Now Reading
Michelle Yeoh Terima Anugerah ‘Presidential Medal Of Freedom’ Dari Amerika Syarikat

Michelle Yeoh Terima Anugerah ‘Presidential Medal Of Freedom’ Dari Amerika Syarikat

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata Michelle Yeoh telah memecahkan stereotaip untuk mempertingkat dan memperkaya budaya negara itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Michelle Yeoh ialah seorang pelakon bertaraf antarabangsa yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Dari filem Hong Kong hingga ke Hollywood, Yeoh kini menjadi penanda aras buat pelakon wanita.

Merupakan warga Asia pertama yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) ke-95, Yeoh kini sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima anugerah Presidential Medal of Freedom.

Bersama 18 individu lain, mereka menerima anugerah tersebut atas “sumbangan yang menjadi teladan” bagi Amerika Syarikat (AS), keamanan sejagat atau lain-lain usaha signifikan terhadap masyarakat, umum dan swasta.


Biden Puji Michelle Yeoh

Anugerah tersebut yang merupakan penghormatan awam tertinggi AS telah disampaikan oleh Presiden republik itu, Joe Biden dalam satu upacara di White House pada Jumaat (4 Mei).

Biden berkata dalam tempoh empat dekad, Yeoh telah berjaya memecahkan stereotaip untuk mempertingkat dan memperkaya budaya AS.

Peranan Yeoh mengatasi jantina, budaya dan bahasa. Daripada seni bela diri hingga komedi romantis, sains fiksyen, semuanya menunjukkan persamaan yang kita semua miliki.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Katanya lagi, Yeoh yang merupakan warga Asia pertama memenangi Oscar menghubungkan budaya untuk menghiburkan di samping memberi inspirasi dan membuka mata ramai.


Michelle Yeoh Tolak Tawaran Lakonkan Watak Stereotaip Asia

Dalam satu temu bual, Yeoh berkata dia telah menolak banyak tawaran lakonan bagi watak stereotaip Asia di lewat 90an, sehingga dia ketiadaan kerja selama dua tahun.

Ketika itu, individu dalam industri tersebut tidak dapat mengenal pasti sama ada saya seorang Cina, Jepun atau Korea, atau boleh bercakap bahasa Inggeris. Mereka akan bercakap dengan sangat kuat dan perlahan.

Pelakon, Michelle Yeoh.

Yeoh bukan sahaja mengelak daripada memainkan watak stereotaip Asia, tetapi turut enggan berlakon sebagai ‘prop’ yang cantik atau gadis dalam kesusahan.

Perkara ini sudah mula dilakukannya sejak awal kerjaya dalam dunia lakonan dan bukan setelah menjadi terkenal.


Mula Berlakon Di Hong Kong Sebelum Ke Hollywood

Sebelum menjadi pelakon dalam filem Hong Kong, Yeoh merupakan bekas Miss Malaysia. Dia kemudiannya berlakon bersama-sama bintang seni bela diri, Jackie Chan dalam lebih 10 filem.

Yeoh berkata dia telah melakonkan watak wanita yang perlu diselamatkan dalam filem sulungnya, tetapi itu merupakan kali terakhir menerima watak sedemikian.

Setahun kemudian, dia telah menerima tawaran watak utama sebagai seorang polis di Hong Kong. Dia bukan sahaja mempelajari bahasa Kantonis bagi melakukan watak tersebut, tetapi turut melakonkan sendiri aksi bahaya.

Pada tahun 1997, Yeoh mula menjejakkan kaki di Hollywood dalam satu filem James Bond. Kemudian, dia memainkan watak utama dalam filem seni bela diri ‘Crouching Tiger, Hidden Dragon’ arahan Ang Lee.

Lakonnnya tersebut membuka peluang dalam banyak filem terkenal Hollywood seperti ‘Memoirs a Geisha’, ‘Sunshine’, dan ‘Crazy Rich Asians’. Akhirnya, Yeoh ditawarkan watak utama dalam filem ‘Everything Everywhere All at Once’ sehingga berjaya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Oscar.

Yeoh juga merupakan seorang penerbit dan Goodwill Ambassador bagi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd