Fenomena Air Pasang Merah Di Pulau Pinang Sebabkan Hidupan Laut Mati
Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai berkata fenomena air pasang merah mungkin terjadi disebabkan oleh ledakan plankton Dinoflagellate yang boleh menyumbat insang ikan dan menyebabkan kematian hidupan laut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Air laut yang bersih kebiasaannya dilihat berwarna biru dan terjadi kerana penyerapan dan penyebaran cahaya dalam laut. Menurut NASA, apabila cahaya mengenai permukaan lautan, kebanyakan gelombang cahaya akan diserap dan meninggalkan warna biru sahaja.
Namun begitu, warna laut bukan sahaja disebabkan oleh cahaya semata-mata, tetapi juga komposisi di dalam air. Sebagai contoh, laut yang mempunyai banyak fitoplankton (plankton tumbuhan) akan mempunyai warna biru kehijauan kerana ia memantul gelombang cahaya hijau.
Baru-baru ini, air laut di perairan Teluk Bahang dan Sungai Pinang di Balik Pulau, Pulau Pinang kelihatan mempunyai jalur berwarna merah yang dikenali sebagai fenomena air pasang merah.
Ketua Menteri negeri itu, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan fenomena terbabit yang berlaku daripada Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Kerajaan negeri juga akan memantau fenomena itu yang berlaku sejak hari Sabtu (26 Ogos) kerana ia menimbulkan kebimbangan terhadap para nelayan dengan kematian ikan dan hasil laut disebabkannya.
Kejadian itu (banyak ikan mati) dipercayai berpunca daripada red waves (air pasang merah), ini memang satu gejala yang berlaku dari semasa ke semasa dan saya dimaklumkan ada kejadian ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Nelayan Bimbang Fenomena Punca Banyak Hidupan Laut Mati
Fenomena air pasang merah itu menyebabkan nelayan di kawasan terbabit berasa bimbang kerana ia mengakibatkan kematian ikan dan hidupan laut.
Air pasang merah didapati berlaku bermula dalam lingkungan 1 kilometer iaitu di kawasan Muka Head sehingga ke kawasan perairan Teluk Bahang.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad, fenomena tersebut disedari para nelayan apabila mendapati jalur-jalur berwarna merah di permukaan laut dan ikan timbul di permukaan laut dengan tiba-tiba sebelum mati.
Kita boleh nampak dengan jelas ada jaluran memanjang di tengah laut yang berwarna merah dan keadaan air laut pun tidak cantik seperti selalu. Nelayan sedar kejadian ini sejak dua hari lalu dan kejadian sama pernah berlaku pada awal tahun ini di mana ikan habis mati.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad.
Fenomena air pasang merah mengundang kebimbangan para nelayan kerana ia akan menyebabkan hasil laut semakin menyusut jika berterusan.
Air Pasang Merah Mengandungi Alga Berbahaya
Air pasang merah atau red tide bloom juga dikenali sebagai harmful algae bloom (HAB). HAB terjadi apabila alga tumbuh di luar kawalan di sesuatu kawasan dan menghasilkan toksik atau kesan berbahaya kepada hidupan lain.
Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai berkata fenomena itu pernah berlaku ketika musim panas April lalu yang terjadi apabila hujan membawa nutrien dari darat ke lautan.
HAB juga boleh berlaku jika terdapat pencemaran setempat serta aliran keluar panas dan hujan yang tinggi.
Peristiwa terbaharu ini mula disedari dua hingga tiga hari lalu apabila penghuni di bawah (seperti ikan pari dan ketam) naik ke permukaan, kemungkinan besar disebabkan paras oksigen yang rendah (anoxia).
Pengarah CEMACS, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai.
Fenomena kali ini juga dilaporkan lebih teruk berbanding sebelum ini kerana turut menyebabkan bau amat busuk di dalam lumpur. Profesor Aileen berkata ia adalah kerana fenomena kali ini berlaku sewaktu air pasang.
Malah, alga terbabit tidak hanyut atau dibawa pergi oleh air pasang atau ombak, menyebabkan ia terkumpul berhampiran persisiran pantai.
Plankton Disyaki Sebabkan Ikan Kekurangan Oksigen
Profesor Aileen mempercayai fenomena HAB yang berlaku di kawasan terbabit disebabkan oleh sejenis plankton yang dikenali sebagai Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.
Pasukannya sedang menyiasat punca kematian ikan dan hidupan laut akibat fenomena itu dan mengeluarkan hipotesis bahawa ia mungkin disebabkan oleh ketiadaan oksigen di laut dan penyumbatan insang ikan.
Dinoflagellate boleh mendatangkan bahaya kepada alam sekitar antaranya kematian ikan akibat penyumbatan insang atau pengurangan paras oksigen di dalam air. Ia bersaiz besar dan mampu menyumbat insang ikan selain bersaing untuk mendapatkan oksigen pada waktu malam semasa mekar.
Pengarah CEMACS, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai.
Menurutnya, plankton ini boleh membiak akibat hujan yang menyebabkan perubahan suhu permukaan laut dan ketersediaan nutrien terlaut.
Di samping itu, air laut yang semakin panas, semakin masam dan kekurangan akan meningkatan risiko air pasang merah.
Profesor Aileen berkata tiada kesan toksik yang ditemui setakat ini. Namun begitu, mungkin kandungan ammonia tinggi dalam plankton yang masuk ke dalam vakuol ikan menyebabkannya berasa terganggu dan kekurangan oksigen.
Sumber: Astro Awani | Sinar Harian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.