Now Reading
“Jumpa Ketika Cuti Sekolah Je” – Gagal Tukar Penempatan Punca Rumah Tangga Guru Ini Musnah

“Jumpa Ketika Cuti Sekolah Je” – Gagal Tukar Penempatan Punca Rumah Tangga Guru Ini Musnah

Cikgu yang dikenali sebagai Din itu berkata, dia bersama bekas isteri telah berusaha untuk berpindah ke Semenanjung Malaysia sejak awal perkahwinan mereka namun tidak berjaya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, alam perkahwinan merupakan satu detik indah yang bakal dilalui oleh suami isteri selepas dihalalkan.

Namun begitu, ramai juga di kalangan pasangan yang sudah berkahwin terpaksa menjalani hubungan jarah jauh (LDR) dan jarang berjumpa kerana terpaksa bekerja di luar kawasan.

Disebabkan masing-masing mempunyai tanggungjawab, mereka terpaksa merelakan diri untuk berpisah sementara walaupun ia mengambil tempoh masa yang lama.


Rumah Tangga Guru Ini Musnah Akibat Gagal Tukar Penempatan Sekolah

Seorang guru lelaki yang dikenali sebagai Din telah meluahkan kekecewaannya apabila dia sudah bercerai dan gagal mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak tahun 2017.

Menurut guru berusia 41 tahun itu, bekas isterinya juga merupakan seorang guru di Kuching, Sarawak manakala Din mengajar di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah ketika dalam fasa penceraian.

“Pada tahun pertama perkahwinan lagi kami sudah memohon untuk berpindah ke Semenanjung. Ketika itu fikir, tak dapat balik negeri asal pun tidak mengapa, cukup saja boleh ditempatkan di sekolah dalam negeri sama,” ujarnya.

Tambah Din, dia bersama pasangan telah berusaha setiap tahun untuk mendapatkan penempatan sekolah di kawasan sama.

Bahkan, pendidik ini juga pernah ‘turun’ ke Kementerian Pendidikan di Putrajaya untuk menyerahkan sendiri borang permohonan, surat dan dokumen sokongan. Namun begitu, jawapan yang diterima masih mengecewakan.

“Sepanjang lima tahun berkahwin, kami hanya dapat berjumpa masa cuti sekolah sahaja. Mahu jumpa setiap hujung minggu memang tak masuk akal. Ditambah pula faktor kewangan. Jadi, ini antara sebab kenapa kami bercerai,” katanya.


Permohonan Pertukaran Tempat Bertugas Akhirnya Lulus Namun Sudah Terlambat

Namun menurut Din permohanan pertukaran tempat bertugas akhirnya berjaya pada tahun 2022. Semua ini bagaimanapun sudah terlambat kerana ianya hanya diluluskan selepas dua tahun dia bersama bekas isteri bercerai.

Situasi yang dilaluinya itu juga dikatakan sedang dialami oleh ramai guru di penempatannya sekarang iaitu di sebuah sekolah rendah sekitar Selangor. Malah, ramai di antara mereka yang turut berakhir dengan penceraian.

“Apa yang berlaku kebiasaannya adalah kalau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah luluskan, ia sangkut di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pula.

“Begitu juga sebaliknya. Kadangkala, di kedua peringkat sudah lepas tetapi di KPM pula yang tolak. Jadi, nak buat macam mana lagi,” luahnya dipetik Harian Metro.


Cadang Agar KPM Laksanakan Pertukaran Lokasi Guru 4 Kali Setahun

Cakna tentang cabaran yang dilalui kebanyakan guru yang mengamalkan perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan pasangan, Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan proses pertukaran yang lebih kerap dalam masa setahun.

Cadangan tersebut adalah dengan menerapkan pertukaran guru sebanyak empat kali setahun berbanding dua kali pada ketika ini.

Bukan itu sahaja, kementerian juga diminta agar dapat memudahkan cara mengisi borang pertukaran secara dalam talian.

Menurut Setiausaha Agung Kongres Mohd Azizie Hasan, KPM perlu mewujudkan sistem pangkalan data guru dan melihat kepada keperluan selain kekosongan bagi memudahkan proses pertukaran.

“Pihak Kongres mengambil maklum bahawa kesan guru duka lara ini membawa kepada isu- isu perceraian dan menjejaskan keharmonian rumah tangga suami isteri meskipun angkanya kecil.

“Langkah proaktif pihak KPM dalam menyelesaikan isu ini dapat mengelakkan perceraian dan pengabaian terhadap rumah tangga yang menjejaskan emosi pasangan guru serta anak-anak,” ulas Mohd Azizie.

Dalam pada itu, Kongres turut mencadangkan khidmat kaunseling diberikan secara berterusan kepada guru PJJ bagi meningkatkan daya tahan emosi dan psikologi sebagai seorang pengajar.

Difahamkan sebelum ini, tular luahan beberapa pendidik tentang isu berkenaan hingga menarik perhatian orang ramai.


Tak Terima Aduan Tentang Kes Penceraian Akibat Gagal Permohonan Pertukaran

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang menjelaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak tentang kes berkenaan.

“NUTP ambil maklum semua isu guru, bukan sahaja duka lara. Setakat ini kami tidak ada aduan guru yang diceraikan disebabkan gagal dalam permohonan bertukar.

“Kami tak tahu sama ada yang ada masalah itu ahli NUTP atau tidak. Jika ahli, mereka akan datang kepada NUTP untuk dapatkan bantuan,” ujar Aminuddin Awang.

Oleh disebabkan itu, NUTP mengalu-alukan ahli mereka untuk tampil mengajukan aduan sekiranya mempunyai masalah bukan sahaja mengenai isu pertukaran tempat mengajar malah sebarang kes melibatkan perkhidmatan perguruan.


Mengapa Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) Sukar Buat Segelintir Pasangan?

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Serdang Dr Umi Adzlin Silim berkata, hubungan jarak jauh yang tidak dikendalikan dengan baik boleh mendorong kesan buruk terhadap kesihatan mental pasangan.

Antara kesannya adalah stres, kemurungan dan keresahan.

Jelas pakar tersebut, antar faktor lain yang menyumbang kepada masalah kesihatan mereka yang mengamalkan PJJ adalah kerana pasangan suami isteri mempunyai masalah berkomunikasi selain tidak berkongsi tanggungjawab bersama dengan adil.

Sumber: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Suami Isteri Menangis Akhirnya Bertemu Selepas PJJ Selama 11 Bulan

Baca Artikel Berkaitan: Terpisah 2 Bulan Sebab PJJ, Video Anak Kecil Menangis Rindukan Ibu Buat Ramai Sebak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd