“Bukan 1 Tapi 10”- Pelanggan Terkejut Jumpa Dawai Kokot Dalam Nasi Kerabu
Pada awalnya, pelanggan itu menganggap objek tajam yang dikunyah adalah tulang, rupa-rupanya dawai kokot di dalam nasi kerabunya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Sejak belakangan ini, banyak pelanggan yang mengadu bahawa mereka terjumpa bendasing yang tajam dan boleh membahayakan mereka di dalam hidangan makanan.
Terdahulu, pernah berlaku kejadian di mana seorang pelanggan terjumpa sebiji skru tajam di dalam hidangan nugget yang dipesan di sebuah kedai makan.
Oleh kerana terkejut melihat skru berkenaan, pelanggan tersebut membuat laporan kepada peniaga dan mendapati kecuaian itu bukanlah berpunca daripada pemilik kedai kerana dia hanya menggoreng terus daripada pek bungkusan nugget.
Susulan itu, pelanggan tersebut meminta peniaga di kedai terbabit untuk memberikan bungkusan asal nugget yang dibeli oleh mereka.
BACA JUGA: Ngilu! Pelanggan Dakwa Tergigit Benda Keras, Rupanya Ada Skru Dalam Nugget
Pelanggan Jumpa 10 Biji Dawai Kokot Dalam Nasi Kerabu Yang Dibeli
Insiden hampir sama sekali lagi berulang apabila seorang wanita dilaporkan hampir mengalami kecederaan selepas terjumpa beberapa biji dawai kokot berada dalam hidangan nasi kerabunya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di grup Facebook Warga Kuantan OFFICIAL, wanita itu agak terkejut selepas dia menjumpai 10 biji dawai kokot ketika sedang mengunyah nasi kerabu yang dibelinya menerusi aplikasi atas talian.

Pada awalnya, dia hanya menganggap ia adalah tulang, tetapi sebaliknya pula selepas dia mengeluarkan objek tajam itu dari mulutnya.
Disebabkan terkejut dengan bendasing yang ditemui, pelanggan berkenaan terus membuat laporan menerusi aplikasi penghantaran makanan.
Jumpa masa tengah makan tadi. Tengah mengunyah ingatkan tulang, rupanya dawai kokot. Saya terus buat laporan dan pihak aplikasi penghantaran makanan terus menghubungi saya.
Pelanggan.

Ramai Terkejut Lihat Dawai Kokot Tajam Dalam Hidangan Nasi Kerabu Itu
Perkongsian yang dimuat naik oleh wanita itu di laman Facebook telah mendapat pelbagai reaksi kurang senang daripada netizen.
Ramai beranggapan kecuaian peniaga dari segi keselamatan dan kebersihan ketika mengendalikan makanan boleh mendatangkan risiko kepada pelanggan mereka.
Lebih membimbangkan sekiranya hidangan berkenaan dimakan oleh kanak-kanak dan mereka tidak menyedari perkara itu.
Netizen turut mencadangkan agar pelanggan tersebut membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut kerana bimbang jika dawai kokot itu ditelan dan menyebabkan kecederaan kepada organ dalaman tubuh badan.



Laporkan Kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Jika Peniaga Tak Patuhi Etika
Para peniaga juga diminta untuk tidak menggunakan paku atau sebarang peralatan tajam untuk membungkus makanan. Peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Makanan 1983.
Ini kerana paku dikategorikan sebagai “food hazard” dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai kaedah pembungkusan makanan. Lebih baik guna getah, lagi selamat.
Orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) jika ada peniaga yang menjual juadah tanpa mematuhi etika penyediaan serta penjualan makanan dengan selamat.
Aduan boleh dilakukan melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan atau berjumpa terus pegawai bertugas di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.