Hiking Sambil Healing Di KL East Park, Boleh Nampak Pemandangan KL! [Review]
Laluan pendakian di KL East Park dianggarkan berkeluasan dua kilometer dengan ketinggian puncak 242 meter dari paras laut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Aktiviti mendaki atau ‘hiking’ di hutan merupakan salah satu hobi yang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi mereka yang suka mendekati alam semula jadi.
Di sekitar Lembah Klang sendiri, ada pelbagai lokasi tumpuan para pendaki untuk melakukan aktiviti fizikal tersebut bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.
Antara lokasi yang menawarkan aktiviti pendakian dan baru sahaja dibuka oleh Sime Darby Property pada bulan Februari lalu adalah KL East Park (KLEP) iaitu terletak berhampiran dengan pusat membeli-belah KL East Mall.
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang KL East Park?
Jarak pendakian di KL East Park ini dianggarkan sejauh dua kilometer dan puncaknya pula berada pada tahap ketinggian 242 meter dari paras laut.
Meskipun hutan di KL East Park ini berkeluasan 53 ekar, namun hanya 17 ekar sahaja yang dibuka untuk fasa pertama sehingga 31 Ogos 2023.
Sambil-sambil mendaki, perhatikan juga kawasan sekeliling sekitar hutan kerana terdapat lebih 316 spesies pokok yang berbeza di dalam kawasan berkenaan.
Selain itu, aktiviti mendaki di KLEP ini adalah percuma dan tidak dikenakan bayaran kepada semua golongan sehingga 31 Ogos 2023.
Bayaran akan dikenakan bermula pada 1 September 2023 kepada mereka yang ingin mengunjungi KL East Park. Namun, jumlah bayaran masih belum diberitahu oleh pihak Sime Darby Property.
Prosedur Penting Sebelum Anda Mahu Mendaki Di KL East Park
Perkara paling penting sebelum anda mahu mendaki di KL East Park adalah untuk membuat tempahan terlebih dahulu di laman web mereka sekurang-kurangnya tiga hari atau 72 jam sebelum.
Bagi setiap tempahan slot, setiap individu akan diberikan tempoh dua jam sahaja dan anda perlu mengikut slot waktu yang telah dipilih.
Apabila anda mahu mengisi maklumat diri terutamanya pada bahagian nama, masukkan nama penuh mengikut nombor kad pengenalan dan bukannya nama panggilan.
Selepas tempahan dibuat, anda perlu menunggu e-mel dari pihak Sime Darby Property bagi mengetahui sama ada tempahan anda diluluskan atau ditolak.
Kalau anda membuat tempahan pada jam 3:00 pagi, jangan pula terus menjangkakan akan mendapat e-mel dalam tempoh beberapa minit.
Ini kerana tempahan itu hanya akan disemak pada tempoh berkerja iaitu 7:00 pagi sehingga 5:30 petang.
Sekiranya tempahan anda diluluskan, anda akan menerima kod QR yang akan digunakan di pintu masuk KL East Park. Jika sebaliknya, silalah membuat tempahan slot yang lain semula ya.
Macam Mana Nak Pergi Ke KL East Park?
Sekiranya anda tidak mahu memandu, boleh menaiki LRT dan berhenti di stesen LRT Gombak sebelum menempah Grab. Jarak dari LRT Gombak ke KL East Park dianggarkan dalam 1.5 kilometer dan mengambil masa enam minit sahaja.
Jika mahu memandu atau menunggang motosikal, anda boleh meletakkan kenderaan di kawasan KL East Gallery atau di dalam KL East Mall. Dari kedua-dua lokasi ini, anda perlu berjalan kaki untuk menuju ke pintu KLEP.
Jarak untuk berjalan kaki adalah sekitar 700 meter dengan tempoh masa 5-10 minit bergantung kepada kelajuan masing-masing.
Jom Kami Kongsi Pengalaman Mendaki Di KL East Park
Apabila anda tiba di pintu masuk, petugas akan meminta anda untuk membuka kod QR yang diberikan di dalam e-mel pengesahan tempahan dari pihak Sime Darby Property.
Take note, kod QR tersebut akan tamat tempoh setengah jam selepas slot anda bermula. Jadi jangan lambat ya.
Apabila sudah memasuki pintu masuk, perkara pertama yang anda jumpa adalah lokasi untuk bergambar dengan bingkai bersaiz besar bertulis ‘KL East Park’ berwarna oren.
Selepas anda melalui jambatan kecil untuk masuk ke dalam hutan, akan ada sungai kecil dengan bunyian yang cukup menenangkan.
Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, laluan pendakian di KL East Park ini tidaklah terlalu mencabar dan sesuai untuk mereka yang mahu mencuba aktiviti ‘hiking’ buat kali pertama.
Selain itu, banyak papan tanda yang diletakkan bagi mengelakkan pendaki sesat dan tidak mengetahui arah tuju.
Bukan itu sahaja, terdapat juga peta yang disediakan untuk menunjukkan sejauh mana anda sudah mendaki. Jadi, dari situ bolehlah anda kekal bersemangat untuk meneruskan pendakian.
Kalau anda penat, jangan risau kerana ada beberapa pondok perhentian dan kerusi disediakan di bahagian tepi pokok.
Setibanya di bahagian puncak, anda dapat melihat pemandangan sekitar ibu kot. Boleh nampak pencakar langit KLCC, Menara Kuala Lumpur, Menara TRX dan sebagainya.
Secara keseluruhan, kami memberi purata 4/5 untuk pengalaman mendaki di KL East Park kerana fasiliti yang disediakan serta tahap keselamatan dan kebersihan yang dijaga dengan baik.
Sesetengah kawasan tepi bukit juga dipasang dengan tali bagi melindungi keselamatan pendaki.
Selepas selesai mendaki dan mahu keluar dari KL East Park, anda perlu menunjukkan kod QR di dalam e-mel yang sama kepada petugas.
Maka tamatlah aktiviti mendaki anda. Apa lagi, bolehlah singgah KL East Mall pula selepas itu untuk ‘reward’ diri sendiri dengan air minuman sejuk bagi melegakan tekak.
Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Dedah Kenapa Tak Boleh Pakai Minyak Wangi Ketika ‘Hiking’
Kalau anda nak merasa pergi mendaki di KL East Park secara ‘virtual’, boleh tengok video di bawah.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.