Now Reading
Najib Mahu Netflix Henti Tayang Dokumentari ‘Man On The Run’ Di Malaysia

Najib Mahu Netflix Henti Tayang Dokumentari ‘Man On The Run’ Di Malaysia

Najib Razak menerusi peguam belanya Muhammad Shafee Abdullah, memohon pihak pendakwaan mengambil tindakan untuk hentikan tayangan ‘Man On The Run’ yang mengisahkan skandal 1MDB.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (8 Januari) Datuk Seri Najib Razak menerusi peguam belanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon pihak pendakwaan mengambil tindakan segera dengan mengarahkan perkhidmatan penstriman Netflix, agar mengeluarkan dokumentari ‘Man On The Run’ yang sedang ditayangkan di Malaysia pada ketika ini.

Untuk makluman, dokumentari Man on the Run diarahkan, ditulis serta diterbitkan oleh Cassius Michael Kim mengisahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditayangkan kepada orang ramai bermula 19 Oktober 2023.

Dalam dokumentari sama, ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan beliau dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Menerusi semakan kami setakat jam 4 petang (8 Januari), dokumentari itu berada di tangga keempat dalam carta ’10 Filem Top Di Malaysia Hari Ini’ di Netflix.

Sumber: Rotten Tomatoes

Peguam Bela Sifatkan Dokumentari ‘Man On The Run’ Subjudis

Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu adalah sangat subjudis terhadap anak guamnya.

Hal ini kerana perbicaraan tentang kes 1MDB masih sedang berjalan, selain daripada pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.

Tambah beliau, apa yang lebih serius tentang perkara itu adalah, Tommy dikatakan turut membuat kesimpulan sendiri berhubung kes itu di luar mahkamah, dalam dokumentari terbabit.

Dalam pada itu, peguam bela tersebut juga menzahirkan perasaan terkejut selepas mendapati pegawai penyiasat tidak tahu mengenai dokumentari terbabit.


Pihak Pembelaan Perlu Tulis Surat Kepada SKMM & KDN

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, beliau baru sahaja mengetahui tentang dokumentari dan perlu menontonnya terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada Peguam Negara bagi mendapatkan arahan seterusnya.

Jelas Ahmad Akram, pihak pembelaan juga perlu menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan perkara tersebut.

Susulan itu, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa beliau akan menulis surat kepada kedua-dua agensi berkenaan secepat mungkin.

Ini termasuklah memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap bekas Peguam Negara selain tindakan saman terhadap Clare Rewcastle-Brown.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd