Pendaftaran MyDigital ID Akan Dibuka Bermula Mac 2024
Buat masa ini, pendaftaran MyDigital ID hanya melibatkan semua kakitangan kerajaan dan orang awam juga boleh melakukan perkara sama mulai tahun hadapan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 1 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional dan menjadi individu pertama di Malaysia yang memiliki pengenalan digital itu.
Menerusi kenyaataan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pendaftaran MyDigital ID buat masa ini hanya dibuka kepada semua kakitangan kerajaan sahaja dan orang awam boleh melakukan perkara sama bermula pada bulan Mac tahun hadapan.
Maklumat mengenai pendaftaran serta lokasi kiosk bagi melakukan urusan tersebut akan disenaraikan kelak dalam laman web MyDigital ID.
Apa Fungsi MyDigital ID Ini?
Untuk pengetahuan umum, MyDigital ID digunakan sebagai kaedah pengesahan bagi memudahkan semua perkhidmatan digital kerajaan dan memperkukuhkan keselamatan transaksi dalam talian.
Selain itu, penggunaan MyDigital ID pada portal kerajaan juga dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang diperakui keselamatannya oleh Pensijilan Kriteria Umum menerusi pengiktirafan EAL3+ di peringkat antarabangsa.
Aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar mengandungi identiti digital rakyat yang terikat secara kriptografi (teknologi yang sangat selamat) kepada nama dan nombor kad pengenalan.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
MyDigital ID Tak Simpan Data Biometrik Pengguna
Sebelum ini, isu mengenai MyDigital ID menjadi kebimbangan rakyat selepas wujud dakwaan bahawa sistem ini memerlukan penggunanya memasukkan cip ke dalam tubuh badan.
MOSTI walau bagaimanapun telah memberi penjelasan tentang perkara ini dalam kenyataan yang sama.
MIMOS Berhad iaitu agensi di bawah MOSTI menegaskan bahawa sistem MyDigital ID ini tidak menyimpan sebarang data jenis biometrik seperti cap jari, maklumat mata atau pengecaman muka dan tidak menggunakan sebarang cip mahupun implan.
Malah, identiti digital ini juga tidak menggantikan MyKad sebagai bukti pengenalan diri seseorang.
MyDigital ID juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan pangkalan data peribadi termasuklah aktiviti pengguna dalam talian, tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka dan tidak membolehkan pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital.
MIMOS Berhad, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI.)
Negara-negara Lain Yang Juga Menggunakan Identiti Digital
Memetik sumber MCMC, sistem yang sama ini turut dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Estonia, India, Kanada, Australia, United Kingdom dan lain-lain.
Antara transaksi yang boleh dilakukan oleh rakyat di negara yang menggunakan identiti digital ini adalah seperti:
- Membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank untuk membuktikan identiti.
- Melakukan konsultasi dengan doktor dan mendapatkan preskripsi ubat-ubatan dalam talian melalui akses kepada rekod kesihatan.
- Melakukan transaksi penyewaan hartanah.
- Mengundi dalam talian.
- E-pembelajaran.
Baca Artikel Berkaitan: What Is The National Digital ID Program & How Would It Benefit Me?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.