[Eksklusif] Konsep ‘Hidden’ Kedai JIBRIL Dikenali Ramai. Apa Rahsianya?
Setiap cawangan kedai makan JIBRIL mempunyai ‘pintu rahsia’ yang berbeza seiring dengan konsep mereka yang tersembunyi.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila sebut kedai makan JIBRIL, perkara pertama yang akan ada di fikiran adalah konsep kedai yang jarang dijumpai.
Tak pernah-pernah orang buka kedai makan di lokasi tersembunyi tetapi mahu dikenali ramai. Mesti ramai yang tertanya-tanya kan?
Untuk merungkai persoalan orang ramai, team TRP berpeluang untuk bertanya sendiri kepada pemiliknya bagi menjawab segala teka-teki ini.
Perkongsian Dari Pemilik JIBRIL Tentang Konsep Kedai Makan Tersembunyi Yang Diperkenalkan
Pemilik JIBRIL iaitu Akmyr Ahmad Azwan berkongsi dengan kami tentang konsep kedai tersembunyi yang dikatakan antara yang pertama di Malaysia.
Nak tahu juga kenapa ‘hidden’ ini jadi pilihan pemilik JIBRIL.
#1. Mengapa konsep kedai JIBRIL adalah secara tersembunyi dan agak misteri?

JIBRIL memperkenalkan konsep ‘speakeasy’ yang diinspirasikan dari bar tersembunyi pada zaman “American Prohibition”. Untuk pengetahuan anda, minuman beralkohol atau bar adalah diharamkan pada ketika itu, banyak bar yang telah dibina secara tersembunyi.
Jelas Akmyr, ramai pemilik restoran di luar negara yang melihat ‘konsep’ ini sebagai satu peluang untuk tampil unik . Tetapi konsep ini pada ketika itu masih belum wujud di Malaysia.
Melihat jurang tersebut, Akmyr mengambil peluang berkenaan untuk memulakan perniagaan yang lebih mesra Muslim serta disahkan Halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
#2. Adakah konsep kedai JIBRIL secara tersembunyi yang diteruskan ini sebagai salah satu strategi atau marketing untuk dikenali ramai?

Mengulas lanjut, pengasas JIBRIL ini menjelaskan bahawa konsep kedai tersembunyi cuba untuk dikekalkan termasuklah dari segi hiasan dalamannya. Paling penting, kena ada ‘pintu rahsia’.
“Ya, pemilik-pemilik akan cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan konsep kedai JIBRIL yang unik dari segi hiasan dalaman dan juga pintu rahsianya, dengan sedikit “kelainan” tersendiri mengikut outlet-outlet. Pengekalan konsep ini lebih kepada mengekalkan identiti kami daripada salah satu strategi pemasaran”, kata Akmyr.
Setiap cawangan mempunyai ‘pintu rahsia’ yang berbeza. Siapa yang pernah pergi je tahu! #YTJT.
#3. Bagaimana konsep kedai tersembunyi ini boleh dikenali ramai?

Kebiasaannya, pihak restoran akan merancang pelbagai jenis strategi pemasaran untuk mempromosikan perniagaan mereka sehingga menelan ribuan ringgit.
Tetapi bagi JIBRIL pula, pemasaran mereka hanyalah secara ‘natural’ di mana ia disebarkan melalui ‘mulut-mulut orang’.
Bagi pemilik JIBRIL ini, apabila pelanggan berpuas hati dan tertarik dengan kedai mereka, pasti mereka akan bercerita kepada orang lain.
“Sebagai contoh, cawangan JIBRIL yang pertama di Johor Bahru mendapat sambutan yang cukup hangat pada hari pertama pembukaan walaupun mereka hanya memuat naik satu video menunjukkan pintu masuk rahsia di platform TikTok”, kata Akmyr.
#4. Mengapa konsep kedai tersembunyi JIBRIL kekal sehingga ke hari ini? Adakah ia identiti JIBRIL?

Identiti JIBRIL sememangnya dikenali sebagai kedai tersembunyi.
“InsyaAllah, ianya akan kekal atau diperunikan lagi di masa hadapan”, jelas Akmyr.
Malah, terdapat beberapa perniagaan yang cuba memperkenalkan konsep sama sejak beberapa tahun lalu dan boleh dikatakan masyarakat akan mengaitkannya dengan nama JIBRIL.
#5. Apakah inspirasi di sebalik konsep tersembunyi di JIBRIL ini?

Melihat kepada kekurangan yang wujud, JIBRIL cuba untuk mengisi jurang di dalam industri pemakanan seperti:
- Makanan sedap tapi harga agak mahal atau hiasan dalaman kurang selesa.
- Hiasan dalaman cantik dan selesa tapi makanan tidak sedap serta mahal.
Dengan mengisi jurang ini, JIBRIL berharap dapat menyediakan hidangan serta pengalaman ‘dine-in’ yang menarik bagi semua lapisan masyarakat termasuklah B40, M40 dan T20.
Makanan sedap, harga berpatutan dan tempat yang cantik. Siapa je yang tak suka kan?
Kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang perniagaan JIBRIL dengan lebih lanjut, boleh klik [DI SINI].
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.