Now Reading
Sijil Penerbangan MYAirline Digantung Sementara – CAAM

Sijil Penerbangan MYAirline Digantung Sementara – CAAM

Menurut CAAM penggantungan sijil AOC MYAirline adalah selama 90 hari sementara siasatan lanjut dilakukan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 12 Oktober lalu, syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasinya secara serta merta.

Menerusi kenyataan media, MYAirline telah mengambil keputusan sedemikian ekoran masalah kewangan sehingga menyebabkan operasi perlu digantung selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.


CAAM Gantung AOC MYAirline Kuat Kuasa Hari Ini

Terkini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline berkuatkuasa hari ini (16 Oktober).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan berkata, penggantungan sijil pengendali operasi udara tersebut dibuat di bawah Peraturan 193(3), Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 selama 90 hari sementara siasatan lanjut oleh pihak mereka dilakukan.

“Sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia, CAAM bertanggungjawab mengawasi segala aspek teknikal pengoperasian udara bagi memastikan semua piawaian keselamatan dan sekuriti dipatuhi,” kata beliau.

Untuk makluman semua, antara aspek utama yang dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC adalah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan penerbangan yang selamat dan selaras dengan peruntukan spesifikasi operasi.


Tiada Masalah Kewangan Ketika Audit Keselamatan MYAirline Dilakukan Sebelum Ini

Dalam masa sama, CAAM dilaporkan menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi serta ‘airworthiness’.

Pada 29 Mei 2023 hingga 1 Jun 2023, audit keselamatan tersebut telah dilaksanakan ke atas MYAirline bagi pembaharuan AOC, namun pada ketika itu tiada sebarang masalah kewangan dikenal pasti.

Kapten Norazman berkata, elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.

“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang” jelasnya.


Isu Kewangan Syarikat Penerbangan Perlu Dimaklumkan Kepada CAAM

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang isu tentang masalah kewangan perlulah dimaklumkan segera secara bertulis kepada CAAM agar tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi.

Namun, CAAM mendakwa bahawa sehingga ke hari ini, tiada sebarang notis pemberitahuan yang disampaikan kepada agensi tersebut seperti yang dinyatakan.

Susulan notis yang tidak dimaklumkan, penggantungan sementara operasi MYAirline telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan penerbangan di Malaysia.

“Audit keselamatan terperinci akan dijalankan ke atas MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu,” ujarnya.

Tegas beliau, sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD).

CAAM turut memberi peringatan kepada semua pemegang lesen agar mematuhi peraturan yang ditetapkan selain memastikan pematuhan yang ketat dilaksanakan.

Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Aniaya Orang” – Penggantungan Operasi MYAirline Tanpa Notis Awal Buat Pelanggan Berang

Baca Artikel Berkaitan: AirAsia Hulur Bantuan Untuk Penumpang MYAirline Yang Terjejas


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd