Now Reading
Kes Kemalangan Babit Warga Emas Di Malaysia Semakin Meningkat

Kes Kemalangan Babit Warga Emas Di Malaysia Semakin Meningkat

Seperti baru-baru ini, seorang warga emas telah merempuh pemandu lain di Jalan Bukit Gambir, Georgetown, Pulau Pinang akibat hilang kawalan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Segelintir para pemandu di Malaysia pasti pernah berdepan dengan insiden kemalangan jalan raya.

Selain dari kecuaian, banyak juga punca lain yang boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dalam detik mencemaskan tersebut antaranya faktor usia.

Malah sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kes kemalangan melibatkan golongan warga emas dilihat semakin meningkat termasuklah dalam kalangan pemandu dan pejalan kaki.

Sumber: Facebook

Kemalangan Di KM365 Lebuhraya Utara-Selatan

Pada 6 Oktober lalu, dua warga emas dilaporkan maut selepas merempuh bahagian belakang sebuah lori di KM365 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Slim River, Muallim, Perak.

Kedua-dua mangsa berusia 83 dan 76 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Pegawai Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Faiezaruddin Mohd Yusop, mangsa ditemui dalam keadaan terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

Pemandu lori berusia 31 tahun bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

Foto: Gambar kemalangan

Kes Kereta Terbabas Di Kedai Loteri

Sekitar Oktober lalu juga, berlaku lagi satu kes kemalangan di mana seorang warga emas merempuh sebuah kedai loteri sekitar Pulau Pinang.

Pemandu berusia 65 tahun tersebut secara tidak sengaja terpijak pedal minyak menyebabkan keretanya meluncur ke hadapan lalu merempuh sebuah kedai di Taman Molek, Butterworth.

Pada awalnya, dia hanya berniat untuk memarkir kenderaannya di hadapan kedai.

Ketika pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian, pemandu itu didapati tersepit di tempat duduknya manakala seorang pekerja kedai berkenaan telah tercedera.

“Seorang pekerja wanita berusia dalam lingkungan 70-an mengalami kecederaan di tangan dan kaki. Dia sedang duduk di meja makan berhampiran ketika itu.

“Dia juga dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan,” jelas Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth Noorhisham Noor.

Foto: Gambar kemalangan.

Wanita Terlanggar Kedai Kopitiam

Pada 23 November minggu lalu, satu insiden serupa turut berlaku membabitkan seorang wanita warga emas yang secara tidak sengaja telah merempuh sebuah Kopitiam di Cheras.

Menurut siasatan, dia telah pergi ke kedai makan itu bersama rakan-rakannya untuk bersarapan.

Pemandu dilaporkan tiba-tiba berasa pening ketika hendak meletakkan kereta dan kemudian memijak pemecut minyak sehingga menyebabkan kenderaannya merempuh kedai.

Susulan itu, dua mangsa telah tercedera dan dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan perubatan segera.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kampung Baharu Cheras Batu 11, Chen Jin Chang, pemandu itu berniat untuk memakan ubat selepas bersarapan pagi namun secara tiba-tiba mengalami pening sehingga menyebabkan kejadian berlaku.

Foto: Gambar kemalangan

Maut Ketika Terlanggar Sebuah Restoran

Terdapat satu lagi kes sebegitu berlaku apabila seorang wanita dikenali sebagai Tan Joo Lan, 75 yang sedang bersarapan telah dirempuh secara tiba-tiba di Taman Meranti, Bahau, Negeri Sembilan.

Oleh disebabkan itu, dia mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan meragut nyawanya serta-merta.

Mangsa lain berusia 35 tahun pula telah terselamat namun mengalami kecederaan di leher.

Insiden malang berkenaan berlaku hanya kerana kesilapan dan kecuaian pemandu yang cuba meletakkan keretanya.

“Seorang lelaki berusia 78 tahun cuba meletakkan keretanya di hadapan kedai tetapi secara tidak sengaja menekan pemecut dan melanggar dua wanita yang sedang makan di dalam restoran itu,” jelas Ketua Polis Daerah Jempol Hoo Chang Hook.

Foto: Gambar kemalangan

Kereta Myvi Hilang Kawalan

Kejadian terakhir ini pula melibatkan seorang wanita warga emas yang merempuh Perodua Myvi miliknya dengan pemandu lain di jalan raya pada 27 November.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V. Saravanan berkata, mangsa terdiri daripada tiga pemandu dan tiga penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Gambir, Georgetown, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, mereka dikatakan sedang menunggu lampu bertukar hijau sebelum wanita warga emas itu secara mengejut merempuh mereka.

“Tiba-tiba, sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita warga emas hilang kawalan dan merempuh kenderaan di hadapan.

“Selain pemandu Myvi itu, tiga penunggang motosikal dan seorang pembonceng cedera,” ulas Saravanan.

Namun begitu, ketiga-tiga pemandu kereta itu meluahkan rasa syukur kerana tidak tercedera dalam insiden terbabit.

Mangsa kemudiannya telah menerima rawatan dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto: Gambar kemalangan

Kemalangan tersebut sememangnya mendukacitakan buat kedua-dua pihak iaitu pemandu dan mangsa.

Dalam masa sama, kami turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang telah meninggal dunia.

Buat anda yang sering memandu, berhati-hatilah dan sentiasa cakna dengan keadaan sekeliling.

Baca Artikel Berkaitan: Telekung Tersangkut Pada Tayar Motor, Warga Emas Usia 64 Tahun Maut Ketika Mahu Ke Masjid

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Warga Emas Kemalangan Motor Pukul 5 Pagi Sambil Tahan Sejuk Seorang Diri

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Hilang Kawalan & Tersungkur Atas Jalan Raya Lepas Motosikal Lalu Di Garisan Putih


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd