Now Reading
Lelaki Singapura Lemas Di Pantai Desaru Telah Ditemui

Lelaki Singapura Lemas Di Pantai Desaru Telah Ditemui

Seorang bapa yang dipercayai lemas ketika beriadah bersama keluarga di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru, Kota Tinggi telah pun ditemui awal pagi hari ini (28 Disember) oleh orang awam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bermain atau berada di kawasan laut ketika fenomena air pasang besar mampu memudaratkan keselamatan dan meragut nyawa seseorang.

Ini yang berlaku semalam (27 Disember) apabila seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hanyut ketika beriadah bersama keluarga di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru, Kota Tinggi, Johor.

Mayat mangsa Isaac Kelvin Tan Lee Thong, 49, dijumpai oleh orang awam pagi ini dalam keadaan berseluar pendek dan tidak berbaju.

“Mangsa telah dijumpai oleh orang awam pada pukul 5.30 pagi dan telah disahkan mati lemas oleh pasukan perubatan. Jarak mangsa dijumpai dari lokasi lemas lebih kurang 5 kilometer.

“Mayat mangsa juga telah disahkan oleh isteri mangsa yang berada di lokasi kejadian,” kata Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim.


Mangsa Lemas Lepas Dipukul Ombak

Terdahulu, Isaac Kelvin dilaporkan hilang dan dipercayai lemas manakala anaknya Gabriel lan Tan Way Ping, 16, telah berjaya diselamatkan oleh orang awam. Sejurus selepas diselamatkan, Gabriel Ian dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Untuk makluman, laporan mengenai insiden terbabit diterima pada jam 12.33 tengahari semalam (27 Disember).

Menurut Masri, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, tujuh anggota BBP Sungai Rengit dan tiga anggota BBP Mersing bergegas ke lokasi insiden bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Anak beranak dari Singapura itu dipercayai lemas ketika sedang beriadah di pantai berkenaan. Mangsa dilaporkan dipukul ombak ketika sedang berada di gigi air menurut maklumat orang awam,” jelasnya.


Bendera Merah Telah Dicacakkan Di Kawasan Pantai

Bagi misi pencarian tersebut, pasukan bertindak operasi (PKO) telah menggunakan teknik ‘surface searching’ untuk mengesan mangsa di kawasan pantai terbabit yang juga telah dipasang tanda amaran bendera merah sebagai penunjuk larangan melakukan aktiviti di laut.

Sumber: Facebook JBPM Johor

Apa Maksud Bendera Merah Di Kawasan Laut?

Pasti ada di antara anda yang pernah melihat bendera merah di kawasan pantai. Bendera merah ini bukan hiasan semata-mata dan pengunjung pantai perlu cakna tujuan ia dicacakkan.

Bendera merah yang diletakkan bermaksud kawasan sekitar pantai pada ketika itu berada dalam zon bahaya akibat angin kencang, laut bergelora atau ombak besar yang mungkin mengundang risiko lemas.

Bendera merah itu juga bertindak sebagai tanda larangan buat masyarakat setempat agar tidak bermandi-manda di laut pada waktu tersebut.

Di Malaysia, aktviti beriadah atau bermandi-manda di laut tidak sesuai dilakukan menjelangnya musim monsun timur laut yang lazimnya bermula sekitar bulan November pada setiap tahun.

Oleh disebabkan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat perancangan sekiranya berhajat untuk mengunjungi kawasan laut dalam masa terdekat ini. Hati-hati semua!

Sumber: Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Datuk & Cucu Lemas Dalam Kolam: “9 Tahun Saya Tunggu Cahaya Mata” – Ibu

Baca Artikel Berkaitan: Fenomena Air Pasang Merah Di Pulau Pinang Sebabkan Hidupan Laut Mati


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd