penghantar makanan dan mangsa menyangka dawai yang dikunyah itu merupakan tulang. Namun apabila diteliti, objek tersebut sebenarnya adalah dawai kokot.
Baca Artikel Berkaitan: “Bukan 1 Tapi 10”- Pelanggan Terkejut Jumpa Dawai Kokot Dalam Nasi Kerabu
Bukan itu sahaja, seorang kanak-kanak juga telah dimasukkan ke wad kecemasan hospital kerana tertelan paku. Budak berkenaan dilaporkan mengalami sakit perut dan menangis tanpa henti.
Disebabkan kes tersebut, para peniaga diminta untuk tidak menggunakan paku atau sebarang peralatan tajam bagi membungkus makanan selain menghentikan trend ‘Nasi Paku’ yang agak terkenal di Kota Bharu, Kelantan.
Baca Artikel Berkaitan: KKM Minta Trend ‘Nasi Paku’ Di Kelantan Dihentikan Segera
Baca Artikel Berkaitan: Peniaga Guna Paku, Dawai Kokot Untuk Bungkus Makanan Boleh Didenda & Dipenjara – KKM
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram