Now Reading
Kajian Dedah Lebih Ramai Rakyat Malaysia Hijrah Ke Australia Sejak Tahun 2023

Kajian Dedah Lebih Ramai Rakyat Malaysia Hijrah Ke Australia Sejak Tahun 2023

Seramai 4,890 penduduk dari Malaysia mula berpindah ke Australia sejak tahun 2023.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dari zaman dahulu lagi, manusia ini mempunyai sifat hidup berpindah-randah. Pada zaman moden ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang berhijrah dari satu tempat ke tempat lain.

Antaranya faktor keluarga, cuaca, kewangan, pekerjaan dan sebagainya.

Seperti mana yang kita lihat ramai penduduk dari luar negara berpindah ke Malaysia, masyarakat kita turut melakukan perkara sama apabila mereka mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara lain.


Bilangan Rakyat Malaysia Berhijrah Ke Australia Semakin Meningkat

Antara negara yang menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk meneruskan kehidupan mereka adalah di Australia.

Memetik Free Malaysia Today (FMT), data dari Statista menunjukkan bahawa bilangan masyarakat Malaysia yang berpindah ke negara yang terkenal dengan haiwan kangaroo itu telah menunjukkan jumlah yang ketara.

Difahamkan, seramai 4,890 penduduk dari Malaysia mula berpindah ke Australia sejak tahun 2023 berbanding 2,930 pada tahun 2022.

Sumber: Pexels

Rakyat Malaysia Kongsi Pendapat Mengapa Mereka Berpindah Ke Australia

Seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Shahrin S menceritakan perkara yang paling sukar buatnya ketika berhijrah ke Australia pada tahun 2022 adalah apabila terpaksa meninggalkan keluarga dan rakan-rakan.

Walau bagaimanapun, Shahrin berkata dia tidak menyesali sebarang keputusan yang dilakukan selepas mengambil kira faktor peluang ekonomi dan kestabilan politik di Australia yang lebih stabil.

Pengurus program IT berkenaan yang kini menetap di Selatan Australia menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia akan berhijrah ke negara itu pada masa hadapan untuk melarikan diri daripada kemelut rasuah, ketidakstabilan politik dan ketegangan kaum di Malaysia.

Saya rasa gembira dapat tinggal di negara yang menggunakan wang cukai dengan baik untuk memajukan negara dan membantu rakyat. Biasiswa, pembiayaan dan bantuan kewangan juga diberikan berdasarkan merit serta pencapaian tanpa mengira latar belakang etnik, bangsa mahupun agama.

Shahrin S.
Sumber: Freepik

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Wong Kien Yang yang kini bekerja sebagai pegawai bank berkata, dia memilih untuk kembali semula dan memulakan kehidupan di Australia selepas menamatkan pengajian di negara tersebut.

Jelas Wong, kepelbagaian budaya yang hampir sama seperti di Malaysia membuatkan dia tertarik untuk tinggal di sana.

Saya merasakan Australia adalah tempat yang sesuai untuk saya menetap sebab saya sudah terbiasa hidup di sini sejak belajar lagi. Masyarakat mereka juga menerima kepelbagaian budaya. Malah, Sydney juga ada banyak komuniti dan restoran Malaysia.

Wong Kien Yang.
Sumber: Pexels

Balraj Rajagopal pula yang kini menetap di Melbourne mengatakan bahawa Australia mempunyai polisi dan undang-undang yang tegas serta pendidikan berkualiti di samping peluang sama rata yang diberikan kepada rakyat.

Tambah Balraj lagi, golongan muda akan lebih mudah untuk beradaptasi dengan kehidupan masyarakat di sana kerana pengaruh sosial seperti di sekolah dan universiti.

Bagi orang yang lebih tua, ia mengambil masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya dan membuat kawan baharu. Tetapi, ia bergantung juga kepada individu tersebut.

Balraj Rajagopal

Namun menerusi semakan kami, jumlah rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia pada tahun 2023 masih tidak dapat menandingi jumlah dari tahun 2015 hingga 2018 (12,100 orang).


Lebih 1.86 Juta Rakyat Malaysia Tinggal Di Luar Negara

Memetik Sinar Harian, Menteri Sumber Manusia mendedahkan bahawa seramai 1.86 juta rakyat Malaysia menetap di luar negara, dan 1.13 juta daripada jumlah itu menetap di Singapura.

Menurut laporan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDESA) pada 2020, destinasi negara utama bagi penghijrahan rakyat Malaysia adalah Singapura, Bangladesh, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Brunei.

Jumlah yang dikeluarkan pada Mac 2023 ini telah menaikkan usaha kementerian untuk merangka semula langkah bagi menarik balik rakyat Malaysia untuk kembali bekerja di dalam negara.

Baca Artikel Berkaitan: 29,000 Graduan Menganggur Selepas 6 Bulan Tamat Pengajian Pada Tahun 2022 – Menteri Pendidikan Tinggi

Baca Artikel Berkaitan: Kadar Pengangguran Pada November 2023 Menurun, Kembali Ke Paras Prapandemik


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd