Now Reading
Jenama Mokti’s Lebarkan Sayap Dari Perlis Ke Turkiye Dengan Buka Cawangan Pertama Di Luar Malaysia

Jenama Mokti’s Lebarkan Sayap Dari Perlis Ke Turkiye Dengan Buka Cawangan Pertama Di Luar Malaysia

Dari Perlis ke Istanbul, Mokti’s kini mempunyai 85 cawangan di Malaysia, termasuklah luar negara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Kepada peminat aiskrim, anda patut cuba salah satu jenama tempatan yang terkenal dengan perisa Gula Apong iaitu Mokti’s.

Selain aiskrim, Mokti’s juga menyajikan pelbagai lagi sajian manisan seperti puding karamel, minuman MachiApong, aiskrim dalam bentuk bekas dan batang serta pelbagai pilihan biskut.

Menurut laporan Bernama, individu di sebalik kejayaan ini adalah seorang wanita warga Perlis berusia 32 tahun iaitu Siti Fatimah Adnan. Difahamkan, Fatimah memulakan perniagaan ini sejak lima tahun lalu disebabkan minatnya terhadap Gula Apong.

Sumber: Facebook Mokti’s

Apa Itu Gula Apong?

Gula Apong merupakan sejenis gula yang berasal daripada getah pokok nipa (Nypa fruticans) yang banyak tumbuh di kawasan pesisir pantai Sarawak terutamanya di Kota Samarahan dan Betong.

Dengan warna karamel keemasan, gulanya sedikit berbeza daripada gula putih atau perang kerana rasa manis semulajadi yang sedikit masin.

Boleh dikatakan ia seperti karamel masin yang kaya dengan vitamin dan mineral.

Sumber: Dayak Daily

Bagaimana Perniagaan Aiskrim Mokti’s Bermula?

Rasa minat pada Gula Apong bermula apabila Fatimah tinggal di Bintulu, Sarawak bersama keluarga suaminya selama dua tahun. Di sana, memang banyak aiskrim Gula Apong dan merupakan salah satu pencuci mulut yang sangat popular.

Selepas kembali ke kampung halaman di Perlis, Fatimah menyedari bahawa Gula Apong sangat terhad di Semenanjung, jadi dia perlu memenuhi keinginannya dan mula memperkenalkannya kepada masyarakat di Perlis.

Dengan ijazah dalam bidang Teknologi & Pengurusan Perladangan dari UiTM serta pengalaman dari kursus membuat aiskrim, suri rumah ini mengambil keputusan untuk membuat aiskrim Gula Apong sendiri.

Antara ‘tikus makmal’ pertamanya adalah saudara terdekat. Siapa sangka, aiskrim buatannya itu mendapat maklum balas positif sehingga dia yakin untuk membuka kedai aiskrim miliknya.

Fatimah memulakan perniagaannya dengan nama ‘Q Ice Cream Gula Apong ‘di sebuah kedai berkeluasan 10×12 kaki persegi berhampiran kedai serbaneka di Jejawi, Perlis.

Pada masa itu, dia hanya menjual aiskrim tersebut dengan harga hanya RM2. Siap boleh tambah dua topping percuma. Murah kan?

Sumber: Facebook Siti Fatimah Adnan

Disebabkan harga yang murah dan kualiti aiskrim yang sangat sedap, hidangan pencuci mulut ‘homamade’ ini mula menjadi popular sehingga menjadi bualan masyarakat tempatan.

Pada tahun 2019, Fatimah mengubah nama perniagaannya kepada ‘Mokti’s Ice Cream Gula Apong’. Kalau anda nak tahu, Mokti’s (Mok Fatimah) merujuk kepada nama panggilan yang diberikan oleh keluarga belah suaminya di Sarawak.

Pada tahun yang sama, wanita ini menggunakan keuntungan yang diperolehi daripada kedai pertamanya di Perlis dengan membuka lebih banyak cawangan di Kedah, Selangor, Perak, Melaka serta Negeri Sembilan.


Perjalanan Perniagaan Aiskrim Mokti’s

Sehingga kini, perniagaan aiskrim Mokti’s telah berkembang kepada 85 cawangan di Malaysia. Malah, dia juga mempunyai tiga buah kilang di Perlis yang membuat aiskrim batang, aiskrim ‘soft serve’ dan aiskrim gelato.

“Kami hanya menggunakan Gula Apong (95%) dari Sarawak dan susu (5%) untuk membuat rangkaian aiskrim buatan Mokti’s kerana kami ingin mengekalkan rasa asli makanan istimewa Sarawak.

“Kami tidak menggunakan sebarang gula putih atau menambah perisa vanila pada aiskrim kami,” kata Fatimah sambil menjelaskan bahawa kilangnya menggunakan kira-kira 20 tan Gula Apong setiap bulan untuk membuat ais krim.

Sumber: Facebook Mokti’s

Pada bulan Februari lalu, Mokti’s menjadi tajuk utama kerana telah membuka cawangan antarabangsa pertama mereka di Turkiye.

Selepas berbulan-bulan membuat persiapan, mereka akhirnya mengalu-alukan penduduk tempatan Turkiye, pelancong Malaysia yang ‘homesick’ serta masyarakat dari seluruh dunia untuk ke cawangan mereka di bandar Istanbul.

Dalam pada itu, Fatimah berterima kasih atas sokongan daripada suaminya (Pengiran Muhammad Adil Awang Iskaderzulkarnain) serta keluarga selepas mengecapi kejayaan yang diperolehi.

Fatimah menceritakan dia menghadapi beberapa kesukaran ketika dua tahun pertama selepas membuka perniagaan aiskrim ini.

Namun dengan sokongan dari keluarga, mereka menjadi sumber kekuatan kepada wanita ini untuk meneruskan perniagaannya.

Fatimah turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Nona Superwoman dalam kategori Ais Krim Halal NonaBest tahun ini.

Ini menunjukkan bahawa dengan sedikit kreativiti dan kekuatan, rakyat Malaysia boleh melakukan apa sahaja dengan memanfaatkan sumber semula jadi yang kaya dengan potensi serta kebolehan.

Yang penting kena ada usaha untuk mengetengahkan hidangan itu di mata umum.


Jenis-jenis Pencuci Mulut Yang Ditawarkan Di Mokti’s

Mokti’s mempunyai kira-kira 69 jenis produk daripada aiskrim ‘soft serve’ kepada minuman dalam tin.

Antara perisa aiskrim yang popular dengan harga bermula dari RM9 sehingga RM21 adalah:

  • Honeycomb Apong Asli
  • Hazel Kakao
  • Matcha Apong
  • Pandan Apong

Mereka juga mempunyai aiskrim batang berharga RM2 sehingga RM5 dengan perisa Coklat, Garam Laut, Bandung, Asam dan Lemon Selasih.

Sumber: Facebook Mokti’s

Untuk aiskrim dalam tab pula, dari tab D24 Durian hingga tab Coconut Gula Melaka, orang ramai boleh mengambil perisa ais krim kegemaran mereka dalam tab 500ml ini yang berharga antara RM12 hingga RM18.

Sumber: Facebook Mokti’s

Kepada anda yang mengidam untuk rasa pencuci mulut popular diinspirasikan dari Sarawak ini, boleh datang ke cawangan Mokti’s berhampiran anda. Klik [DI SINI] untuk melihat senarai cawangan mereka.

Jika anda ingin mencari rangkaian pencuci mulut ini di KL, boleh pergi ke cawangan Kampung Baru mereka.

Mokti’s Kg Baru

  • Alamat: 5C, Jalan Daud, Kampung Baru KL
  • Waktu Operasi: 11.30 pagi – 9.30 malam


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd