Now Reading
“Ia Hina Mahkamah” – Najib Hantar Surat Kepada SKMM & Fahmi, Mohon Henti Tayang ‘Man On The Run’ Di Netflix

“Ia Hina Mahkamah” – Najib Hantar Surat Kepada SKMM & Fahmi, Mohon Henti Tayang ‘Man On The Run’ Di Netflix

Jelas peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee, surat yang dihantar ke SKMM bertujuan memohon dokumentari bersifat prejudis itu dihalang serta dihentikan tayangan di seluruh negara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 8 Januari lalu, Datuk Seri Najib Razak menerusi peguam belanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon pihak pendakwaan mengambil tindakan agar perkhidmatan penstriman Netflix menghentikan dokumentari ‘Man On The Run’.

Dalam dokumentari itu, ia memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan beliau dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Muhammad Shafee lagi, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dikatakan membuat kesimpulan sendiri berhubung kes itu di luar mahkamah, dalam dokumentari terbabit.

Baca Artikel Berkaitan: Najib Mahu Netflix Henti Tayang Dokumentari ‘Man On The Run’ Di Malaysia


Najib Hantar Surat Kepada SKMM

Terbaharu, Muhammad Shafee telah menghantar surat kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai penyiaran ‘Man On The Run’.

Dalam surat berkenaan, beliau meminta Fahmi, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia, SKMM, Datuk Zulkairnain Mohd Yasin supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari berdurasi satu jam 38 minit tersebut dalam negara.

Jelas beliau, filem tersebut mempunyai unsur fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan menghina institusi mahkamah menerusi istilah subjudis. Hal ini kerana kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB masih lagi di peringkat perbicaraan mahkamah.

Sumber: Rotten Tomatoes

Dakwaan Tentang Skandal 1MDB Belum Dibuktikan Dalam Perbicaraan

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan tentang kes 1MDB yang dipaparkan, belum dan tidak pernah dibuktikan dalam dokumen atau saksi dalam mana-mana perbicaraan.

“Kes Najib masih dibicarakan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi, di sini didaftarkan bawah kes jenayah atau lebih dikenali sebagai kes 1MDB-Tanore.

“Kami menulis dan menggesa (Fahmi) menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Komunikasi dan SKMM supaya rancangan ini diturunkan dan aplikasi perkhidmatan kandungan itu dilarang untuk melanjutkan tayangan siar,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dalam masa sama, Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pembelaan Najib menjelaskan sesuatu penghinaan mahkamah berlaku jika wujud terbitan atau perbincangan umum tentang prosiding mahkamah yang masih berlangsung atau belum diketahui keputusan mengikut nas undang-undang.


Perlu Lindungi Najib Untuk Dapatkan Perbicaraan Yang Adil

Tambah peguam itu, ia merupakan satu tanggungjawab untuk melindungi hak anak guamnya terhadap satu perbicaraan yang adil tanpa fitnah atau penghinaan mahkamah.

“Kenyataan di luar mahkamah yang bersifat prejudis dan menghina, sudah pasti akan menjejaskan hak pemimpin UMNO itu, untuk mendapatkan satu perbicaraan yang saksama,” tegasnya.


Anwar Ibrahim Serahkan Kes Kepada Kementerian Komunikasi

Terkini, cakna dengan tuntutan yang diketengahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Komunikasi berkenaan permohonan Najib supaya mengeluarkan dokumentari terbabit dari Netflix.

“Nanti dia orang (Kementerian Komunikasi) akan pertimbangkan,” ujar beliau, memetik Kosmo.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd